Sunday, February 1, 2015

Februari muncul kembali...

Begitu cepat masa berlalu. Kini Januari tinggal dalam lipatan sanubari.  Februari dikatakan sinonim dengan jiwa romantis? Mungkin iya dan mungkin juga tidak! Kita sering disogok dengan iklan dan promosi di pelbagai media berkenaan sambutan Hari Kekasih. Di luar negara, mungkin ya... Tapi pada saya itu bukan budaya kita rakyat Malaysia khususnya bagi yang beragama Islam. Namun terpulanglah kepada setiap individu untuk menilainya setelah kita tahu susur galur sebenar  'Hari Kekasih'. Saya tidak menghukum, sekadar berkongsi kata dan apa yang saya rasa kini. Sesiapa yang mahu meraikannya, tepuk dada tanyalah selera (peribahasa yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas kebenarannya)

Suatu waktu dahulu, ketika masih menuntut di universiti saya gembira tiap kali menjelang Februari. Bukan kerana begitu taksub meraikannya, tetapi kerana saya adalah penjual bunga. Ya, saya menjual bunga untuk menampung belanja di samping aktiviti suka-suka untuk mengisi masa bersama kawan-kawan. Hari ini biar saya bercerita tentang kisah penjual bunga :-)

Sebagai penjual bunga, saya dan kawan-kawan bergerak dalam satu kumpulan. Mengurus dan mentadbir perniagaan kecil juga merencana setiap satunya...from A to Z.  'Tukang ambik oder' adalah saya. Kala itu rasa malu saya simpan dalam poket. :-)  TAPI saya tidak menerjah sesiapa sahaja sesuka hati. Masih ada adap yang sebati dalam diri. Strategi pertama ialah membuat iklan ( dulu-dulu kami belum ada kemudahan sosial seperti hari ini. No FB,No IG,No twitter and so on). Kami hanya ada pen dan kertas pada kebanyakan masa. Juga kawan-kawan setia yang sentiasa menyokong usaha murni orang-orang kurang berkemampuan seperti saya. Setelah mempromosi jualan bunga dengan flyer-flyer kreatif yang kami tampal di sana-sini, juga sembang-sembang di kafe Baktisiswa atau cerita-cerita sambil beriadah di Varsity Green, atau semasa berlatih tarian di Dataran Siswa, tibalah masa mengambil tempahan. Daya pujuk perlu ada pada tahap A, begitu juga dengan daya tahan. Apabila kertas oder penuh, senyum akan sampai ke telinga. FIY harga bunga Ros hanyalah seringgit untuk setiap kuntum, termasuk pembalut, riben dan kad ucapan. Free delivery okay :-)

Kawan-kawan yang mempunyai motorsikal akan memainkan peranan sebagai pemborong bunga di Petaling Street. Kami yang lain akan mengatur pesanan juga menulis kad ucapan (free hand saja coz tulisan cantik, hehehehe). Satu bilik akan dipilih sebagai port bizz, maka akan berserabutlah bilik itu buat sementara waktu. Setelah bunga siap dibungkus cantik, kata-kata indah ditulis, riben diikat kemas, tibalah masa penghantaran. Geng Motorsikal sekali lagi mengambil tanggungjawab ini. Bunga-bunga perlu dihantar tepat pada masanya di tempat yang sepatutnya. Selalunya hantar ke pigeon hole saja, kecuali ada special request. Resamnya kami menghantar bunga kala orang lain lena diulit mimpi atau sibuk studi. Apabila tanggungjawab selesai...kami menarik nafas lega dan bersyukur. Untung? adalah seringgit dua. Di samping membeli barang keperluan, biasanya kami turut bergilir-gilir membelanja kawan dengan keuntungan yang tidak seberapa itu. Biar sekadar sepinggan mee, namun hati tetap berbunga riang. Alhamdulillah.

Mungkin ada yang bertanya, tidakkah terganggu masa kuliah? Jawabnya tentulah tidak. Menyusun Prioriti sangat penting, menyusun strategi juga penting dan network yang cekap amat bermanfaat. Kawan-kawan zaman universiti bagai adik-beradik yang kita pilih sendiri. Tidak dapat ditukar ganti dengan segunung emas sekalipun. Pengalaman mencari ilmu di rantau orang, mandiri dalam mengatur hidup, membentuk kita yang hari ini.  Kesimpulannya, jika kita ingin berjaya maka kitalah yang harus mengusahakannya. Belajar bukan saja dalam akademik tetapi sesuatu yang lebih penting dalam hidup. Belajar untuk mengendali sebuah kehidupan. Tidak mudah tetapi tidak juga terlalu payah meskipun terkadang lelah. Sebab itu selalu disebut, when you stop learning, you stop living. Pembelajaran sememangnya berlaku untuk sepanjang hayat. Percayalah...

Februari juga mengundang duka sebenarnya, datang dan pergi tidak dapat disanggahi. Hmmmmmmmm, sehingga suatu waktu kita akan ketemu lagi. Till then, sekian dulu catatan Februari.
Assalamualaikum.
01022015

Wednesday, January 14, 2015

 

"Sejarah mengajar kita, menjadi lebih dewasa..."

Sesi pengajian 2015 sudah seminggu bermula ( setelah ditangguhkan pada 05 Januari sehingga 09 Januari 2015). Maka, bermulalah secara rasmi rutin hari persekolahan kita sekali lagi.

Bagi pelajar-pelajar tingkatan enam di SMK.Majakir, penggal kedua ini memberi ruang kepada mereka untuk melangkah dan meneroka pengetahuan dan kemahiran baru.  Penggal ini mereka akan mula terlibat dengan kerja-kerja penyelidikan yang juga disebut sebagai KERJA KURSUS (KK). 

Sebagai guru akademik subjek sejarah, cabaran kerja kursus (KK) sudah bermula pada minggu lepas apabila saya perlu menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Rubrik Pemarkahan KK Sejarah (940/4) peringkat negeri  selama dua hari di Kota Kinabalu. Banyak input dan info yang dikutip sepanjang berkampung di Bilik Mesyuarat yang agak sempit di Federal House. Tapi, itu lumrah yang ditempuh setiap tahun. Syukur alhamdulillah kerana masih berpeluang menimba dan berkongsi ilmu.

Apa sebenarnya Kerja Kursus Sejarah ?
Kerja Kursus Sejarah STPM ini memerlukan pelajar menjalankan penyelidikan sejarah berdasarkan tajuk pilihan mereka (tema ditentukan oleh MPM) sendiri dan pada akhirnya mereka akan dikehendaki membentangkan esei ilmiah  mereka.  KK Sejarah ini dilaksanakan dengan tujuan menilai keupayaan pelajar meperoleh kemahiran mengumpul, memilih, menilai, dan menafsir sumber sebagai bahan bukti sejarah. KK juga bertujuan mengembangkan kemahiran insaniah, menganalisis dan merumuskan fakta sejarah secara kritis dan rasional. Pada masa yang sama diharapkan pelajar akan dapat menghayati kepentingan peristiwa, tokoh, isu, dan perubahan dalam masyarakat. Esei ilmiah yang berstruktur ini perlu ditulis sekitar 2500-3000 patah perkataan, menggunakan font 'Times Roman', saiz font 12 dan menggunakan jarak dua baris. Lebih kurang 15 hingga 17 muka surat tanpa mengambilkira lampiran. Agak banyak juga kan?

Tempoh masa menyediakan KK Sejarah daripada bulan Januari hingga bulan Mac dan membentangkan hasil KK pada bulan April. Pembentangan hasil kajian akan dilaksanakan selama sepuluh hingga lima belas minit bagi setiap pelajar termasuklah sesi soal jawab. Pelajar perlu menggunakan alat bantu yang sesuai semasa pembentangan. Pelajar mestilah juga menulis esei ilmiah sendiri tanpa meniru, menyalin atau menciplak esei daripada mana-mana sumber. Andainya didapati ada unsur plagiat, maka esei berkenaan akan diberi 0 markah.

Kalau dilihat sepintas lalu, agak merisaukan juga penulisan esei ilmiah ini kerana pelajar perlu menghantar proposal penyelidikan yang dilengkapkan dengan sorotan kajian lalu sebelum boleh memulakan kajian. BAGAIMANAPUN, semua langkah penyediaan KK termasuklah penyelidikan, penulisan dan pembentangan kajian akan dibimbingselia oleh guru sejarah masing-masing. Maka KK Sejarah ini akhirnya tidaklah menjadi suatu tugasan yang amat sukar.  Apa yang penting ialah kesungguhan dan komitmen pelajar dalam melaksanakan KK ini. Pengurusan masa juga amat penting kerana tempoh masa pelaksanaan KK yang amat terhad di samping keperluan persediaan menduduki peperiksaan bertulis untuk penggal kedua pula.

pesanan penaja : sentiasalah bertindak pantas dan berhubung selalu dengan rakan dan guru-guru pembimbing anda. Nadi kerja Kursus adalah Manual KK yang mesti anda miliki, hayati dan patuhi. JANGAN bertangguh dan berdalih, kelak anda yang akan terbeban sendiri. Kerja Kursus ini wajib dibuat dan sekiranya pelajar tidak membuatnya maka kegagalan kertas sejarah itu sudah pasti! Faham kan? KK ini kerja yang amat penting dan serius jika ingin mendapat kelulusan yang baik dalam peperiksaan STPM.

Berikut saya sertakan cadangan carta Gantt Penyediaan KK Sejarah untuk pelajar pra-U SMK.Majakir :


CARTA GANTT PENYEDIAAN KERJA KURSUS SEJARAH STPM (940/4) TAHUN 2015
BIL
TEMPOH
PERKARA
TINDAKAN GURU
TINDAKAN CALON
JAN
FEB
MAC
APRIL
MEI
JUN
JUL-OKT
1
12 Jan – 23 Jan
Pengenalan kpd ilmu sejarah, kaedah penyelidikan & penulisan sejarah
ŸJelaskan konsep & teori sejarah
ŸMenghurai  kaedah penyelidikan
ŸMenunjukkan langkah-langkah penulisan sejarah
ŸMemahami konsep & teori sejarah
ŸMahirkan diri tatacara penyelidikan sejarah
Kenal pasti langkah-langkah penulisan sejarah









2
19 Jan – 30 Jan
Penyediaan Cadangan Penyelidikan
ŸMenerangkan cara menulis tujuan  esei ditulis
Ÿ Membimbing mengenal pasti  isu-isu yang dikaji
Ÿ Mengenal pasti rujukan yang berkaitan dgn tajuk
Ÿ Tunjukkan contoh esei ilmiah
Ÿ Menerangkan keperlbagaian kaedah penyelidikan sejarah
Ÿ Menerangkan pembahagian struktur esei yang baik
Ÿ Menerangkan format menulis bibliografi
ŸMemilih tajuk yang sesuai
Ÿ Menulis tujuan kajian
Ÿ Membina permasalahan kajian
Ÿ Mencari sorotan kajian (kajian literatur)
Ÿ Menggunakan pelbagai kajian penyelidikan sejarah
Ÿ Merangka struktur sesi
Ÿ Mengaplikasi teknik membuat rumusan
Ÿ Mengaplikasi format penulisan bibliografi









3
01 Feb – 28 Mac
Menjalankan kajian
Tidak berkenaan
Ÿ Menjalankan penyelidikan
Ÿ Menyaring & mengklasifikasi maklumat yg didapati
Ÿ Menulis esei







         Menjalankan kajian


4
30Mac – 11April
Penyerahan tugasan
Tarikh Akhir: 31 MAC  2015
Ÿ Mengarahkan calon membuat semakan terakhir esei
Ÿ Menerima kerja kursus daripada calon
Ÿ Membuat semakan terakhir kerja kursus
Ÿ Menghantar kerja kursus kepada pemeriksa








31/3/15

Pembentangan
Tarikh: 01 – 11 April 2015
Ÿ Mengadakan sesi pembentangan kerja kursus
Ÿ Membuat penilaian hasil kerja kursus
Ÿ Menghantar markah kepada MPM
Ÿ Membuat pembentangan kerja kursus







01/4/15
11/4/15


5
15 Apr – 13 Mei
Penghantaran markah esei ilmiah kepada MPM
Menghantar markah calon kepada MPM melalui perisian
e-submission.
Tidak berkenaan







15/4/13
13/5/15


6
15 April – 16 Mei
Penyelarasan markah kerja kursus (penulisan ilmiah) oleh Ketua Penyelaras
Kebangsaan (KPK)
Ÿ Menyediakan calon untuk membentang esei ilmiah (calon
    yang dipilih sahaja oleh KPK
Ÿ Menyediakan sampel esei ilmiah calon yang dipilih oleh
    KPK  untuk tujuan penyelarasan markah
Membentang esei dan menjawab secara lisan beberapa soalan yang dikemukakan oleh penyelaras dalam masa 10 – 15 minit pada tarikh dan masa yang ditetapkan







15/4/15
Hingga
16/5/15

7
17 Mei – 17 Okt 2016
Penyimpanan evidens
Menyimpan evidens
Tidak berkenaan






Simpan eviden

Tema Kerja Kursus Tahun 2015

Tema 1: Sejarah kehakiman dan perundangan
Tema 2: Sejarah Ketenteraan
Tema 3: Sejarah Pendidikan
Tema 4: Sejarah Sains dan teknologi










Thursday, January 1, 2015


A journey of a thousand miles must begin with a single step...

Tahun 2014 sudahpun kita tinggalkan dan tahun 2015 sudah pun menjadi kenyataan. Syukur ke hadrat yang Maha Esa kerana kita diberi peluang untuk meneruskan langkah di bumi bertuah ini. Alhamdulillah.

Tahun baru pastinya sinonim dengan azam baru. Adakalanya azam kita masih sama cuma diberikan pendekatan berbeza atau pun disuntik nafas baru agar lebih berkobar nyalanya. Cuma jangan terlalu ghairah mencipta azam sehingga terlupa untuk melaksanakannya, okay?

Langkah kita bermula lagi pada tahun 2015 ini. Cadangan saya, mulakan dengan fikiran yang baik-baik kerana itulah punca hasil yang baik-baik juga. Kita adalah apa yang kita fikirkan! Positive attitudes create positive people, maksudnya sikap positif akan menghasilkan insan/individu yang positif. Insyaallah.

Kata-kata kita juga merupakan doa, dan doa itu adalah antara senjata kita yang paling ampuh sebagai seorang manusia. Marilah kita sama-sama berazam untuk berfikir dan bersangka baik, berkata dan doakan yang terbaik, berusahalah sehabis baik dan yakinlah kita akan beroleh yang paling baik. Mudahkan?

Hmmmmmm...terkadang senang berkata dari melaksana, apa-apapun  there is only one corner of the universe you can be certain of improving, and that's your ownself. So...do what's right. Do it right and do it right now. Lillahi Ta'ala...

Assalamualaikum w.b.t

Thursday, December 18, 2014

Hujan lebat di luar sana, sedang tadi pagi cuaca begitu cantik sekali...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Kadang-kadang hidup kita dipenuhi dengan segala kemungkinan. Suratan atau kebetulan? Pilihannya ada di tangan kita sendiri. :-)

2014 hampir ke penghujungnya. Pasti ramai yang mula mengucap selamat dan membina azam untuk 2015. Saya pun begitu juga...hehehehe. 'Kita serupaaaaa' ;-)  Namun jangan lupa untuk membuat refleksi diri ya? Menilai kembali segala yang telah kita lalui sepanjang perjalanan hidup ini. Kadang-kadang kita teruja dengan harapan sehingga kita lupa pada hakikat. Membuat refleksi penting untuk memperbaiki diri. TAPI...awas! bukan untuk kita menangis dan menyesali diri sehingga lupa memberi ruang untuk proses menambahbaik.  Tidak salah menangis dan menyesal, tapi jangan sampai hilang punca. Kesempurnaan itu bukan milik kita...kan? Kita boleh berusaha sehabis daya untuk sebuah kesempurnaan ,tetapi perlu akur kepada keterbatasan kita .  Kelebihan kita sebagai manusia adalah akal. Maka berfikir dan berusahalah tanpa kenal putus asa. Pada masa yang sama jangan lupa berdoa. Andai kita berusaha, jalan akan sentiasa ada buat kita. Yakini itu...

Sebentar tadi saya berfikir sendiri dan berjanji untuk lebih bersyukur kali ini. Saya juga mempunyai kekesalan sendiri, juga ada hajat-hajat yang tidak tertunai, mimpi-mimpi yang tidak tergapai dan senarai itu akan semakin panjang jika mahu diteruskan. Begitupun saya masih dikurnia pelbagai nikmat. Tidak terhitung banyaknya. Alhamdulillah...terima kasih Tuhan atas ehsan dan nikmatmu buat seorang 'aku' yang terkadang lebih banyak mengeluh dari bersyukur. Terkadang jangkaan kita terlalu melangit sehingga lupa melihat rumput yang dipijak di bumi. Hmmmmm... :'(

Hujan lebat sudah pun berhenti...tinggal lagi bumi masih basah. Matahari tetap juga memberi sinar, without fail...right?

Bersyukurlah biarpun hujan atau panas. Pasti ada hikmah yang dibawa kepada kita. 2014 pasti berlalu, 2015 pasti akan datang dengan izin Allah s.w.t.  Berdoa dan berusahalah agar setiap nafas yang kita hela ini akan memberi kebaikan kepada kita dan yang lainnya. Lillahi ta'ala...Aamiin.

"I have too many flaws to be perfect. But I have too many blessing to be ungrateful..."


Thursday, December 11, 2014

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera...

Semalam, ada anak murid saya bertanya sama ada dia tindakannya meneruskan pengajian di tingkatan enam @ Pra-U itu betul? Maka saya memberitahunya bahawa keinginan untuk berjaya itu mestilah terlebih dulu ada dalam diri, selepas itu berusaha bersungguh-sungguh, jangan lupa berdoa dan akhirnya bertawakal lah. Insyaallah pasti akan berjaya walau di manapun anda melanjutkan pengajian.

Tingkatan enam ataupun kini disebut Prauniversiti, merupakan salah satu laluan kepada pelajar-pelajar lepasan SPM untuk menjejak kaki ke menara gading. Bagaimanapun ianya seringkali tidak menjadi pilihan utama pelajar (malahan seringkali menjadi pilihan terakhir setelah tidak ada pilihan lain). Kepada pelajar-pelajar yang berpeluang melajutkan pengajian ke mana-mana institusi selain Pra-U, alhamdulillah. Berusahalah meneruskan kecemerlangan anda. Kepada pelajar yang melangkah kaki ke pusat pra-U, alhamdulillah...tahniah. Anda masih berpeluang meneruskan pengajian ke menara gading! It's not the end of the world right? Ramai yang berjaya selepas STPM. Saya sendiri juga lepasan STPM...So? Cheer up :-)

Ingin saya kongsikan sesuatu untuk siapa-siapa saja yang bertanya tentang betul atau tidak tindakan anda memasuki tingkatan enam.  Untuk berjaya dalam pelajaran atau pengajian khususnya di peringkat tinggi, anda mesti memiliki disiplin juga semangat dan keinginan yang tinggi untuk cemerlang. Proses belajar bermula dari diri anda sendiri!  Seawal kuliah yang disampaikan, kemudiannya usaha anda untuk mencari maklumat tambahan, seterusnya meneliti, menganalisis dan mengulangkaji semua maklumat tersebut A.S.A.P . Anda perlu membuat itu semua agar anda lebih faham dan menguasai apa yang anda pelajari. Tidak kira di mana anda belajar, proses itu tetap sama bukan?

Maka jadilah seorang pelajar yang lebih bertanggung jawab khususnya terhadap diri anda sendiri. Andalah yang bertanggung jawab untuk menguasai segala ilmu teras atau asas-asas subjek anda. Percayakah anda bahawa segala yang anda tidak fahami akan kekal tidak difahami sehinggalah anda berbuat sesuatu untuk memahaminya. Faham? ;-)   Ketidakfahaman anda akan mewujudkan ruang lompang yang akan menjejaskan proses memahami ilmu atau pelajaran yang berikutnya. Ramai pelajar yang berasa kesal semasa menghadapi peperiksaan dan memberikan komen dalam hati "kalaulah aku belajar betul-betul dulu..." Kan??

Oleh itu, pastikan anda benar-benar amanah dan bertanggung jawab dalam memahami subjek-subjek yang anda ambil dengan sebenar-benarnya.  Ingatlah bahawa anda mempunyai misi yang ingin dicapai. Jangan biarkan diri anda dipengaruhi oleh kawan dan kenalan ke arah yang tidak betul. Apa pun halangan yang anda hadapi, anda mesti terus berjuang demi kejayaan yang diidamkan.  Saya selalu berpesan kepada anak-anak murid saya agar meletakkan keutamaan / prioriti untuk diri dalam usaha mencapai matlamat mereka. Dalam konteks sebagai pelajar, memahami dan menguasai pelajaran/subjek anda itu adalah keutamaan anda. Tidak ada jalan pintas untuk untuk menguasai ilmu, maka belajarlah. Mengulangkajilah dan jangan bertanggung kerja. Anda perlu membuat bacaan awal sebelum kuliah, memberi tumpuan semasa kuliah dan mengulangkaji selepas kuliah...berulang-ulang kali. Jadikan rutin, itulah petua kejayaan yang sebenarnya.

Pepatah Arab ada mengatakan bahawa "orang yang tidak berdiri sekarang tidak akan boleh duduk kemudian". Maksudnya sesiapa yang tidak bekerja keras pada masa mudanya, tidak boleh menjalani kehidupan yang senang pada masa tua. Apa sahaja kesenangan dan kejayaan dalam hidup ini perlu kita bayar. Gred yang baik telah lebih dulu kita bayar dengan bersengkang mata sehingga larut malam, kerja keras dan berhempas pulas bukan saja dengan peluh tapi juga tenaga, masa dan airmata.

Bertekadlah untuk berjaya 'Lillahita'ala'...mudah-mudahan dipermudahkan segala urusan dan mendapat kejayaan yang diidam-idamkan. Insyaallah.

Tuesday, December 9, 2014

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera...

Terlalu lama rasanya tidak menjengah ruangan ini. Terakhir kalinya pada tahun lalu (lama tuuu :-) )

Kali ini saya cuba untuk menulis lagi. Mudah-mudahan saya diberikan kelapangan dan keinginan untuk kembali menulis.

Hari ini 9 Disember 2014.  Musim cuti sekolah bagi tahun ini. Cuti persekolahan adalah waktu yang paling dinanti oleh semua warga sekolah. Bukan bererti musim persekolahan itu satu tempoh yang menyiksakan...jangan salah anggap ya ;-)  Cuma inilah waktu untuk kita semua merehatkan diri dan minda serta membuat refleksi sebelum sesi 2015 tiba.

Suatu saya masih bersekolah, cuti persekolahan amat dinantikan. Sepanjang bersekolah menengah saya hanya berpeluang balik kampung setahun sekali. Cuti  hujung tahun sangat-sangat saya nantikan. Mungkin ada yang bertanya 'kenapa'?. Semuanya kerana saya pemegang biasiswa Yayasan Sabah yang melanjutkan persekolahan menengah saya di semenanjung. Bermula 1982 sehingga 1988. Ya...sepanjang saya bersekolah dari tingkatan satu hingga tingkatan enam, saya hanya boleh balik kampung setiap cuti hujung tahun sahaja. Cuti penggal lainnya akan diisi dengan Program Perkampungan Pelajar Yayasan Sabah mengikut zon. Saya bersekolah di Negeri Sembilan (kemudiannya Melaka sekejap dan berakhir di Batu Pahat,Johor) maka saya berada di zon Selatan.

Semasa cuti penggal aktiviti wajib ialah kelas tambahan, lawatan, sukan dan kebudayaan dan beberapa siri ceramah (agama dan motivasi). Kuliah subuh pula wajib dihadiri setiap hari. :-)  Kami juga diberikan beberapa peluang mengasah bakat dan kemahiran, antaranya memasak dan menulis. Saya juga pernah belajar bermain kompang sewaktu di Melaka. Pendek kata ada banyak kegiatan yang dilakukan demi mengisi masa lapang sepanjang bercuti. Kadang-kadang seperti tidak bercuti kerana kami masih perlu memakai uniform sekolah dan terikat dengan deringan loceng. Anehnya, kami masih boleh bergembira dan bergelak ketawa...itulah dunia remaja. 'Ada kawan semua pun boleh jalan', Hahahaha!! (terlebih sudah) :-P

Kami juga diberikan keluarga angkat pada waktu-waktu tertentu. Bukan sebagai galang ganti keluarga, tetapi sebagai langkah intergrasi dengan masyarakat tempatan. Namun pastinya kami dianggap sebagai anak sehingga diberikan layanan yang sungguh istimewa dalam masa seminggu menumpang kasih. Keluarga angkat saya orang Melaka, maka saya diajar menggiling cili dan makan cencalok. Syukur alhamdulillah kerana diberikan peluang menikmati semua itu pada usia yang masih hijau.  Pengalaman hidup berdikari di negeri orang rasanya memang membentuk peribadi insan seperti saya. Kami anak-anak Yayasan Sabah berkongsi pelbagai perkara , rasa dan rahsia. Ikatan itu erat dan mengikat jiwa kami sehinggalah dewasa hari ini. Kawan-kawan inilah merupakan keluarga ganti sepanjang hidup di rantau orang.

Hmmmmm...bernostalgia sekejap. Semua itu adalah catatan sejarah dalam hidup saya. Hakikat itu membentuk diri saya hari ini dan mungkin akan mempengaruhi masa akan datang.

Tidak seperti hari ini, dulu di Sabah belum ada sekolah berasrama penuh (saya dihantar ke sekolah menengah sains di Kuala Pilah pada tahun 1982) . Bagaimanapun, adik ketiga saya berjaya memasuki Sekolah Berasrama Penuh Sabah di Kota Kinabalu pada tahun 1985, waktu itu saya sudah berada di tingkatan empat.  Pada tahun 1997 pula adik kelima saya berjaya memasuki Universiti Malaysia Sabah. Nampak peningkatannya? Syukur alhamdulillah. Kemudahan pendidikan di Sabah semakin baik, tapi yang sedihnya pencapaian pelajar di Sabah masih belum begitu cemerlang.  Kenapa? Banyak faktor yang mempengaruhi keadaan tersebut. Saya enggan membicarakan keadaan yang berada di luar lingkungan saya. Apa yang pasti...masih jauh perjalanan untuk mencapai bintang di langit. Apa-apapun kita mesti ada keinginan untuk memulakan langkah tersebut. Mimpilah sampai ke bintang :-)

Dulu...saya terpaksa tinggalkan keluarga saya demi mencari ilmu. Banyak dugaan dan cabaran yang diharungi sebelum saya berjaya menggenggam segulung ijazah yang dicitakan. Tapi saya berjaya juga akhirnya.  Kini anak-anak didik saya kebanyakannya mempunyai pelbagai kemudahan dan kesenangan di depan mata. Malangnya kesenangan ini menyebabkan mereka leka. Lalai dengan pelbagai nikmat sehingga keinginan untuk meraih ilmu semakin kurang, Tidak saya nafikan masih ramai yang mempunyai kesedaran itu dan berjaya akhirnya. Namun lebih ramai yang hanya inginkan kesenangan tanpa berusaha. Kesannya? ketinggalan!!!  Ramai anak muda kini yang beanggapan ibu bapa lah yang , bertanggung jawab memberikan segala kesenangan kepada anak dan  kita (ibu bapa) yang dulunya susah sanggup bergolok bergadai demi memberikan peluang senang kepada anak...kan?  Tidak salah memberi keselesaan kepada anak tetapi jangan sampai mereka hilang tanggung jawab pada diri sendiri.

Apa yang hendak saya bicarakan sebenarnya ialah anak-anak mesti ada kesedaran untuk berjaya bukan saja dalam pelajaran tetapi untuk masa depan. Anak-anak juga tidak wajar berasa terlalu takut pada cabaran hidup susah sebagai pelajar jika ingin kehidupan yang lebih senang di kemudian hari.  Kita sebagai ibu bapa, sebagai guru pula perlulah memberi peluang kepada anak -anak ini untuk berdikari. Ingatlah bahawa anak-anak kita itu adalah insan lain yang bukan kita. Berilah mereka peluang melakar hidup mereka sendiri dengan bimbingan dan nasihat kita yang lebih tua. Biarlah mereka merasa sedikit susah demi esok yang belum pasti kita boleh menaungi mereka.  Jangan menilai mereka semata-mata mereka tidak menepati standard kita. Bersabarlah, teruskan berusaha dan berdoa. Yakinlah bahawa kejayaan itu pasti ada.

'Nasib kita tidak akan berubah sehinggalah kita berusaha mengubahnya'...klise? tapi itulah hakikat. Berusahalah selagi berdaya agar kita tidak menyesalinya di kemudian hari.  Jangan jemu mencari ilmu demi dunia dan akhirat jua. Insyaallah... ; -)

Wassalam.