Tuesday, December 9, 2014

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera...

Terlalu lama rasanya tidak menjengah ruangan ini. Terakhir kalinya pada tahun lalu (lama tuuu :-) )

Kali ini saya cuba untuk menulis lagi. Mudah-mudahan saya diberikan kelapangan dan keinginan untuk kembali menulis.

Hari ini 9 Disember 2014.  Musim cuti sekolah bagi tahun ini. Cuti persekolahan adalah waktu yang paling dinanti oleh semua warga sekolah. Bukan bererti musim persekolahan itu satu tempoh yang menyiksakan...jangan salah anggap ya ;-)  Cuma inilah waktu untuk kita semua merehatkan diri dan minda serta membuat refleksi sebelum sesi 2015 tiba.

Suatu saya masih bersekolah, cuti persekolahan amat dinantikan. Sepanjang bersekolah menengah saya hanya berpeluang balik kampung setahun sekali. Cuti  hujung tahun sangat-sangat saya nantikan. Mungkin ada yang bertanya 'kenapa'?. Semuanya kerana saya pemegang biasiswa Yayasan Sabah yang melanjutkan persekolahan menengah saya di semenanjung. Bermula 1982 sehingga 1988. Ya...sepanjang saya bersekolah dari tingkatan satu hingga tingkatan enam, saya hanya boleh balik kampung setiap cuti hujung tahun sahaja. Cuti penggal lainnya akan diisi dengan Program Perkampungan Pelajar Yayasan Sabah mengikut zon. Saya bersekolah di Negeri Sembilan (kemudiannya Melaka sekejap dan berakhir di Batu Pahat,Johor) maka saya berada di zon Selatan.

Semasa cuti penggal aktiviti wajib ialah kelas tambahan, lawatan, sukan dan kebudayaan dan beberapa siri ceramah (agama dan motivasi). Kuliah subuh pula wajib dihadiri setiap hari. :-)  Kami juga diberikan beberapa peluang mengasah bakat dan kemahiran, antaranya memasak dan menulis. Saya juga pernah belajar bermain kompang sewaktu di Melaka. Pendek kata ada banyak kegiatan yang dilakukan demi mengisi masa lapang sepanjang bercuti. Kadang-kadang seperti tidak bercuti kerana kami masih perlu memakai uniform sekolah dan terikat dengan deringan loceng. Anehnya, kami masih boleh bergembira dan bergelak ketawa...itulah dunia remaja. 'Ada kawan semua pun boleh jalan', Hahahaha!! (terlebih sudah) :-P

Kami juga diberikan keluarga angkat pada waktu-waktu tertentu. Bukan sebagai galang ganti keluarga, tetapi sebagai langkah intergrasi dengan masyarakat tempatan. Namun pastinya kami dianggap sebagai anak sehingga diberikan layanan yang sungguh istimewa dalam masa seminggu menumpang kasih. Keluarga angkat saya orang Melaka, maka saya diajar menggiling cili dan makan cencalok. Syukur alhamdulillah kerana diberikan peluang menikmati semua itu pada usia yang masih hijau.  Pengalaman hidup berdikari di negeri orang rasanya memang membentuk peribadi insan seperti saya. Kami anak-anak Yayasan Sabah berkongsi pelbagai perkara , rasa dan rahsia. Ikatan itu erat dan mengikat jiwa kami sehinggalah dewasa hari ini. Kawan-kawan inilah merupakan keluarga ganti sepanjang hidup di rantau orang.

Hmmmmm...bernostalgia sekejap. Semua itu adalah catatan sejarah dalam hidup saya. Hakikat itu membentuk diri saya hari ini dan mungkin akan mempengaruhi masa akan datang.

Tidak seperti hari ini, dulu di Sabah belum ada sekolah berasrama penuh (saya dihantar ke sekolah menengah sains di Kuala Pilah pada tahun 1982) . Bagaimanapun, adik ketiga saya berjaya memasuki Sekolah Berasrama Penuh Sabah di Kota Kinabalu pada tahun 1985, waktu itu saya sudah berada di tingkatan empat.  Pada tahun 1997 pula adik kelima saya berjaya memasuki Universiti Malaysia Sabah. Nampak peningkatannya? Syukur alhamdulillah. Kemudahan pendidikan di Sabah semakin baik, tapi yang sedihnya pencapaian pelajar di Sabah masih belum begitu cemerlang.  Kenapa? Banyak faktor yang mempengaruhi keadaan tersebut. Saya enggan membicarakan keadaan yang berada di luar lingkungan saya. Apa yang pasti...masih jauh perjalanan untuk mencapai bintang di langit. Apa-apapun kita mesti ada keinginan untuk memulakan langkah tersebut. Mimpilah sampai ke bintang :-)

Dulu...saya terpaksa tinggalkan keluarga saya demi mencari ilmu. Banyak dugaan dan cabaran yang diharungi sebelum saya berjaya menggenggam segulung ijazah yang dicitakan. Tapi saya berjaya juga akhirnya.  Kini anak-anak didik saya kebanyakannya mempunyai pelbagai kemudahan dan kesenangan di depan mata. Malangnya kesenangan ini menyebabkan mereka leka. Lalai dengan pelbagai nikmat sehingga keinginan untuk meraih ilmu semakin kurang, Tidak saya nafikan masih ramai yang mempunyai kesedaran itu dan berjaya akhirnya. Namun lebih ramai yang hanya inginkan kesenangan tanpa berusaha. Kesannya? ketinggalan!!!  Ramai anak muda kini yang beanggapan ibu bapa lah yang , bertanggung jawab memberikan segala kesenangan kepada anak dan  kita (ibu bapa) yang dulunya susah sanggup bergolok bergadai demi memberikan peluang senang kepada anak...kan?  Tidak salah memberi keselesaan kepada anak tetapi jangan sampai mereka hilang tanggung jawab pada diri sendiri.

Apa yang hendak saya bicarakan sebenarnya ialah anak-anak mesti ada kesedaran untuk berjaya bukan saja dalam pelajaran tetapi untuk masa depan. Anak-anak juga tidak wajar berasa terlalu takut pada cabaran hidup susah sebagai pelajar jika ingin kehidupan yang lebih senang di kemudian hari.  Kita sebagai ibu bapa, sebagai guru pula perlulah memberi peluang kepada anak -anak ini untuk berdikari. Ingatlah bahawa anak-anak kita itu adalah insan lain yang bukan kita. Berilah mereka peluang melakar hidup mereka sendiri dengan bimbingan dan nasihat kita yang lebih tua. Biarlah mereka merasa sedikit susah demi esok yang belum pasti kita boleh menaungi mereka.  Jangan menilai mereka semata-mata mereka tidak menepati standard kita. Bersabarlah, teruskan berusaha dan berdoa. Yakinlah bahawa kejayaan itu pasti ada.

'Nasib kita tidak akan berubah sehinggalah kita berusaha mengubahnya'...klise? tapi itulah hakikat. Berusahalah selagi berdaya agar kita tidak menyesalinya di kemudian hari.  Jangan jemu mencari ilmu demi dunia dan akhirat jua. Insyaallah... ; -)

Wassalam.



Thursday, February 14, 2013

Bangau Oh Bangau...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera...

Akhirnya, setelah sekian lama...kita bersua semula. Hampir setahun saya tidak menulis apa-apa di sini. Alasan? Tidak ada yang spesifik (namapun alasan), sekadar memilih untuk mengutamakan perkara yang lain buat sementara waktu. Well..I'm back!!!

Kali ini saya nak bercerita sedikit tentang cerita 'bangau oh bangau'.  Janganlah hairan pulak.  Rasanya kebanyakan kita tahu lagu 'bangau oh bangau' kan?

"Bangau oh bangau...kenapa engkau kurus?  Macam mana aku tak kurus, ikan tidak timbul.
Ikan oh ikan...kenapa kau tak timbul?  Macam mana aku nak timbul, rumput panjang sangat.
Rumput oh rumput...kenapa engkau panjang?  Macam mana aku tak panjang, kerbau tak makan aku.
Kerbau oh kerbau...kenapa tak makan rumput?  Macam mana aku nak makan, perut aku sakit.
Perut oh perut kenapa engkau sakit?  Macam mana aku tak sakit, makan nasi mentah.
Nasi oh nasi...kenapa engkau mentah?  Macam mana aku tak mentah, kayu api basah.
Kayu oh kayu...kenapa engkau basah?  Macam mana aku tak basah, hujan timpa aku.
Hujan oh hujan kenapa kau timpa kayu?  Macam mana aku tak timpa, katak panggil aku.
Katak oh katak...kenapa panggil hujan?  Macam mana aku tak panggil, ular nak makan aku.
Ular oh ular...kenapa nak makan katak?  Macam mana aku tak makan, memang makanan aku!!"
(boleh nyanyi sendiri ya )

Ceritanya berkenaan 'ALASAN'.  Bermula dengan bentuk fizikal, sikap, diet, kesihatan,persekitaran, kelangsungan hidup (survival) dan akhirnya satu pengakuan yang tulus ikhlas! Siapa lagi kalau bukan sang ular, meskipun lidahnya bercabang namun dengan berani mengakui hakikat sebenar tanpa memberikan apa-apa alasan.

Masyarakat kita  cenderung beralasan atas apa sahaja perkara yang dipersoalkan oleh sesiapa sahaja.Betulkan? Mungkinkah kita terlalu takut dengan tanggapan orang lain? Atau tidak yakin pada diri sendiri? Hmmmmm...tepuk dada dan tanyalah selera masing-masing.Anda boleh berikan 1001 jawapan...kan?

Namun, adakah sikap generasi hari tidak lagi seperti sikap  masyarakat yang mencipta lagu 'bangau oh bangau' tadi?  Sepanjang 20 tahun saya berkhidmat dalam bidang pendidikan saya berpeluang mendekati pelajar yang mempunyai pelbagai warna sikap dan tingkah lakunya. Saya dapati anak-anak didik saya masih tidak silu untuk beralasan jika keadaan memerlukan mereka berbuat begitu.

Analoginya kini begini...kalaulah ditanya pada bangau kenapa ia kurus, bangau akan menjawab "Diet". Tanya pada ikan kenapa ia tak timbul, "Kat bawah ni lagi selesa". Tanya pada rumput, kenapa engkau panjang? "Sengaja..spisies aku ni mahal untuk hiasan taman terutamanya kat tepi kolam". Tanya pada kerbau kenapa tak makan rumput? jawabnya "makanan sihat tu tak sedap". Tanya pada perut kenapa rasa sakit?, jawabnya  "terlebih makan..". Tanya nasi kenapa mentah? Jawabnya " jarang dah orang makan nasi, fast food kan ada". Kayu yang basah pula? "Kesan La-Nina, kadang-kadang El-nino". Hujan oh hujan...kenapa engkau turun? jawabnya "musim dah tak menentu...global warming lah katakan". Katak pulak, kenapa panggil hujan? jawapannya? "air condition dah rosak...panas". Apabila kita nak tanya ular.."Yang awak sibuk apa pasal!!!asyik bertanya saja..penat dah nak jawab!".

Maka, selagi kita bernama manusia, kita tidak akan pernah berhenti bertanya, menjawab dan beralasan! Pada bila-bila masa sekalipun! Cuma, alasan kita saja yang berbeza-beza mengikut keadaan di mana kita berada. Adakah kita bersalah? Sudah tentu tidak jika kena pada keperluannya. Cuma akan menjadi salah jika kita asyik menyoal dan beralasan sesedap rasa. Hmmmmm? Adakah dimengerti hakikat ini?

Saya pun agak sering bertanya, agak rajin juga bersoal jawab, sesekali turut beralasan. NAMUN...pesan saya, sesekali kita ini perlu mendengar untuk memahami dan bukan untuk menjawab. Kita juga tidak perlu melayan segala soalan yang di luar bidang kuasa dan kemampuan kita. Belajarlah untuk redha dan menerima. Perkara yang lebih penting, selepas kita berusaha sehabis daya, berdoa dengan sesungguhnya, maka kita perlulah bertawakal dan bukan mempertikai. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Mengasihani.








Monday, March 5, 2012

Pesanan Guru...kepada guru

Assalamualaikum w.b. t dan salam sejahtera.
Two honorable kind of love are required of teachers; one is love for learning and the other is the love for learners (Parker J.Palmer)

Thursday, February 23, 2012

A dreamer

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
“Every great dream begins with a dreamer. Always remember, you have within you the strength, the patience, and the passion to reach for the stars to change the world.”

Thursday, October 20, 2011

Cabaran...

'Challenges aren't there to stop you... They are there to see if you have the courage to defeat them!' Temui kebenaran pada ungkapan tersebut? Seringkali kita menganggap bahawa cabaran adalah satu halangan yang adakalanya menjadi titik henti pada satu perjuangan. Saya juga tidak terlepas dari situasi sebegitu. Namun alhamdulillah, sehingga kini saya masih mampu meneruskan setiap langkah meski ada ketikanya semua itu memerlukan usaha dan daya yang bukan sedikit. Cabaran adalah lumrah kehidupan. Hari ini saya sedikit kecewa apabila melihat anak-anak murid agak mudah berputus asa dan kecewa. Hanya semata tidak memahami satu topik, mereka dengan mudah mengatakan bahawa subjek berkenaan tidak mampu dikuasai. Lebih dukacita apabila ada anak murid yang menjadikan kemiskinan dan kesusahan hidup sebagai alasan untuk tidak berupaya cemerlang! Hmmmmppphhhh!!!!... Saya cuba menerapkan nilai kesungguhan dan keazaman dalam diri anak-anak didik saya (sebagaimana saya memberitahu bahawa usaha itu tangga kejayaan). Mengapa agaknya remaja hari ini ramai yang berjiwa kecil? Bagai semalu...pantang diusik, terus menguncup! Mungkinkah berpunca dari didikan ibu bapa yang 'over protective'? atau terlebih sayang sehingga anak-anak hilang daya juang? Atau, mungkin juga kesilapan pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan sehingga lupa menegaskan nilai 'survival' atau kelangsungan hidup kesan tindakan insan? Masih banyak ruang perbincangan berkenaan perkara ini. Pada tahun lepas, saya membuat satu kajian tindakan berkenaan daya juang anak-anak murid saya. Saya menggelarkan program saya sebagai 'Rakan tempur'. Tujuannya? menjolok sarang tebuan! Saya melihat anak-anak murid saya cepat berpua hati, lantas saya sediakan satu arena perjuangan. Bukan untuk bergaduh, hanya bersaing secara sihat untuk mencapai kecemerlangan. Pertempuran dibuat sebanyak 3 kali. Medannya ujian dan peperiksaan. Pusingan pertama, saya tentukan saingan. Pusingan kedua, anak-anak murid memilih saingan masing-masing. Pusingan akhir? anak-anak murid berusaha menyaingi pencapaian terbaik diri sendiri. Kesannya? Alhamdulillah, daripada 30 orang pelajar, 25 orang mendapat gred A, 4 orang mendapat gred B dan hanya seorang mendapat gred C dalam peperiksaan SPM. Sebelum program 'Rakan Tempur', hanya ada 2 orang sahaja yang pernah mendapat gred A, 4 orang mendapat gred B, 3 orang gagal dan selebihnya mendapat gred C. Anak-anak murid saya sebenarnya pandai, cuma mereka tidak mahu mencabar diri. Mereka bagai tidak suka akan cabaran. Saya melihat sikap itu boleh diubah. Oleh yang demikian, saya wujudkan cabaran dan saingan. Saya cuba nyalakan 'api perjuangan' di dada dan minda mereka. Saya akui, saya tidak berjaya menggerakkan mereka 100%, masih ada yang lalai, leka dan selesa dalam zon selesa masing-masing. Tapi, saya sekurang-kurangnya sudah mencuba. Anak-anak murid saya juga sudah mencuba. Kami sudah melihat hasil cabaran masing-masing. Hari ini saya amat bersyukur kerana telah juga berjaya menangani cabaran sebagai guru kala itu.Alhamdulillah. Hari ini, saya masih berdepan dengan pelbagai cabaran yang ada kalanya begitu menjengkelkan. Namun, saya yakin bahawa cabaran itu adalah sesuatu yang perlu diatasi dan bukannya disesali. Maka, sahutlah cabaran masing-masing selagi ianya tidak membawa kemudaratan. Berusahalah mengatasi setiap satunya dengan kebijaksanaan agar satu masa nanti kita boleh tersenyum dan berkata..."apapun keadaan dan halangannya, aku sudah berjaya mengharunginya..." Insyaallah.

Wednesday, August 10, 2011

Lebih dan kurang...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Saya pasti kata-kata ini biasa atau pernah didengarkan:

"After every storm there is a rainbow"
= Akan ada pelangi yang indah setelah selesainya ribut atau hujan.

Maka, walau apa pun ujian yang diberikan kuatkan semangat dan azamkan tekad. Yakinlah dengan janji Tuhan.

Biarlah kita miskin sekalipun, biarlah kita buruk pun, biar kita cacat, asal hidup mendapat Berkat.

Cubalah kita renung dan fikrkan, setiap kekurangan yang diberikan pasti ada kelebihan yang mengimbangi. Begitu juga sebaliknya. Setiap kelebihan itu pasti ada kekurangan kerana kita memang diciptakan sebagai makhluk yang lemah dan tidak sempurna. Jangan pernah rasa rendah diri dengan kekurangan diri, kerana percayalah, setiap yang Allah kurniakan pastinya mempunyai kelebihan tertentu.

Ingatlah bahawa Tuhan menciptakan manusia dengan segala kelebihan dan kekurangan. Hikmahnya, agar manusia itu hidup bersama dan tidak mementingkan diri sendiri. Bagaimana? dengan cara saling lengkap melengkapi. Seperti yang kaya membantu yang miskin, yang sihat membantu yang sakit dan begitulah sebaliknya.
Ingatlah langit tidak selalu cerah dan kita tidak selalu dan selamanya berada di atas. Janganlah kita mencaci kekurangan seseorang itu kerana mungkin suatu hari kita memerlukan sesuatu (yang kita tidak ada) daripada orang yang kita pernah hina dulu.

Sesungguhnya, kekurangan di dalam hidup kita bukanlah pengakhir dan penghujung dunia. Sebaliknya besyukurlah, kerana suatu saat nanti pasti akan datang seseorang melengkapi kekurangan kita dengan kelebihannya. Jangan pernah berputus harap dan teruskan berdoa.

Dan ingatlah,Setiap kekurangan yang kita miliki, merupakan kelebihan yang tidak ada pada orang lain. Bukan semua orang dapat memiliki kekurangan yang kita ada. Bukankah kekurangan dan ujiaan itu satu bentuk dan tanda sayangnya Allah kepada kita?

Jadikanlah kekurangan yang kita miliki itu sebagai sumber kekuatan, simbol kehebatan dan bukanlah sesuatu yang menghancurkan. Bersyukurlah dengan setiap kurniaanya. Kebaikan mahupun keburukan. Kedengarannya mungkin sukar kan? Namun cubalah untuk ikhlas menerima setiap kekurangan mahupun kelebihan kita. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui, Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.

Untuk kesekian kalinya, marilah kita memanjatkan rasa syukur dengan setiap kurniaanNya, sama ada kelebihan, mahupun kekurangan... dan terimalah semuanya dengan penuh kesabaran.

Monday, August 1, 2011

3 Things in life

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

3 Things in life that once gone and never come back
Time, words, opportunity

3 Things in life that can destroy a person
Anger, pride, unforgiven

3 Things in life that you should never lose
Hope, peace, honesty

3 things in life that are most valuable
Love, Family & Friends, Kindness

3 things that are never certain
Dreams, success, fortune

3 things that make a person
Hardwork, sincerity, commitment

kata lainnya:
3 perkara dalam kehidupan yang setelah pergi tidak akan kembali
Masa, Kata-kata dan peluang.

3 perkara dalam kehidupan yang boleh membinasakan insan
Kemarahan, keangkuhan dan keengganan memaafkan.

3 perkara dalam kehidupan yang perlu dipertahankan
Harapan, keamanan dan kejujuran.

3 perkara yang amat berharga dalam hidup
Kasih sayang, Keluarga dan sahabat, juga kebaikan.

3 perkara yang tidak pernah pasti dalam kehidupan
Impian, Kejayaan dan kekayaan.

3 perkara yang membentuk insan sepanjang hidupnya
Kegigihan, keikhlasan dan tanggung jawab.

* Sekadar untuk renungan bersama. Apa-apapun keadaannya, sebagai seorang muslim jangan sesekali lupa untuk mengingat 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, lapang sebelum sempit, kaya sebelum miskin & Hidup sebelum Mati. Semoga kita beroleh kemenangan di dunia dan akhirat. Insyaallah.