Friday, February 18, 2011

Perjalanan Cinta...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera
Tahukah anda akan perjalana cinta antara manusia? Cinta selalunya bermula dari pandangan mata, bak kata orang tua-tua ‘dari mata turun ke hati’…begitulah. Ada pelbagai sebab kenapa manusia jatuh cinta …kerana budi, pekerti, rupa paras, ‘body’ atau juga mungkin juga tingginya nilai ringgit dan aset lahiriah. Selagi rasa tidak diluah, selagi itulah sentiasa penuh dengan keluh kesah, resah dan gelisah. Namun, andai disuarakan dan ternyata tidak bertepuk sebelah tangan…maka bermulalah peringkat kedua perjalanan cinta…
Peringkat perkembangan cinta juga disebut sebagai ‘angau’. Pada tahap inilah timbul rasa rindu yang tidak bisa lekang di mata, di jiwa, di minda…pendek kata, wajah sidia akan ada di mana-mana. Cinta pada tahap inilah yang menjadi inspirasi kepada pengiat seni dan sastera juga penulis lagu dan lirik cinta. Betulkan? Cinta Kolesterol, Syurga Cinta, Cinta Luarbiasa…aaaahhhh!!!memang banyak kan? Waktu inilah orang yang dilamun cinta ini akan merasakan kebahagiaan yang amat sangat, keyakinan diri yang amat tinggi, hidup dengan penuh bersemangat, ceria dan matanya bercahaya…Hebat kan? Pada waktu ini jugalah semua ‘pencinta’ ini menjadi BUTA…menutup mata kala melihat segala kekurangan dan kejelikan. Semuanya menjadi yang ‘terbaik’ buat mereka. Kala ini pasangan bercinta akan mampu mendepani apa saja. Matlamat perjuangan mereka adalah kebersamaan…Lautan api pun sanggup direnang…kononnya…
Namun peringkat mabuk cinta ini hanyalah berlangsung selama 3 hingga 12 bulan sahaja. Dengan perjalanan masa, akan tiba masa untuk membuat keputusan. Proses seterusnya akan memerlukan kematangan berfikir, kesedaran emosi dan prinsip keimanan yang diyakini. Komitmen yang tinggi terhadap iman akan banyak membantu sewaktu membuat keputusan…Di mana akhirnya perjalanan cinta?
Tahap ketiga akan menyaksikan bagaimana realiti kembali menjejaki hati. Maka cinta mula membuka mata dan akhirnya comel menjadi jelik, dulu dikata ‘caring’ kini mula dikatakan mengongkong, dulunya peramah…kini jadi mulut murai!…Ringkasnya apa yang pernah menjadi punca jatuh cinta kini menjadi penyebab sakit jiwa. Demikianlah apabila jemu mula menjengah wajah. Kali ini penggiat kreatif mula menyusun bait-bait cinta yang luka dan kecewa… Ada yang bertanya ‘lalu bagaimana hendak menempuh perjalanan cinta?’ Usah gusar kerana Allah memberi kita cara untuk bertindak saat cinta menyapa. SOLAT ISTIKHARAH. Pastikan ikatan cinta kita dengan Allah jauh lebih kuat dan erat untuk mengelak kita dari tersalah langkah dalam menghadapi cinta. Kasih sayang sesama insan memang penting, tetapi jangan sampai kita lalai hingga lupa bahawa kasih Pencipta cinta dan keredaanNya merupakan segala-galanya dalam hidup kita.
Harus dingat bahawa perjalanan cinta bukanlah suatu cereka. Akhiran sebuah cinta ,Mutlak ditentukan Allah s.w.t. Walau apapun ketentuan takdir yang ditentukan Allah dalam soal cinta, yang pasti setiap kita diberi peluang untuk mencapai matlamat hidup sebagai hamba dan khalifah di muka bumi. Pasrah kepada ketentuan takdir memberi kita kekuatan untuk menghadapi proses ketiga dalam sebuah perjalanan cinta. Yakinlah bahawa Cinta Pencipta cinta itu lebih agung berbanding cinta manusia.
Sedikit pesan di sini…usah rakus memburu cinta, sebaliknya letakkan cintamu di satu darjat untuk digapai oleh insane terpilih yang pasti hebat. Yakinlah bahawa Allah menjanjikan cinta yang terbaik buat kita. Bersabarlah dan bercintalah dengan bijaksana…mudah-mudahan Allah menganugerahi cinta…sampai syurga. InsyaAllah.

1 comment:

Cikgu Aina said...

Tergerak untuk bercakap tentang cinta kala melihat remaja asyik melayan rasa sedangkan ada keutamaan lain yang perlu didahulukan. Mudah-mudahan cinta tidak membutakan mata anak-anak yang dikasihi. Cintailah masa depanmu dan maruah dirimu terlebih dahulu...