Saturday, July 11, 2015


Kenangan Hari Raya   #RayaTreasures

Saya anak perempuan kedua yang dibesarkan dalam keluarga besar Hj.Pg.Jaafar Bin Hj.Pg. Rauf .  Adik beradik saya tujuh orang  kesemuanya.  Bapa saya  terkenal  di kampong sebagai seorang guru besar yang tegas, garang tetapi penyayang.  Pada tahun 1982 saya dihantar ke sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan (Sek.Men.Sains Tuanku Jaafar,Kuala Pilah) memandangkan di Sabah belum ada sekolah berasrama penuh waktu itu.   Sejak itu saya tidak pernah berhari raya dengan keluarga saya sehinggalah saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada akhir tahun 80-an.  Demi masa depan saya mesti reda dan tabah.  Itulah pesan bapa.  Setiap kali hari raya emak pasti menangis, namun bapa tetap ceria dengan gurau senda meskipun kami sekadar bertelefon.  Kiriman kuih dan duit raya tidak pernah dilupakan walaupun ada  ketikanya  kuih yang dikirim itu sampai  kepada saya dalam keadaan yang tidak lagi berbentuk.  Semuanya saya terima dengan dengan rasa syukur kerana pastinya kiriman itu penuh dengan ingatan dan kasih sayang dari keluarga di Sabah. Sedih di hati hanya Allah yang tahu. Saya akur bahawa saya tidak dapat pulang sesuka hati. Selain terikat dengan peraturan penaja biasiswa, waktu itu juga belum ada lagi penerbangan tambang murah . Maka akhirnya saya terbiasa berhari raya bersama keluarga angkat dan rakan-rakan sahaja.
            Kali pertama kembali berhari raya bersama keluarga, saya  begitu teruja . Kalau boleh saya ingin semuanya serba sempurna. Baju hari raya, hiasan rumah, kuih muih semuanya mesti ada.  Waktu itu bapa ditugaskan di Tawau. Kami berhari raya jauh dari kampung halaman di Papar.  Namun kegembiraan jelas terpancar dari rumah kecil kami di kawasan sekolah yang lengang sewaktu cuti hari raya.  Tidak tergambar nikmat berhari raya bersama keluarga.  Alhamdulillah. Sejak itu setiap hari raya rumah kami pasti meriah. Bapa tidak pernah lupa menegaskan kepentingan memupuk kasih sayang dan hormat-menghormati  dalam kalangan ahli keluarga. Selalunya, kami akan  bersama-sama mebuat persiapan raya. Tugas yang pelbagai itu dibahagi sama rata. Almaklum anak-anak cikgu. Selepas sembahyang raya, kami akan berbaris untuk bersalaman dengan ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua. Kadang-kadang  kami terasa macam perbarisan di sekolah pula. Setelah selesai bersalaman,  kami akan mengambil gambar keluarga. Rutin ini amat kami gemari.  Suara bapa lah yang paling kuat sekali terutama apabila mengusik emak. Kami anak-anak sekadar menjadi tukang sorak. Hari raya kami penuh dengan gelak ketawa dan gurau senda tanpa lupa makna sebenar Hari Raya.
            Setelah berumah tangga, giliran berhari raya mula terasa.  Saya selalunya berhari raya di rumah mertua memandangkan saya tinggal berhampiran dengan keluarga saya di Papar.  Bapa sering memujuk kala cucu-cucunya bagai enggan meninggalkan keluarga untuk balik berhari raya di rumah keluarga besannya.  Bapa pandai mengambil hati anak-anak kecil agar tidak terasa dipaksa berhari raya di tempat lain.  Setiap kali balik dari kampung  mertua anak-anak saya akan bermalam di rumah bapa.  Mereka akan bermain bunga api, memasang pelita, bercerita dan pergi menikmati roti canai di Kedai ‘Anisha’. Itulah  juga salah satu rutin bapa bersama cucu-cucunya. Bapa tegas dengan cucunya tetapi dia juga mewah dengan kasih sayang .
            Pada tahun 2013, kesihatan bapa mula merosot. Bapa telah membuat pembedahan pintasan  jantung beberapa tahun sebelumnya. Meskipun kurang sihat, bapa tetap berusaha  ceria.  Ketika bersalaman, salam bapa kejap, pelukannya amat erat, kami amat tersentuh dan terharu sehingga masing-masing menitiskan airmata. Tapi, semua itu adalah lumrah ketika kami maaf-maafan.  Namun ketika kami selesai bersalaman,( kebetulan pada tahun itu kami semua berhari raya di rumah bapa) bapa jelas sugul. Ketika kami berkumpul untuk mengambil foto keluarga, bapa agak muram.  Bapa hanya ketawa apabila cucu-cucunya mula mengusik hati dengan pelbagai ragam dan rupa.  Dalam diam-diam, emak sempat bertanya kenapa bapa kelihatan sedih.  Jawapan bapa tetap tersemat di ingatan saya sampai bila-bila,   “ entahlah, ini mungkin kali terakhir kita dapat berhari raya bersama-sama ”. Renungan bapa jelas sayu, mata emak berair,  saya segera beralih pandang tidak sanggup menghadam hakikat itu.  Kala cucu-cucu bertanya, kami Cuma mengatakan yang “atuk penat dan kurang sihat”.
            Ternyata selepas itu kesihatan bapa terus merosot. Kunjungan ke hospital sudah menjadi biasa kepada bapa. Begitu juga apabila bapa terpaksa di tahan di hospital. Kami bergilir-gilir menjaga bapa. Emak dan adik-adik adalah antara yang hampir tidak pernah jauh dari sisi bapa.  Saya pula hanya sesekali dapat menjaga bapa atas kekangan tertentu. Namun bapa tetap memahami,  bahkan sering menenangkan hati saya dengan kata-kata hikmahnya.  Akhirnya, pada 08 Feb 2013, bapa pergi menemui Yang Maha Esa. Meski luluh hati kami, tapi kami reda. Perpisahan itu pasti, tetapi “ Daripada Allah kita datang, maka kepada-Nya lah jua kita dikembalikan”.
            Hari raya selepas itu sudah kurang serinya. Persediaan hari raya kami buat seadanya. Terlalu payah sebenarnya terutama kepada emak yang tidak banyak berkata-kata, namun kami mengerti isi hatinya.  Kami masih meraikannya seperti sebelumya, namun ternyata ia berbeza. Emak paling terkesan sehingga tidak mahu rutin mengambil gambar keluarga diteruskan.  Cucu-cucu juga bagai faham erti kehilangan. Sering kali mereka mengungkap kata “dulu,atuk akan ...” atau “kalau atuk masih ada...”.  Kami cuba memujuk hati dan juga anak-anak kami agar reda dengan ketentuan Illahi. Kami menambah rutin hari raya dengan menziarahi kubur arwah bapa. Hari raya tetap bermakna namun biasan cahayanya mula kami lihat dari sudut yang berbeza.
            Terima kasih bapa atas segala-galanya. Hari raya yang menjelang tiba semakin menguatkan ingat kami kepada bapa.  Hari raya kami masih ceria sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan setelah Ramadan,  tapi ia sudah tidak sama tanpa bapa. Pesan bapa agar anak-anaknya sentiasa tabah dan reda tetap terpahat di sanubari.  Hari raya bukan sekadar bersuka-ria tetapi membina makna dan sedar akan hakikat diri sebagai insan, juga mensyukuri nikmat dan rahmat. Nikmat hari raya semakin dihargai setelah kita pernah merasa kehilangan. Ianya perit tapi itulah hakikat hidup. Hargailah mereka yang masih ada di sisi kita sebelum tiada.
             Hari raya akan terus hadir di hati-hati kami dengan sabar dan syukur.  Kenangan bersama arwah bapa tetap ada di hati kami sampai bila-bila. Rindu di hati ini akan tetap terus mengalir selagi ada denyut nadi. Selamat Hari Raya bapa, semoga roh bapa sentiasa dilimpahi rahmat Illahi.  Aamiin.

Salam Aidilfitri.
  


Aidilfitri 2013 :Gambar keluarga terakhir bersama arwah bapa.



Aidilfitri 2013 : Gambar arwah bapa & mama bersama cucu






























Monday, July 6, 2015

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Baru-baru ini anak-anak didik saya dari kelas 6 bawah telah menduduki ujian topikal yang pertama. Ternyata kebanyakan daripada mereka masih belum menguasai cara menulis esei yang baik meskipun penerangan telah diberikan terlebih dahulu. Apa yang dihadapi oleh anak-anak murid saya mungkin turut dialami oleh pelajar-pelajar lain...Kan? :-)  Tidak mengapalah, ini adalah first try. Sama-sama kita ambil iktibar dan perbaiki kelemahan esei masing-masing. 

Esei itu juga dipanggil karangan. Maka  soalannya, 'apa yang hendak dikarang'? Sudah tentulah sesuatu yang berkait dengan kehendak soalan. Apa yang ditanya, itulah yang dijawab.  Kita boleh mengarang tentang satu-satu perkara itu setelah kita faham akan perkara atau cerita yang ditanyakan. Kejayaan menulis karangan atau esei itu terlebih dahulu bersumber daripada kefahaman pelajar terhadap perkara yang ditanya. Cukupkah setakat itu saja? Jawapannya...Tidak!!! Setelah kita berjaya membina kefahaman, kita mesti boleh menghurai atau berhujah. Bukan sekadar mengemukakan fakta saja, tetapi mestilah dihuraikan atau dihujahkan secara tertib dan jelas beserta bukti atau contoh yang betul. . Untuk kelancaran hujahan, pelajar perlu ada gaya bahasa yang baik dan meyakinkan. Hmmmmm...sukar? Tidak sebenarnya. Hal inilah yang dinyatakan dalam rubrik pemeriksaan skrip jawapan yang selalu disebut sebagai PTK. Pengetahuan, Taakulan/reasoning dan Komunikasi. Pelajar pasti tahu markah penuh untuk Pengetahuan ialah 8, mana kala untuk Taakulan dan Komunikasi masing-masing membawa 6 markah.

Berikut saya berikan sedikit catatan berkenaan menulis esei sejarah yang baik. Catatan ini bukanlah yang terbaik tetapi mungkin boleh membantu pelajar menambahbaik kemahiran menulis esei masing-masing.

_________________________________________________________________________________

Panduan Menulis Esei Sejarah yang baik

Di sini dinyatakan satu panduan yang sangat berguna pada calon Kertas Sejarah  STPM, agar esei yang ditulis menepati kehendak dari segi format menjawab. Jawapan mestilah mengikut kehendak oleh soalan. Tuliskan sebanyak mungkin isi yang dianggap mencukupi dan memenuhi kehendak soalan (biasanya 4-5 isi memadai tetapi perlu dihurai dan diberikan bukti). Jangan sesekali tidak cuba menjawab. Gunakan kaedah pertanyaan 5W 1H untuk mencungkil idea. Sentiasa wujudkan persoalan dalam kepala calon agar calon dapat menulis jawapannya. Pastikan idea logik dan tersusun serta menepati kehendak soalan.  Esei sebaiknya lancar dibaca dan mudah difahami. Bagi manampilkan kematangan berbahasa & berhujah, sebaiknya menggunakan penanda wacana yang betul. Contoh :
Penanda antara perenggan : Di samping itu, sementara itu, faktor seterusnya…
Penanda contoh : Misalnya, sebagai contoh, contohnya…
Penanda untuk huraian: Hal ini menyebabkan, jelaslah bahawa…
Penanda untuk menutup isi : kesannya, akibatnya, akhirnya…
Penanda untuk kesimpulan : Kesimpulannya ialah, konklusinya

Cara Menulis Esei Yang Baik:

A.      CIRI-CIRI PENDAHULUAN
1. Ditulis pada perenggan Pertama
2. Bukan Kehendak Soalan/Isi
3. Pengertian Kepada Konsep (jika soalan TIDAK bertanyakan konsep dalam soalan)
4. Latar Belakang Kawasan/ Latar Belakang Kepada Tema/latar belakang kehendak soalan

B. ISI:
Isi yang hendak ditulis mestilah mengandungi FHC iaitu Fakta + Huraian  + Contoh

FAKTA:
1. Bilangan fakta bergantung kepada kehendak soalan tu.
2. Satu soalan: biasanya perlu ada 4-5 fakta/isi (Jika ada lebih, tulis semua agar lebih selamat)
3. Jika lebih daripada satu bahagian: Perlu pertimbangkan kepentingan bahagian. (Contoh: Kalau soalan hendak konsep dan faktor, tentulah huraian  faktor lebih banyak daripada konsep)
4. Fakta yang baik mempunyai huraian dan contoh
5. Setiap fakta ditulis dalam satu perenggan (gunakan penanda wacana di awal perenggan utk menunjukkkan kesinambungan antara perenggan)

HURAIAN:
1. Menjadi penerangan kepada fakta
2. Soalan yang boleh mendorong kepada huraian ialah mengapa/ kenapa/ bagaimana/ apakah implikasi/ kesannya (Kaedah 5W 1H)
3. Satu fakta memadai dengan 3-4 huraian

CONTOH:
1. Merupakan bukti kepada fakta atau huraian
2. Soalan yang boleh mendorong mengemukakan contoh:
i.        Bila (tarikh, tahun, abad)
ii.       Siapa (nama, kaum,)
iii.      Di mana (tempat)
iv.      Banyak mana (kadar, bilangan)
v.       Apa ( peristiwa )

C. KESIMPULAN:
1. Apa sahaja yang berkaitan dengan kehendak soalan dan ditulis secara ringkas & padat
2. Tidak mengulangi pernyataan soalan
3. Tidak menyenaraikan/mengulang isi
4. Bertujuan menyimpulkan perbincangan

Peringatan:
Jangan sesekali calon tidak menulis Pendahuluan dan Kesimpulan, kerana kedua-dua bahagian ini diambil kira untuk aspek komunikasi.

·         Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih…
·         Andai tangan kita yang mencencang, maka bahu kitalah yang harus memikul…
·         Masa depan kita adalah apa yang kita usahakan, bukan sekadar apa yang kita angan-angankan!!!

ALL the BEST!

Cikgu Aina Jaafar