Saturday, February 3, 2018

Cerita STPM P3/2017

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera...

Terlalu lama meninggalkan ruangan ini. Sangat lama sehingga mengumpul debu dengan jayanya. Maaflah, menulis di sini sudah menjadi satu perkara yang tidak termasuk dalam senarai keutamaan apatah lagi keperluan. Masa mengubah kita...right? Tiada salahnya di situ. Akur saja dengan segala yang berlaku.

Pagi ini, hati terpanggil menjenguk laman . Tersenyum sendiri melihat kegigihan diri suatu waktu dulu. Kini bukannya tidak rajin dan hilang semangat itu, cuma tidak berkesempatan. Biasalah, kita akan mencari alasan untuk membenarkan segala tindakan kita...rignt? (sambil senyum senget) So...enough with the 'alasan' dan mari mula bercerita semula.

Memulakan bicara terkadang sukar. Kenapa? terlalu banyak ingin dikongsi sehingga tidak terluah! Ahhhh...alasan lagi (senyum sinis dah ni) 

Minggu lepas, keluar keputusan STPM P3 2017. Pada 1 Feb 2018 sebenarnya. Kala itu kami satu sekolah sedang mengadakan Kejohanan Olahraga . Hati berbahagi, di padang dan keputusan yang akan keluar bermula jam 10 pagi. Seperti biasa juga, guru-guru ini akan membahagi masa sebaiknya, maka selepas jam 10 saya beredar ke bilik guru walau kala itu hati berat mahu menyaksi acara kemuncak sukan sekolah. Saya perlu memilih dan saya tekal dengan pilihan itu.

Satu demi satu keputusan dibelek. Debaran yang dirasa sejak sebelumnya mula mereda. Gembira dan duka itu silih berganti. Alhamdulillah itu yang mampu dilafaz berulang-ulang kali. Kita sudah berusaha, sudah juga berdoa maka tibalah masa untuk berlapang dada. Ada anak-anak didik yang kemudiannya menghantar pesanan (wsap, mesengger, sms, dm..etc) Isinya? berkongsi gembira dan juga kecewa. Alhamdulillah, ada ingatan buat gurunya yang seorang ini. 

Pada saya, semua mereka ini berjaya. Atas usaha yang telah mereka laksana sepanjang menjadi pelajar saya. Tiada yang mahu gagal dalam apapun perkara yang dilakukan. Tiada yang mahu merasa kecewa. Namun terkadang langkah kita kecundang juga. Harapan kita sekadar bayangan gurauan...tidak menjadi kenyataan. Benar kita terluka...tapi bersabarlah. Yakini ada hikmahnya. Bukanlah bererti saya tidak memahami. Bukan juga bererti memperkecilkan pelajar...tidak sama sekali. Sebab mengertilah maka saya berkata begini. 

Saya percaya kita semua adalah sebaik-baik ciptaan Tuhan. Setiap dari kita tidak sempurna. Ada lebih dan ada kurangnya. Macam jari-jari di tangan kita. Tidak sama tinggi rendah dan bentuknya. Namun cukup sempurna melaksanakan tanggungjawabnya kepada fizikal kita. Begitulah tersurat dan tersiratnya. Maka manfaatkanlah setiap satu kelebihan kita, perbaiki kelemahan kita dalam usaha mencapai apa yang kita kehendaki. Akur bahawa kita diberi usaha, diberi doa sebagai senjata dalam perjuangan kita. Gunalah sebaiknya. Kalah menang itu adat. Dengan izin Tuhan kita berjaya, dengan kehendak Tuhan juga kita merasa kecewa. Percayalah, sebagai guru saya telah merasa suka duka itu berkali-kali. Setiap kali gembira...alhamdulillah dan setiap kali saya kecewa,alhamdulillah juga. Kenapa? Semuanya atas ketentuan Tuhan. Saya sudah berusaha sehabis daya, berdoa dan bertawakal sepenuhnya dan saya berusaha untuk reda. Tuhan akan memberi peluang untuk saya mencuba lagi. Insya-Allah . Perkara yang sama perlu ada juga pada para pelajar. Anda sudah boleh mengesan di mana kelebihan dan kekurangan anda. Segala kekuatan, kukuhkan...segala yang masih kurang, baiki! Itu usaha. Bukan sekadar menangisi kekurangan diri, mengadu dan merayu ke sana ke mari tetapi tidak berusaha sebaiknya. Kesat airmatamu...atur kembali langkahmu. Ingat semangat Jihad (berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang disuka atau menjauhi apa yang dibenci). Kalau kita berusaha, pasti kita akan mendapat...kannnn?

Maka anak-anakku, berusahalah sebaiknya. Berdoa dan bertawakal lah sepenuh hatimu. Yakini semuanya pasti akan baik-baik saja buatmu. Jangan mudah kecewa dan putusa asa. Jadilah insan yang berjiwa besar. Bukan untuk membesar diri tapi untuk menjadi sebaik-baik hamba di muka bumi ini. Pesan cikgu jagalah akidahmu, akhlakmu dan ilmumu,dengan izin Tuhan kamu akan beroleh kejayaan di dunia dan akhirat. Mudah-mudahan.

Saya berhenti di sini dulu. Cukuplah permulaan cerita 2018. Mudah-mudahan saya berkesempatan bercerita lagi. So see you when i see you.