Thursday, October 20, 2011

Cabaran...

'Challenges aren't there to stop you... They are there to see if you have the courage to defeat them!' Temui kebenaran pada ungkapan tersebut? Seringkali kita menganggap bahawa cabaran adalah satu halangan yang adakalanya menjadi titik henti pada satu perjuangan. Saya juga tidak terlepas dari situasi sebegitu. Namun alhamdulillah, sehingga kini saya masih mampu meneruskan setiap langkah meski ada ketikanya semua itu memerlukan usaha dan daya yang bukan sedikit. Cabaran adalah lumrah kehidupan. Hari ini saya sedikit kecewa apabila melihat anak-anak murid agak mudah berputus asa dan kecewa. Hanya semata tidak memahami satu topik, mereka dengan mudah mengatakan bahawa subjek berkenaan tidak mampu dikuasai. Lebih dukacita apabila ada anak murid yang menjadikan kemiskinan dan kesusahan hidup sebagai alasan untuk tidak berupaya cemerlang! Hmmmmppphhhh!!!!... Saya cuba menerapkan nilai kesungguhan dan keazaman dalam diri anak-anak didik saya (sebagaimana saya memberitahu bahawa usaha itu tangga kejayaan). Mengapa agaknya remaja hari ini ramai yang berjiwa kecil? Bagai semalu...pantang diusik, terus menguncup! Mungkinkah berpunca dari didikan ibu bapa yang 'over protective'? atau terlebih sayang sehingga anak-anak hilang daya juang? Atau, mungkin juga kesilapan pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga lupa menegaskan nilai 'survival' atau kelangsungan hidup kesan tindakan insan? Masih banyak ruang perbincangan berkenaan perkara ini. Pada tahun lepas, saya membuat satu kajian tindakan berkenaan daya juang anak-anak murid saya. Saya menggelarkan program saya sebagai 'Rakan tempur'. Tujuannya? menjolok sarang tebuan! Saya melihat anak-anak murid saya cepat berpua hati, lantas saya sediakan satu arena perjuangan. Bukan untuk bergaduh, hanya bersaing secara sihat untuk mencapai kecemerlangan. Pertempuran dibuat sebanyak 3 kali. Medannya ujian dan peperiksaan. Pusingan pertama, saya tentukan saingan. Pusingan kedua, anak-anak murid memilih saingan masing-masing. Pusingan akhir? anak-anak murid berusaha menyaingi pencapaian terbaik diri sendiri. Kesannya? Alhamdulillah, daripada 30 orang pelajar, 25 orang mendapat gred A, 4 orang mendapat gred B dan hanya seorang mendapat gred C dalam peperiksaan SPM. Sebelum program 'Rakan Tempur', hanya ada 2 orang sahaja yang pernah mendapat gred A, 4 orang mendapat gred B, 3 orang gagal dan selebihnya mendapat gred C. Anak-anak murid saya sebenarnya pandai, cuma mereka tidak mahu mencabar diri. Mereka bagai tidak suka akan cabaran. Saya melihat sikap itu boleh diubah. Oleh yang demikian, saya wujudkan cabaran dan saingan. Saya cuba nyalakan 'api perjuangan' di dada dan minda mereka. Saya akui, saya tidak berjaya menggerakkan mereka 100%, masih ada yang lalai, leka dan selesa dalam zon selesa masing-masing. Tapi, saya sekurang-kurangnya sudah mencuba. Anak-anak murid saya juga sudah mencuba. Kami sudah melihat hasil cabaran masing-masing. Hari ini saya amat bersyukur kerana telah juga berjaya menangani cabaran sebagai guru kala itu.Alhamdulillah. Hari ini, saya masih berdepan dengan pelbagai cabaran yang ada kalanya begitu menjengkelkan. Namun, saya yakin bahawa cabaran itu adalah sesuatu yang perlu diatasi dan bukannya disesali. Maka, sahutlah cabaran masing-masing selagi ianya tidak membawa kemudaratan. Berusahalah mengatasi setiap satunya dengan kebijaksanaan agar satu masa nanti kita boleh tersenyum dan berkata..."apapun keadaan dan halangannya, aku sudah berjaya mengharunginya..." Insyaallah.