Thursday, January 23, 2020



The Struggle you're in today is developing the strenght you need for tomorrow

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera,
Januari 2020 sudah menghampiri penghujungnya. Bagai tidak terasa tiap detik yang berlalu. Bolehkah kita kembali mengungkap kata-kata klise "masa itu mencemburui kita?" Mungkin tidak kan? Kenapa? kerana setiap seorang dari kita diberikan masa yang sama saja. Tidak ada sedetik lebih mahu pun kurang. 24 jam sehari. Muktamad. Maka tidak ada istilah cemburu  kala kita merujuk masa.

     Isunya, kenapa ada yang masih tidak kecukupan masa dan ada pula bagai mampu melaksanakan kesemuanya dalam satu masa yang sama? Misalnya ada saja pelajar yang tidak mampu menyelesaikan walau satu tugasan pun yang diberi oleh guru apatah lagi mengulangkaji bagi keperluan peperiksaan. Bagaimanapun, pada masa yang sama ada pula pelajar boleh mengulangkaji pelajaran, menyiapkan tugasan dan pada masa yang sama meluang masa untuk membantu ibu bapanya bekerja. Situasi biasa kan? 

     Seumur hidup menjadi guru, isu ini merupakan satu lumrah yang diluah oleh para pelajar. Tahun ini saya berjumpa lagi dengan kisah sebegini. Masih ada pelajar yang tidak akur dengan keperluan belajar sendiri di rumah. Tidak berdaya membuat tugasan yang ditetapkan dan banyak lagi tanggung jawab sebagai pelajar tidak berjaya dilunaskan dengan baik. Andai ditanya, maka pasti ada saja jawabnya. Saya melihat ini sebagai satu kebiasaan dalam diri kebanyakan pelajar. Mereka agak manja dan tidak rajin untuk bersusah payah. mungkin pada mereka urusan bersusah payah ini milik orang lain seperti ibu bapa dan guru tapi bukan mereka. Saya mengandaikan saja dengan melihat persekitaran anak-anak. Saya tidak meletakkan batu pemberat kepada sesiapa tapi saya percaya setiap sesuatu itu ada sebab dan akibatnya. 'Tepuk dada tanya selera' dan berfikirlah sewajarnya.

     Tetap sajalah menyantuni anak-anak ini seadanya. Saya seorang guru dan saya juga seorang ibu, maka ada kalanya mereka ditegur, ada kalanya dirai dan pernah juga dimarah bagai anak yang perlu dididik bukan saja dengan ilmu tapi juga adap dan akhlak. Sehingga saat ini belum pernah lagi terdetik untuk berputus asa dengan mereka biar apapun gaya dan tingkah mereka. Mudah-mudahan saja kali ini kita berjaya menempuh cabaran dalam perjuangan masing-masing. Mudah-mudahan juga dipermudahkan segalanya demi kajayaan yang kita sama-sama idamkan, di sini...mahupun di sana nanti. Insya-Allah

Psssst...Ini catatan tertangguh sejak 2018, hanya saya jenguk seketika hari ini. Maka saya kongsi seadanya. Mungkinkah saya perlu menulis semula???? Hmmmmmmmm??? 

   


Image result for struggle