Thursday, July 21, 2011

Harapan baru...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Start your new day with new spirit and hope.
Leave bad things behind and have faith for a better tomorrow.


Mulakan harimu dengan semangat dan harapan baru...Tinggalkan segala kekecewaan dan kesedihanmu pada hari semalam yang telahpun berlalu. Yakinilah bahawa esok pasti akan memberikan seribu makna dan kejayaan buatmu. Insyaallah.

Wednesday, July 13, 2011

Cemerlang Peperiksaan...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Tidak lama lagi para pelajar dari kelas peperiksaan akan mula menempuh peperiksaan 'excel' yang dijangka bermula pada 08 OGOS 2011. Maka ada pelajar yang bertanya, bagaimana caranya belajar untuk cemerlang dalam peperiksaan. Maka saya berkongsi sedikit cerita di sini untuk renungan bersama...

Setiap pelajar inginkan apa yang dipelajari itu akan mendatangkan kesan. Belajar secara berkesan sebenarnya bukanlah dikira jumlah jam belajar atau berapa banyak perkara yang dapat dihafal. Belajar secara berkesan perlulah mengandungi 3 komponen ini:-

01.Mengulangkaji: Kebiasaannya apabila menyebut perkataan ulangkaji ramai pelajar menganggapkan tindakan yang perlu dilakukan hanyalah terhad pada pembacaan sahaja.

Tindakan mengulangkaji sebenarnya dapat dilakukan dengan beberapa cara termasuk menyemak semula apa yang telah dipelajari, memahami konsep, menghafal formula atau istilah yang penting, menganalisis isi-isi penting atau mengenal pasti kelemahan dan kekeliruan yang dihadapi serta mencatat semula isi-isi tersebut dalam bentuk nota ringkas, peta minda, peta konsep atau pengurusan grafik.
Mengulangkaji secara terancang atau berfokus sebenarnya sangat membantu pelajar, terutamanya menjelang peperiksaan.

02. Membuat rujukan: membuat rujukan bahan tambahan, bertanya dengan guru atau berbincang dengan rakan adalah amat penting dalam proses mengulangkaji. Rujukan boleh dilakukan melalui bahan cetak seperti buku rujukan, akhbar dan majalah.

Pendidikan Utusan adalah merupakan satu contoh yang baik sebagai bahan untuk pelajar-pelajar membuat rujukan. Rujukan juga boleh dibuat melalui laman web seperti Portal Pendidikan Utusan (www.tutor.com.my) yang secara khusus memberi maklumat tentang mata pelajaran utama peperiksaan awam.

Rujukan juga boleh dibuat melalui laman web yang mengandungi maklumat yang boleh dicari melalui agen pencari maklumat (contoh: www.google.com)

Para pelajar perlulah rajin dan proaktif dalam usaha mencari dan mendapatkan sumber rujukan. Janganlah hanya mengharapkan bahan yang disediakan oleh guru sahaja.

03. Membuat latihan: Latihan boleh dilakukan dalam bentuk latih tubi, kuiz, soal jawab atau menganalisis soalan-soalan tahun lalu serta merangka jawapannya. Latihan boleh dibuat secara kendiri, ataupun dengan bimbingan guru mahupun rakan sebaya. Jangan sesekali lupa bahawa usaha itu tangga kejayaan.

Ketiga-tiga komponen di atas perlulah diintegrasikan agar proses belajar dapat dialami secara lebih berkesan tanpa berasa bosan, tertekan atau mengantuk. Apapun cadangan yang saya kemukakan di sini, semua usaha akan tertakluk keberkesanannya kepada kesediaan dan kesanggupan pelajar itu sendiri. Sekiranya seseorang pelajar itu dengan sepenuh hati menginginkan kejayaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya, Allah s.w.t pasti akan membuka ruang dan peluang kerana sesungguhnya usaha akan membawa kepada perubahan dan perubahan positif akan menghasilkan kejayaan. InsyaAllah

Friday, June 24, 2011

Harga Selembar Jalan

Tatkala ku punya peluang
untuk meraih kegemilangan di jalan yang lebih lapang ,
Aku memilih jalan yang lebih terhalang ,
Bukan mudah untuk menjadi yang terbilang ..

Ya Tuhan , jangan biarkan diriku seorang ,
Memimpin diriku yang serba kurang ,
Aku insan yang perlukan ruang ,
Agar dapat bernafas di balik bayang..

Ku tahu ku masih punyai peluang ,
Jangan biarkan ku berfikiran songsang ,
Jangan biarkanku lemas dengan penyakit yang menyerang ,
Tatkala ku cuba menggapai impian yang dirancang ,

Moga Kau mempermudahkan ku merentasi palang ,
Agar berbaloi harga selembar jalan yang ku bilang ,

Sirnalah malang ,
Hadirlah terang ,
Agar ku tak gugur di medan perang ,
Agar ku tampil sebagai pejuang ,
Agar ku tampil sebagai pemenang.

Friday, June 10, 2011

Don't be afraid...


Don't be afraid to give your best
to what seemingly are small jobs.
Every time you conquer one
it makes you that much stronger.
If you do the little jobs well,
the big ones will tend to take care of themselves.
(Dale carniege)


Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Usah gusar untuk melakukan sesuatu sebaik mungkin meskipun hanya untuk perkara-perkara yang kelihatan kecil ataupun remeh. Sesungguhnya, setiapkali kita berjaya melakukannya, maka kita juga menjadi semakin kuat dan bijaksana. Seandainya kita sentiasa mengusahakan segalanya sehabis baik selagi terdaya, yakinlah bahawa kita akan mampu menghadapi apa sahaja walau apapun ia..insyaAllah.

Wednesday, June 1, 2011

Bosan?

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Agak lama tidak menulis di ruangan ini. Terlalu banyak hendak diceritakan hingga akhirnya semuanya disimpan rapi di kotak memori sendiri. Sekarang para pelajar sedang bercuti. Ada juga rakan-rakan guru yang mengambil kesempatan untuk bercuti panjang, sama ada melancong, ataupun balik kampung. Saya? sekadar bercuti di rumah saja, menjadi suri rumah sepenuh sambil menyiapkan kerja-kerja seorang guru yang pada saya tidak pernah ada sudahnya.

Sering saya terjumpa ungkapan 'bosan, boring, tension...'(dalam versi ejaan remaja di alam maya pastinya...) menjadi status pilihan pelajar kala menjenguk laman sosial khususnya 'Facebook'. Kenapa ya? Adakah kehidupan yang ditempuh sehari-hari di rumah amat membosankan? atau sengaja mencanangkan kebosanan untuk mencari perhatian? Usah terasa hati ya? saya sekadar meneka. Maklum saja, terkadang jurang generasi menyebabkan saya tidak memahami situasi dan pemikiran remaja hari ini...agaknya kan?

Apa-apapun, kebosanan akan melanda kala kita tidak punya hala tuju dan rencana. Kita akan kelemasan jika kita tidak mengurus masa dengan sebaiknya. Kita juga akan mati akal seandainya tidak menghargai masa dengan sebaik-baiknya. Bukankah sebagai seorang pelajar kita ada matlamat yang hendak dicapai? Bukankah sebagai seorang pelajar kita mempunyai keperluan untuk memahami apa yang telah diajar guru? Tidakkah sebagai seorang pelajar kita perlu mengulangkaji dan menambah ilmu? Saya sebagai seorang guru masih menganggap diri saya sebagai seorang yang masih perlu belajar dan menambah ilmu. Maka atas sebab itulah agak jarang saya berdepan dengan situasi bosan pada tahap 'gaban'(hehehe...meminjam kata-kata yang sering diungkap anak-anak murid saya).Pasti ada saja kerja yang boleh dilakukan demi menambahbaik ilmu, pengetahuan dan kemahiran. Syaratnya, pastikan semua itu bermanfaat dan baik untuk kita. Janganlah pula tidur setengah hari dan asyik melayan mimpi sehingga lupa diri. Sekurang-kurangnya hulurlah sedikit bantuan kepada ibu bapa di rumah. Mereka pasti akan sukakannya dan akan mendoakan kesejahteraan kita. Usah pula menjadi warga kota yang bersifat sementara, asyik berkampung di bandar sehingga akhirnya segan mengaku diri anak kampung (percayalah...ada yang begitu meski bilangannya segelintir cuma).

Apapun keadaannya, buatlah sesuatu yang baik dan bermakna semasa cuti sekolah ini. Kita disuruh berehat agar lebih bersedia menghadapi musim persekolahan pada penggal hadapan yang pastinya akan lebih mencabar. Kita disuruh berehat dan bersedia untuk menempuh dugaan baru. Lebih baik jika tidak terlalu berfokus pada kebosanan, sebaliknya lihatlah jauh ke hadapan. Sesekali bosan menunjukkan kita manusia biasa, tetapi hidup dalam kebosanan pasti boleh menyuramkan hidup kita...kan?

Serikan harimu dengan kegirangan...kerana kita masih bisa bernafas. Ceriakan harimu dengan kegembiraan kerana kita masih hidup di bumi bertuah ini. Hargai dan syukuri agar tidak ada penyesalan di kemudian hari.InsyaAllah...

Saturday, April 30, 2011

Mengantuk oh mengantuk ...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Isu mengantuk dalam kelas merupakan isu biasa dalam kalangan pelajar. Ada yang bertanyakan punca mengantuk tersebut. Maka, kali ini kita bercerita sedikit perihal 'Kenapa Pelajar Mudah mengantuk Dalam Kelas'.

Tiada Persediaan – Ramai di kalangan pelajar tidak kira di alam persekolahan mahu pun ketika di universiti, tidak membuat persediaan yang cukup sebelum ke kelas. Apabila anda tidak membaca dahulu apa yang akan diajar oleh guru pada hari tersebut, anda akan cepat hilang tumpuan. Apa yang diajar oleh guru anda tidak pernah pun tahu. Bagaimana mahu rasa seronok? Macam mana ingin merasa mudah ketika guru mengajar? Justeru, pastikan anda membaca dahulu apa yang akan disampaikan oleh guru pada hari tersebut sebelum ke kelas.

Kurang Tidur – Ramai yang beranggapan bahawa, tidur lewat adalah jalan penyelesaian terbaik untuk 'score' di dalam peperiksaan. Memang pernah berlaku bahawa ramai orang berjaya yang berbuat demikian. Tetapi lebih ramai orang berjaya yang tidak mengamalkan kaedah sedemikian. Apabila anda tidur lewat, anda akan mengantuk di dalam kelas.

Tiada Fokus – Ramai juga pelajar yang tidak memberikan perhatian ketika guru mengajar di kelas. Kelas bukan tempat untuk anda berangan atau membiarkan fikiran anda bebas ke mana-mana.Berikan tumpuan!!!

Kurang Minat – Kalau anda ingin berjaya anda harus minat. Wajib menyukai setiap pelajaran dan subjek yang anda ambil. Sesuatu yang sukar itu seringkali bermula dengan yang sukar-sukar. Kuatkan hati, tanamkan azam yang jitu. Tambahkan minat terhadap mata pelajaran yang kurang diminati. Lakukanlah apa sahaja untuk memastikan anda minat dan seronok terhadap tajuk dan subjek berkenaan, bak kata pepatah hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih...kan?

Fizikal dan Mental – Kadang-kadang kita tidak sedar bahawa mental dan fizikal kita juga perlu rehat yang mencukupi. Dapatkah anda bayangkan sebuah kereta yang bergerak 24 jam tanpa henti dan ia terus bergerak lagi untuk 24 jam, yang seterusnya tanpa henti? Begitu juga tubuh kita. Pastikan anda mendapat rehat yang secukupnya. Rehat fizikal, rehat juga minda. Buang segala masalah yang sedang melanda dan mengusutkan anda.

Semoga perkongsian ini boleh membuka 'mata' kita agar lebih segar di kelas. InsyaAllah.

Tuesday, April 26, 2011

Menghargai...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Selagi kita bernama manusia, selagi itulah kita akan berdepan dengan segala dugaan dan cabaran. Tidak sempurna kehidupan manusia tanpa dugaan. Dugaan bermaksud cubaan atau ujian. Dalam kehidupan , dugaan bertujuan menguji keimanan dan kesabaran kita. Maka, apapun dugaan hidup yang sedang kita hadapi, bersabarlah. Hadapilah semuanya dengan ketabahan, kekuatan dan keimanan. InsyaAllah dugaan itu akan pasti berlalu. Jangan sesekali berputus asa dengan kasih sayang Allah.

Ada yang berkata dugaan yang kita hadapi tidak sehebat dugaan yang sedang mereka hadapi. Hanya Allah jua yang maha mengetahui...Kita sebagai insan tidak boleh menjatuh hukum sesedap rasa. Dugaan datang dalam pelbagai cara. Ada yang diuji dengan kedukaan, ada yang diuji dengan kehilangan, ada pula diuji dengan kesakitan...dan seribu satu bentuk ujian. Jangan pula kita lupa bahawa ada antara kita yang diuji dengan nikmat dan kesenangan, ada yang diuji dengan seribu satu kelebihan, namun...semua itu tetap dugaan kan?

Maka, apapun bentuk ujian dan dugaan kita, hadapilah dengan tabah dan yakinlah bahawa andai kita bersabar dan bertakwa kita pasti akan beroleh kejayaan dan kemenangan. Janganlah kita kesali nasib diri, sebaliknya kita perlu bersikap positif.
easier said than done? Cubalah...

Hari ini saya diuji dengan masalah pada peti suara. Kesannya saya hilang upaya untuk bersuara, (mudah-mudahan saya akan diberi kesembuhan). Sebagai guru, saya berdepan dengan masalah yang besar! Tapi alhamdulillah saya masih boleh berkomunikasi dalam pelbagai cara. Kesakitan ini mengajar saya untuk menghargai dan mensyukuri nikmat suara yang Allah beri. Saya juga perlu lebih kreatif kala berdepan dengan pelajar-pelajar saya. Saya juga diberikan peluang untuk lebih menyayangi diri sebelum saya menyayangi orang lain (kenalah jaga kesihatan...)

Mungkin dugaan ini kelihatan kecil dan 'funny' tapi tidak pada saya. Pada saat saya hilang suara, di luar sana ada insan yang kehilangan nyawa...Maka saya bersyukur kerana saya masih punya apa yang saya ada...alhamdulillah.

Oleh yang demikian, mari kita hadapi hidup dengan rasa syukur dan berterima kasih. Yakinlah bahawa Allah tidak menguji kita keran benci sebaliknya kerana ingin mengajar kita erti menghargai, bersabar dan reda. Tuhan tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang tidak mampu kita hadapi. InsyaAllah. Namun jangan pula hanya berpeluk tubuh dan mengharapkan dugaan itu berlalu, sebaliknya berusahalah, berfikirlah dengan bijaksana, merujuklah kepada orang-orang yang lebih tahu. Kelak dugaan itu akan tinggal sebagai kenangan dan pengalaman...