Saturday, February 3, 2018

Cerita STPM P3/2017

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera...

Terlalu lama meninggalkan ruangan ini. Sangat lama sehingga mengumpul debu dengan jayanya. Maaflah, menulis di sini sudah menjadi satu perkara yang tidak termasuk dalam senarai keutamaan apatah lagi keperluan. Masa mengubah kita...right? Tiada salahnya di situ. Akur saja dengan segala yang berlaku.

Pagi ini, hati terpanggil menjenguk laman . Tersenyum sendiri melihat kegigihan diri suatu waktu dulu. Kini bukannya tidak rajin dan hilang semangat itu, cuma tidak berkesempatan. Biasalah, kita akan mencari alasan untuk membenarkan segala tindakan kita...rignt? (sambil senyum senget) So...enough with the 'alasan' dan mari mula bercerita semula.

Memulakan bicara terkadang sukar. Kenapa? terlalu banyak ingin dikongsi sehingga tidak terluah! Ahhhh...alasan lagi (senyum sinis dah ni) 

Minggu lepas, keluar keputusan STPM P3 2017. Pada 1 Feb 2018 sebenarnya. Kala itu kami satu sekolah sedang mengadakan Kejohanan Olahraga . Hati berbahagi, di padang dan keputusan yang akan keluar bermula jam 10 pagi. Seperti biasa juga, guru-guru ini akan membahagi masa sebaiknya, maka selepas jam 10 saya beredar ke bilik guru walau kala itu hati berat mahu menyaksi acara kemuncak sukan sekolah. Saya perlu memilih dan saya tekal dengan pilihan itu.

Satu demi satu keputusan dibelek. Debaran yang dirasa sejak sebelumnya mula mereda. Gembira dan duka itu silih berganti. Alhamdulillah itu yang mampu dilafaz berulang-ulang kali. Kita sudah berusaha, sudah juga berdoa maka tibalah masa untuk berlapang dada. Ada anak-anak didik yang kemudiannya menghantar pesanan (wsap, mesengger, sms, dm..etc) Isinya? berkongsi gembira dan juga kecewa. Alhamdulillah, ada ingatan buat gurunya yang seorang ini. 

Pada saya, semua mereka ini berjaya. Atas usaha yang telah mereka laksana sepanjang menjadi pelajar saya. Tiada yang mahu gagal dalam apapun perkara yang dilakukan. Tiada yang mahu merasa kecewa. Namun terkadang langkah kita kecundang juga. Harapan kita sekadar bayangan gurauan...tidak menjadi kenyataan. Benar kita terluka...tapi bersabarlah. Yakini ada hikmahnya. Bukanlah bererti saya tidak memahami. Bukan juga bererti memperkecilkan pelajar...tidak sama sekali. Sebab mengertilah maka saya berkata begini. 

Saya percaya kita semua adalah sebaik-baik ciptaan Tuhan. Setiap dari kita tidak sempurna. Ada lebih dan ada kurangnya. Macam jari-jari di tangan kita. Tidak sama tinggi rendah dan bentuknya. Namun cukup sempurna melaksanakan tanggungjawabnya kepada fizikal kita. Begitulah tersurat dan tersiratnya. Maka manfaatkanlah setiap satu kelebihan kita, perbaiki kelemahan kita dalam usaha mencapai apa yang kita kehendaki. Akur bahawa kita diberi usaha, diberi doa sebagai senjata dalam perjuangan kita. Gunalah sebaiknya. Kalah menang itu adat. Dengan izin Tuhan kita berjaya, dengan kehendak Tuhan juga kita merasa kecewa. Percayalah, sebagai guru saya telah merasa suka duka itu berkali-kali. Setiap kali gembira...alhamdulillah dan setiap kali saya kecewa,alhamdulillah juga. Kenapa? Semuanya atas ketentuan Tuhan. Saya sudah berusaha sehabis daya, berdoa dan bertawakal sepenuhnya dan saya berusaha untuk reda. Tuhan akan memberi peluang untuk saya mencuba lagi. Insya-Allah . Perkara yang sama perlu ada juga pada para pelajar. Anda sudah boleh mengesan di mana kelebihan dan kekurangan anda. Segala kekuatan, kukuhkan...segala yang masih kurang, baiki! Itu usaha. Bukan sekadar menangisi kekurangan diri, mengadu dan merayu ke sana ke mari tetapi tidak berusaha sebaiknya. Kesat airmatamu...atur kembali langkahmu. Ingat semangat Jihad (berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang disuka atau menjauhi apa yang dibenci). Kalau kita berusaha, pasti kita akan mendapat...kannnn?

Maka anak-anakku, berusahalah sebaiknya. Berdoa dan bertawakal lah sepenuh hatimu. Yakini semuanya pasti akan baik-baik saja buatmu. Jangan mudah kecewa dan putusa asa. Jadilah insan yang berjiwa besar. Bukan untuk membesar diri tapi untuk menjadi sebaik-baik hamba di muka bumi ini. Pesan cikgu jagalah akidahmu, akhlakmu dan ilmumu,dengan izin Tuhan kamu akan beroleh kejayaan di dunia dan akhirat. Mudah-mudahan.

Saya berhenti di sini dulu. Cukuplah permulaan cerita 2018. Mudah-mudahan saya berkesempatan bercerita lagi. So see you when i see you.

Saturday, July 11, 2015


Kenangan Hari Raya   #RayaTreasures

Saya anak perempuan kedua yang dibesarkan dalam keluarga besar Hj.Pg.Jaafar Bin Hj.Pg. Rauf .  Adik beradik saya tujuh orang  kesemuanya.  Bapa saya  terkenal  di kampong sebagai seorang guru besar yang tegas, garang tetapi penyayang.  Pada tahun 1982 saya dihantar ke sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan (Sek.Men.Sains Tuanku Jaafar,Kuala Pilah) memandangkan di Sabah belum ada sekolah berasrama penuh waktu itu.   Sejak itu saya tidak pernah berhari raya dengan keluarga saya sehinggalah saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya pada akhir tahun 80-an.  Demi masa depan saya mesti reda dan tabah.  Itulah pesan bapa.  Setiap kali hari raya emak pasti menangis, namun bapa tetap ceria dengan gurau senda meskipun kami sekadar bertelefon.  Kiriman kuih dan duit raya tidak pernah dilupakan walaupun ada  ketikanya  kuih yang dikirim itu sampai  kepada saya dalam keadaan yang tidak lagi berbentuk.  Semuanya saya terima dengan dengan rasa syukur kerana pastinya kiriman itu penuh dengan ingatan dan kasih sayang dari keluarga di Sabah. Sedih di hati hanya Allah yang tahu. Saya akur bahawa saya tidak dapat pulang sesuka hati. Selain terikat dengan peraturan penaja biasiswa, waktu itu juga belum ada lagi penerbangan tambang murah . Maka akhirnya saya terbiasa berhari raya bersama keluarga angkat dan rakan-rakan sahaja.
            Kali pertama kembali berhari raya bersama keluarga, saya  begitu teruja . Kalau boleh saya ingin semuanya serba sempurna. Baju hari raya, hiasan rumah, kuih muih semuanya mesti ada.  Waktu itu bapa ditugaskan di Tawau. Kami berhari raya jauh dari kampung halaman di Papar.  Namun kegembiraan jelas terpancar dari rumah kecil kami di kawasan sekolah yang lengang sewaktu cuti hari raya.  Tidak tergambar nikmat berhari raya bersama keluarga.  Alhamdulillah. Sejak itu setiap hari raya rumah kami pasti meriah. Bapa tidak pernah lupa menegaskan kepentingan memupuk kasih sayang dan hormat-menghormati  dalam kalangan ahli keluarga. Selalunya, kami akan  bersama-sama mebuat persiapan raya. Tugas yang pelbagai itu dibahagi sama rata. Almaklum anak-anak cikgu. Selepas sembahyang raya, kami akan berbaris untuk bersalaman dengan ibu bapa dan ahli keluarga yang lebih tua. Kadang-kadang  kami terasa macam perbarisan di sekolah pula. Setelah selesai bersalaman,  kami akan mengambil gambar keluarga. Rutin ini amat kami gemari.  Suara bapa lah yang paling kuat sekali terutama apabila mengusik emak. Kami anak-anak sekadar menjadi tukang sorak. Hari raya kami penuh dengan gelak ketawa dan gurau senda tanpa lupa makna sebenar Hari Raya.
            Setelah berumah tangga, giliran berhari raya mula terasa.  Saya selalunya berhari raya di rumah mertua memandangkan saya tinggal berhampiran dengan keluarga saya di Papar.  Bapa sering memujuk kala cucu-cucunya bagai enggan meninggalkan keluarga untuk balik berhari raya di rumah keluarga besannya.  Bapa pandai mengambil hati anak-anak kecil agar tidak terasa dipaksa berhari raya di tempat lain.  Setiap kali balik dari kampung  mertua anak-anak saya akan bermalam di rumah bapa.  Mereka akan bermain bunga api, memasang pelita, bercerita dan pergi menikmati roti canai di Kedai ‘Anisha’. Itulah  juga salah satu rutin bapa bersama cucu-cucunya. Bapa tegas dengan cucunya tetapi dia juga mewah dengan kasih sayang .
            Pada tahun 2013, kesihatan bapa mula merosot. Bapa telah membuat pembedahan pintasan  jantung beberapa tahun sebelumnya. Meskipun kurang sihat, bapa tetap berusaha  ceria.  Ketika bersalaman, salam bapa kejap, pelukannya amat erat, kami amat tersentuh dan terharu sehingga masing-masing menitiskan airmata. Tapi, semua itu adalah lumrah ketika kami maaf-maafan.  Namun ketika kami selesai bersalaman,( kebetulan pada tahun itu kami semua berhari raya di rumah bapa) bapa jelas sugul. Ketika kami berkumpul untuk mengambil foto keluarga, bapa agak muram.  Bapa hanya ketawa apabila cucu-cucunya mula mengusik hati dengan pelbagai ragam dan rupa.  Dalam diam-diam, emak sempat bertanya kenapa bapa kelihatan sedih.  Jawapan bapa tetap tersemat di ingatan saya sampai bila-bila,   “ entahlah, ini mungkin kali terakhir kita dapat berhari raya bersama-sama ”. Renungan bapa jelas sayu, mata emak berair,  saya segera beralih pandang tidak sanggup menghadam hakikat itu.  Kala cucu-cucu bertanya, kami Cuma mengatakan yang “atuk penat dan kurang sihat”.
            Ternyata selepas itu kesihatan bapa terus merosot. Kunjungan ke hospital sudah menjadi biasa kepada bapa. Begitu juga apabila bapa terpaksa di tahan di hospital. Kami bergilir-gilir menjaga bapa. Emak dan adik-adik adalah antara yang hampir tidak pernah jauh dari sisi bapa.  Saya pula hanya sesekali dapat menjaga bapa atas kekangan tertentu. Namun bapa tetap memahami,  bahkan sering menenangkan hati saya dengan kata-kata hikmahnya.  Akhirnya, pada 08 Feb 2013, bapa pergi menemui Yang Maha Esa. Meski luluh hati kami, tapi kami reda. Perpisahan itu pasti, tetapi “ Daripada Allah kita datang, maka kepada-Nya lah jua kita dikembalikan”.
            Hari raya selepas itu sudah kurang serinya. Persediaan hari raya kami buat seadanya. Terlalu payah sebenarnya terutama kepada emak yang tidak banyak berkata-kata, namun kami mengerti isi hatinya.  Kami masih meraikannya seperti sebelumya, namun ternyata ia berbeza. Emak paling terkesan sehingga tidak mahu rutin mengambil gambar keluarga diteruskan.  Cucu-cucu juga bagai faham erti kehilangan. Sering kali mereka mengungkap kata “dulu,atuk akan ...” atau “kalau atuk masih ada...”.  Kami cuba memujuk hati dan juga anak-anak kami agar reda dengan ketentuan Illahi. Kami menambah rutin hari raya dengan menziarahi kubur arwah bapa. Hari raya tetap bermakna namun biasan cahayanya mula kami lihat dari sudut yang berbeza.
            Terima kasih bapa atas segala-galanya. Hari raya yang menjelang tiba semakin menguatkan ingat kami kepada bapa.  Hari raya kami masih ceria sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan setelah Ramadan,  tapi ia sudah tidak sama tanpa bapa. Pesan bapa agar anak-anaknya sentiasa tabah dan reda tetap terpahat di sanubari.  Hari raya bukan sekadar bersuka-ria tetapi membina makna dan sedar akan hakikat diri sebagai insan, juga mensyukuri nikmat dan rahmat. Nikmat hari raya semakin dihargai setelah kita pernah merasa kehilangan. Ianya perit tapi itulah hakikat hidup. Hargailah mereka yang masih ada di sisi kita sebelum tiada.
             Hari raya akan terus hadir di hati-hati kami dengan sabar dan syukur.  Kenangan bersama arwah bapa tetap ada di hati kami sampai bila-bila. Rindu di hati ini akan tetap terus mengalir selagi ada denyut nadi. Selamat Hari Raya bapa, semoga roh bapa sentiasa dilimpahi rahmat Illahi.  Aamiin.

Salam Aidilfitri.
  


Aidilfitri 2013 :Gambar keluarga terakhir bersama arwah bapa.



Aidilfitri 2013 : Gambar arwah bapa & mama bersama cucu






























Monday, July 6, 2015

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Baru-baru ini anak-anak didik saya dari kelas 6 bawah telah menduduki ujian topikal yang pertama. Ternyata kebanyakan daripada mereka masih belum menguasai cara menulis esei yang baik meskipun penerangan telah diberikan terlebih dahulu. Apa yang dihadapi oleh anak-anak murid saya mungkin turut dialami oleh pelajar-pelajar lain...Kan? :-)  Tidak mengapalah, ini adalah first try. Sama-sama kita ambil iktibar dan perbaiki kelemahan esei masing-masing. 

Esei itu juga dipanggil karangan. Maka  soalannya, 'apa yang hendak dikarang'? Sudah tentulah sesuatu yang berkait dengan kehendak soalan. Apa yang ditanya, itulah yang dijawab.  Kita boleh mengarang tentang satu-satu perkara itu setelah kita faham akan perkara atau cerita yang ditanyakan. Kejayaan menulis karangan atau esei itu terlebih dahulu bersumber daripada kefahaman pelajar terhadap perkara yang ditanya. Cukupkah setakat itu saja? Jawapannya...Tidak!!! Setelah kita berjaya membina kefahaman, kita mesti boleh menghurai atau berhujah. Bukan sekadar mengemukakan fakta saja, tetapi mestilah dihuraikan atau dihujahkan secara tertib dan jelas beserta bukti atau contoh yang betul. . Untuk kelancaran hujahan, pelajar perlu ada gaya bahasa yang baik dan meyakinkan. Hmmmmm...sukar? Tidak sebenarnya. Hal inilah yang dinyatakan dalam rubrik pemeriksaan skrip jawapan yang selalu disebut sebagai PTK. Pengetahuan, Taakulan/reasoning dan Komunikasi. Pelajar pasti tahu markah penuh untuk Pengetahuan ialah 8, mana kala untuk Taakulan dan Komunikasi masing-masing membawa 6 markah.

Berikut saya berikan sedikit catatan berkenaan menulis esei sejarah yang baik. Catatan ini bukanlah yang terbaik tetapi mungkin boleh membantu pelajar menambahbaik kemahiran menulis esei masing-masing.

_________________________________________________________________________________

Panduan Menulis Esei Sejarah yang baik

Di sini dinyatakan satu panduan yang sangat berguna pada calon Kertas Sejarah  STPM, agar esei yang ditulis menepati kehendak dari segi format menjawab. Jawapan mestilah mengikut kehendak oleh soalan. Tuliskan sebanyak mungkin isi yang dianggap mencukupi dan memenuhi kehendak soalan (biasanya 4-5 isi memadai tetapi perlu dihurai dan diberikan bukti). Jangan sesekali tidak cuba menjawab. Gunakan kaedah pertanyaan 5W 1H untuk mencungkil idea. Sentiasa wujudkan persoalan dalam kepala calon agar calon dapat menulis jawapannya. Pastikan idea logik dan tersusun serta menepati kehendak soalan.  Esei sebaiknya lancar dibaca dan mudah difahami. Bagi manampilkan kematangan berbahasa & berhujah, sebaiknya menggunakan penanda wacana yang betul. Contoh :
Penanda antara perenggan : Di samping itu, sementara itu, faktor seterusnya…
Penanda contoh : Misalnya, sebagai contoh, contohnya…
Penanda untuk huraian: Hal ini menyebabkan, jelaslah bahawa…
Penanda untuk menutup isi : kesannya, akibatnya, akhirnya…
Penanda untuk kesimpulan : Kesimpulannya ialah, konklusinya

Cara Menulis Esei Yang Baik:

A.      CIRI-CIRI PENDAHULUAN
1. Ditulis pada perenggan Pertama
2. Bukan Kehendak Soalan/Isi
3. Pengertian Kepada Konsep (jika soalan TIDAK bertanyakan konsep dalam soalan)
4. Latar Belakang Kawasan/ Latar Belakang Kepada Tema/latar belakang kehendak soalan

B. ISI:
Isi yang hendak ditulis mestilah mengandungi FHC iaitu Fakta + Huraian  + Contoh

FAKTA:
1. Bilangan fakta bergantung kepada kehendak soalan tu.
2. Satu soalan: biasanya perlu ada 4-5 fakta/isi (Jika ada lebih, tulis semua agar lebih selamat)
3. Jika lebih daripada satu bahagian: Perlu pertimbangkan kepentingan bahagian. (Contoh: Kalau soalan hendak konsep dan faktor, tentulah huraian  faktor lebih banyak daripada konsep)
4. Fakta yang baik mempunyai huraian dan contoh
5. Setiap fakta ditulis dalam satu perenggan (gunakan penanda wacana di awal perenggan utk menunjukkkan kesinambungan antara perenggan)

HURAIAN:
1. Menjadi penerangan kepada fakta
2. Soalan yang boleh mendorong kepada huraian ialah mengapa/ kenapa/ bagaimana/ apakah implikasi/ kesannya (Kaedah 5W 1H)
3. Satu fakta memadai dengan 3-4 huraian

CONTOH:
1. Merupakan bukti kepada fakta atau huraian
2. Soalan yang boleh mendorong mengemukakan contoh:
i.        Bila (tarikh, tahun, abad)
ii.       Siapa (nama, kaum,)
iii.      Di mana (tempat)
iv.      Banyak mana (kadar, bilangan)
v.       Apa ( peristiwa )

C. KESIMPULAN:
1. Apa sahaja yang berkaitan dengan kehendak soalan dan ditulis secara ringkas & padat
2. Tidak mengulangi pernyataan soalan
3. Tidak menyenaraikan/mengulang isi
4. Bertujuan menyimpulkan perbincangan

Peringatan:
Jangan sesekali calon tidak menulis Pendahuluan dan Kesimpulan, kerana kedua-dua bahagian ini diambil kira untuk aspek komunikasi.

·         Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih…
·         Andai tangan kita yang mencencang, maka bahu kitalah yang harus memikul…
·         Masa depan kita adalah apa yang kita usahakan, bukan sekadar apa yang kita angan-angankan!!!

ALL the BEST!

Cikgu Aina Jaafar




Wednesday, May 27, 2015

Beautiful-quote-for-teachersTeaching Quotes,  Dust Jackets, Teachers Quotes, Education Quotes, Teachers Stuff,  Dust Covers, Inspiration Quotes, Book Jackets,  Dust Wrappers

Mei merupakan bulan yang sering saya nantikan saban tahun. Syukur kerana tahun ini saya berpeluang menemuinya sekali lagi. Pada bulan  Mei , para ibu diraikan. Begitu juga warga guru. Saya bertuah menjadi seorang ibu dan juga seorang guru. Saya juga meraikan ulangtahun pada bulan Mei...gembira berganda kan? Namun bulan Mei juga menyaksikan anak-anak didik saya menghadapi peperiksaan STPM Penggal 2. Debaran itu sungguh meresahkan! Namun setelah berusaha sebaiknya, apa yang tinggal hanyalah doa dan tawakal. Mudah-mudahan Allah memberikan kejayaan kepada kepada kita semua.Insya-Allah.

Pada bulan Mei ini juga saya mendapat anak-anak didik yang baru apabila pelajar pra-U batch 2015/2016 melapor diri. Datang dan perginya silih berganti. Itulah lumrahnya di sekolah pada bulan Mei yang meriah. Pusingan itu akan bermula sekali lagi. Perkara yang menarik menjadi seorang jurutera insan ini ialah setiap tahun akan ada cerita yang berbeza. Individu yang kita bakal kita didik mempunyai pelbagai latar dan ragam yang berbeza. Personaliti dan jati diri juga pelbagai. Namun kita dirangkum dalam satu hasrat yang sama, "belajar sehingga berjaya". Mudah-mudahan dipermudahkan urusan kita dalam usaha menuntut ilmu ini. Aamiin.

Banyak yang dirancang, diangan, dihasrat, diidam dan dicita-citakan. Saya sentiasa berusaha agar segala yang dihajati tercapai dengan jayanya. Bukan saja untuk diri saya sebagai guru, sebagai ibu...tetapi yang lebih penting untuk anak-anak itu sendiri. Masa depan mereka begitu berharga untuk dilepas pandang. Saya bersyukur dan gembira melihat kejayaan anak-anak didik saya, seperti mana saya berbangga dengan pencapaian anak saya sendiri. Setelah Mei tiba di penghujungnya, tibalah masa untuk melepaskan anak-anak ini untuk meneruskan perjalanan hidup mereka. Anak-anak ini akan memulakan langkah baru dalam episod hidup mereka. Satu daripadanya ialah melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Menuntut ilmu itu satu jihad, maka bersedialah wahai anak-anak. Laluan di hadapanmu masih berliku dan jauh. Kuatkan semangat dan tekad. Ingatlah pesanan keramat " Akidah,akhlak dan ilmu akan menjana kejayaan di dunia dan di akhirat".  All the best my dear anak-anak, i'm going to miss all your telatah dan karenah. Forget me not ya :-) Sehingga berjumpa lagi , Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Thursday, March 26, 2015


'Ketabahan merupakan satu kedegilan yang mempunyai tujuan'

Hari ini saya menerima kejutan demi kejutan apabila ada anak-anak murid saya mula teragak-agak untuk terus melangkah dalam kembara yang jauh ini. 

Bermula Januari sehinggalah hampir ke penghujung Mac, masa banyak dilorong kepada usaha membimbing anak-anak ini menyiapkan kerja kursus sejarah (940/4). Bukan sedikit tumpuan dan tenaga yang diberi. Semuanya demi memastikan anak-anak ini mendapat hasil terbaik yang boleh membantu mereka mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM nanti. Kuliah, kelas tambahan, bimbingan dan konsultasi, perbincangan secara 1:1, membantu merangka kerja dan mencari maklumat, menyemak hasil dapatan, membantu mengklasifikasi dan menafsir data, menyemak sumber, membaca pruf...hmmmmmmmmmph! Pendek kata, di setiap peringkat penghasilan kerja kursus ini saya sentiasa ada. 

Bukan bererti saya memanjakan anak-anak murid saya, tetapi inilah kerja saya. Keperluan mengajar dan membimbing anak-anak ini saya usahakan sehabis baik dan sedaya yang mampu. Saya tidak mahu andai suatu waktu nanti anak-anak ini merasakan "cikgu tak peduli pun". Kalaupun hasil yang dicapai nanti tidak sehebat mana, tapi kita telah berusaha sehabis daya. Itulah prinsip saya.  Tipulah kalau saya katakan tugasan sebegini tidak memenatkan. Pasti ada kesannya pada diri saya, terkadang sakit kepala, terkadang tidur tak seberapa nak lena, (tapi makan...alhamdulillah masih berasa. :-)  ) Apa-apa pun keadaannya, saya reda. Saya juga yakin bahawa keikhlasan dan kesungguhan itu merupakan satu penawar yang tidak ada tolok bandingnya. Insya-Allah.

Begitupun saya tetap manusia biasa yang tidak lari dari rasa terkilan dan kecewa.  Pada saat saya bersungguh-sungguh memberikan segalanya, ada anak-anak ini yang bersikap sambalewa. Semuanya dianggap mudah. Sifat gemar bertangguh kerja, mencuri masa, dan bergantung harap pada orang lain akhirnya menjerat diri sendiri. Apabila tarikh akhir penghantaran kerja kursus semakin hampir, ada antara anak-anak ini mula mengelupur! Muka mula jarang kelihatan, kering hijau dek kurang oksigen, mata lebam berjaga malam. Cikgu mula dihindari kesan kesalahan sendiri. Ada yang gigih berusaha meski segalanya dibuat di hujung masa. Kadang-kadang saya kagum dengan keberanian 'gila' mereka. Tapi yang bikin saya naik gila ialah apabila ada antara mereka mula mahu menyerah kalah! Hilang dari radar sehari-dua, muncul tiba-tiba dengan tekad mahu berhenti sekolah atau kata lainnya berputus asa. 

Bagai mahu diketuk-ketuk kepala anak-anak yang tidak seberapa nak bijak membuat keputusan ini. Dalam pada saya marah, jauh di sudut hati saya bersedih sebenarnya. Kenapalah mereka berfikiran sedangkal itu? Tidakkah ada ruang perbincangan bersama ibu bapa, bersama guru-guru, bersama kaunselor? Sanggup mereka berhenti dari pengajian semata-mata kerana tidak berupaya menyiapkan kerja kursus dalam masa yang ditetapkan. Untuk pelajar-pelajar STPM dalam sistem modular , pada penggal kedua ini terdapat beberapa kerja kursus yang mesti disiapkan. Di sekolah saya saja kerja kursus pada penggal kedua ini melibatkan subjek Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah, Kesusasteraan Komunikatif dan Pendidikan Seni Visual. Penggal ketiga nanti akan ada beberapa subjek lagi. Bayangkan kalau seorang pelajar mengambil 3 daripada empat subjek yang saya sebutkan. Pasti mereka perlu mengurus masa dengan bijak kalau ingin berjaya. Akhirnya saya menjadi kaunselor tanpa tauliah. Namun selain jiwa guru saya juga yakin pada gerak hati saya sebagai seorang ibu. Sentuhan nurani ini seringkali meresap ke hati. Namun masih ada tetap ada yang tidak terpujuk. Kala itu saya pasrah dan hanya mampu mendoakan yang terbaik buat anak-anak ini.

Kerja kursus ini sebenarnya tidaklah sesusah mana, syaratnya laksanakan dan siapkan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Guru pada kebiasaannya akan memberikan satu rangka kerja untuk dipatuhi. Andai pelajar akur dan tekun, pasti selamat. :-)  Telah terbukti selama dua sesi terdahulu, ramai pelajar yang mendapat keputusan cemerlang hasil sumbangan markah kerja kursus. Bahkan kerja kursus ini sangat membantu pelajar dalam memastikan mereka lulus subjek yang diambil dalam peperiksaan STPM. Maka semuanya bermula dari dalam diri pelajar itu sendiri. Untuk berjaya kita bukan saja perlukan kebijaksanaan tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah disiplin dan kesungguhan. Kalau anak-anak berjiwa kecil, takut pada cabaran dan kepayahan, serta tidak mahu berjuang, pastilah kecundang di gelanggang pengajian.

Tidak ada yang mudah dalam kehidupan kita ini, tapi kita diberikan akal untuk berfikir serta kudrat untuk berusaha. Jadilah seorang pelajar yang bermaruah dan memiliki jati diri yang sejati. Jangan mahu diperlekeh akibat sikap diri yang tidak boleh mandiri. Perjuangan ini milik kamu anak-anakku! Bangkitlah, berusahalah demi masa depanmu. Jadilah seorang pejuang yang berhati waja. Sikap malas itu jangan dipelihara kerana sesungguhnya nasib kita tidak akan berubah jika kita tidak berusaha. Guru-guru akan sentiasa ada sebagai pemudahcara. Kami akan sentiasa membantu selagi kami masih ada . 

Mudah-mudahan selepas ini Allah permudahkan setiap satu urusan kita, di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan kita diberikan kesabaran dan kekuatan untuk terus berjuang di arena yang kita pilih. Mudah-mudahan juga saya menerima semua ini sebagai satu cabaran yang manis dan mendewasakan. Hidup ini mesti diteruskan selagi masih ada denyut nadi kita. Lillahi Taala.

Buat anak-anak muridku, kamulah madu dan racun yang melengkapkan rencah hidupku sebagai pendidik. Tidak ada kata kesal dalam kamus hidup cikgu...selagi ada daya, selagi itu kita terus mencuba dan berusaha.
All d best. :-)

Assalamualaikum...












Sunday, February 1, 2015

Februari muncul kembali...

Begitu cepat masa berlalu. Kini Januari tinggal dalam lipatan sanubari.  Februari dikatakan sinonim dengan jiwa romantis? Mungkin iya dan mungkin juga tidak! Kita sering disogok dengan iklan dan promosi di pelbagai media berkenaan sambutan Hari Kekasih. Di luar negara, mungkin ya... Tapi pada saya itu bukan budaya kita rakyat Malaysia khususnya bagi yang beragama Islam. Namun terpulanglah kepada setiap individu untuk menilainya setelah kita tahu susur galur sebenar  'Hari Kekasih'. Saya tidak menghukum, sekadar berkongsi kata dan apa yang saya rasa kini. Sesiapa yang mahu meraikannya, tepuk dada tanyalah selera (peribahasa yang tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas kebenarannya)

Suatu waktu dahulu, ketika masih menuntut di universiti saya gembira tiap kali menjelang Februari. Bukan kerana begitu taksub meraikannya, tetapi kerana saya adalah penjual bunga. Ya, saya menjual bunga untuk menampung belanja di samping aktiviti suka-suka untuk mengisi masa bersama kawan-kawan. Hari ini biar saya bercerita tentang kisah penjual bunga :-)

Sebagai penjual bunga, saya dan kawan-kawan bergerak dalam satu kumpulan. Mengurus dan mentadbir perniagaan kecil juga merencana setiap satunya...from A to Z.  'Tukang ambik oder' adalah saya. Kala itu rasa malu saya simpan dalam poket. :-)  TAPI saya tidak menerjah sesiapa sahaja sesuka hati. Masih ada adap yang sebati dalam diri. Strategi pertama ialah membuat iklan ( dulu-dulu kami belum ada kemudahan sosial seperti hari ini. No FB,No IG,No twitter and so on). Kami hanya ada pen dan kertas pada kebanyakan masa. Juga kawan-kawan setia yang sentiasa menyokong usaha murni orang-orang kurang berkemampuan seperti saya. Setelah mempromosi jualan bunga dengan flyer-flyer kreatif yang kami tampal di sana-sini, juga sembang-sembang di kafe Baktisiswa atau cerita-cerita sambil beriadah di Varsity Green, atau semasa berlatih tarian di Dataran Siswa, tibalah masa mengambil tempahan. Daya pujuk perlu ada pada tahap A, begitu juga dengan daya tahan. Apabila kertas oder penuh, senyum akan sampai ke telinga. FIY harga bunga Ros hanyalah seringgit untuk setiap kuntum, termasuk pembalut, riben dan kad ucapan. Free delivery okay :-)

Kawan-kawan yang mempunyai motorsikal akan memainkan peranan sebagai pemborong bunga di Petaling Street. Kami yang lain akan mengatur pesanan juga menulis kad ucapan (free hand saja coz tulisan cantik, hehehehe). Satu bilik akan dipilih sebagai port bizz, maka akan berserabutlah bilik itu buat sementara waktu. Setelah bunga siap dibungkus cantik, kata-kata indah ditulis, riben diikat kemas, tibalah masa penghantaran. Geng Motorsikal sekali lagi mengambil tanggungjawab ini. Bunga-bunga perlu dihantar tepat pada masanya di tempat yang sepatutnya. Selalunya hantar ke pigeon hole saja, kecuali ada special request. Resamnya kami menghantar bunga kala orang lain lena diulit mimpi atau sibuk studi. Apabila tanggungjawab selesai...kami menarik nafas lega dan bersyukur. Untung? adalah seringgit dua. Di samping membeli barang keperluan, biasanya kami turut bergilir-gilir membelanja kawan dengan keuntungan yang tidak seberapa itu. Biar sekadar sepinggan mee, namun hati tetap berbunga riang. Alhamdulillah.

Mungkin ada yang bertanya, tidakkah terganggu masa kuliah? Jawabnya tentulah tidak. Menyusun Prioriti sangat penting, menyusun strategi juga penting dan network yang cekap amat bermanfaat. Kawan-kawan zaman universiti bagai adik-beradik yang kita pilih sendiri. Tidak dapat ditukar ganti dengan segunung emas sekalipun. Pengalaman mencari ilmu di rantau orang, mandiri dalam mengatur hidup, membentuk kita yang hari ini.  Kesimpulannya, jika kita ingin berjaya maka kitalah yang harus mengusahakannya. Belajar bukan saja dalam akademik tetapi sesuatu yang lebih penting dalam hidup. Belajar untuk mengendali sebuah kehidupan. Tidak mudah tetapi tidak juga terlalu payah meskipun terkadang lelah. Sebab itu selalu disebut, when you stop learning, you stop living. Pembelajaran sememangnya berlaku untuk sepanjang hayat. Percayalah...

Februari juga mengundang duka sebenarnya, datang dan pergi tidak dapat disanggahi. Hmmmmmmmm, sehingga suatu waktu kita akan ketemu lagi. Till then, sekian dulu catatan Februari.
Assalamualaikum.
01022015

Wednesday, January 14, 2015

 

"Sejarah mengajar kita, menjadi lebih dewasa..."

Sesi pengajian 2015 sudah seminggu bermula ( setelah ditangguhkan pada 05 Januari sehingga 09 Januari 2015). Maka, bermulalah secara rasmi rutin hari persekolahan kita sekali lagi.

Bagi pelajar-pelajar tingkatan enam di SMK.Majakir, penggal kedua ini memberi ruang kepada mereka untuk melangkah dan meneroka pengetahuan dan kemahiran baru.  Penggal ini mereka akan mula terlibat dengan kerja-kerja penyelidikan yang juga disebut sebagai KERJA KURSUS (KK). 

Sebagai guru akademik subjek sejarah, cabaran kerja kursus (KK) sudah bermula pada minggu lepas apabila saya perlu menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Rubrik Pemarkahan KK Sejarah (940/4) peringkat negeri  selama dua hari di Kota Kinabalu. Banyak input dan info yang dikutip sepanjang berkampung di Bilik Mesyuarat yang agak sempit di Federal House. Tapi, itu lumrah yang ditempuh setiap tahun. Syukur alhamdulillah kerana masih berpeluang menimba dan berkongsi ilmu.

Apa sebenarnya Kerja Kursus Sejarah ?
Kerja Kursus Sejarah STPM ini memerlukan pelajar menjalankan penyelidikan sejarah berdasarkan tajuk pilihan mereka (tema ditentukan oleh MPM) sendiri dan pada akhirnya mereka akan dikehendaki membentangkan esei ilmiah  mereka.  KK Sejarah ini dilaksanakan dengan tujuan menilai keupayaan pelajar meperoleh kemahiran mengumpul, memilih, menilai, dan menafsir sumber sebagai bahan bukti sejarah. KK juga bertujuan mengembangkan kemahiran insaniah, menganalisis dan merumuskan fakta sejarah secara kritis dan rasional. Pada masa yang sama diharapkan pelajar akan dapat menghayati kepentingan peristiwa, tokoh, isu, dan perubahan dalam masyarakat. Esei ilmiah yang berstruktur ini perlu ditulis sekitar 2500-3000 patah perkataan, menggunakan font 'Times Roman', saiz font 12 dan menggunakan jarak dua baris. Lebih kurang 15 hingga 17 muka surat tanpa mengambilkira lampiran. Agak banyak juga kan?

Tempoh masa menyediakan KK Sejarah daripada bulan Januari hingga bulan Mac dan membentangkan hasil KK pada bulan April. Pembentangan hasil kajian akan dilaksanakan selama sepuluh hingga lima belas minit bagi setiap pelajar termasuklah sesi soal jawab. Pelajar perlu menggunakan alat bantu yang sesuai semasa pembentangan. Pelajar mestilah juga menulis esei ilmiah sendiri tanpa meniru, menyalin atau menciplak esei daripada mana-mana sumber. Andainya didapati ada unsur plagiat, maka esei berkenaan akan diberi 0 markah.

Kalau dilihat sepintas lalu, agak merisaukan juga penulisan esei ilmiah ini kerana pelajar perlu menghantar proposal penyelidikan yang dilengkapkan dengan sorotan kajian lalu sebelum boleh memulakan kajian. BAGAIMANAPUN, semua langkah penyediaan KK termasuklah penyelidikan, penulisan dan pembentangan kajian akan dibimbingselia oleh guru sejarah masing-masing. Maka KK Sejarah ini akhirnya tidaklah menjadi suatu tugasan yang amat sukar.  Apa yang penting ialah kesungguhan dan komitmen pelajar dalam melaksanakan KK ini. Pengurusan masa juga amat penting kerana tempoh masa pelaksanaan KK yang amat terhad di samping keperluan persediaan menduduki peperiksaan bertulis untuk penggal kedua pula.

pesanan penaja : sentiasalah bertindak pantas dan berhubung selalu dengan rakan dan guru-guru pembimbing anda. Nadi kerja Kursus adalah Manual KK yang mesti anda miliki, hayati dan patuhi. JANGAN bertangguh dan berdalih, kelak anda yang akan terbeban sendiri. Kerja Kursus ini wajib dibuat dan sekiranya pelajar tidak membuatnya maka kegagalan kertas sejarah itu sudah pasti! Faham kan? KK ini kerja yang amat penting dan serius jika ingin mendapat kelulusan yang baik dalam peperiksaan STPM.

Berikut saya sertakan cadangan carta Gantt Penyediaan KK Sejarah untuk pelajar pra-U SMK.Majakir :


CARTA GANTT PENYEDIAAN KERJA KURSUS SEJARAH STPM (940/4) TAHUN 2015
BIL
TEMPOH
PERKARA
TINDAKAN GURU
TINDAKAN CALON
JAN
FEB
MAC
APRIL
MEI
JUN
JUL-OKT
1
12 Jan – 23 Jan
Pengenalan kpd ilmu sejarah, kaedah penyelidikan & penulisan sejarah
ŸJelaskan konsep & teori sejarah
ŸMenghurai  kaedah penyelidikan
ŸMenunjukkan langkah-langkah penulisan sejarah
ŸMemahami konsep & teori sejarah
ŸMahirkan diri tatacara penyelidikan sejarah
Kenal pasti langkah-langkah penulisan sejarah









2
19 Jan – 30 Jan
Penyediaan Cadangan Penyelidikan
ŸMenerangkan cara menulis tujuan  esei ditulis
Ÿ Membimbing mengenal pasti  isu-isu yang dikaji
Ÿ Mengenal pasti rujukan yang berkaitan dgn tajuk
Ÿ Tunjukkan contoh esei ilmiah
Ÿ Menerangkan keperlbagaian kaedah penyelidikan sejarah
Ÿ Menerangkan pembahagian struktur esei yang baik
Ÿ Menerangkan format menulis bibliografi
ŸMemilih tajuk yang sesuai
Ÿ Menulis tujuan kajian
Ÿ Membina permasalahan kajian
Ÿ Mencari sorotan kajian (kajian literatur)
Ÿ Menggunakan pelbagai kajian penyelidikan sejarah
Ÿ Merangka struktur sesi
Ÿ Mengaplikasi teknik membuat rumusan
Ÿ Mengaplikasi format penulisan bibliografi









3
01 Feb – 28 Mac
Menjalankan kajian
Tidak berkenaan
Ÿ Menjalankan penyelidikan
Ÿ Menyaring & mengklasifikasi maklumat yg didapati
Ÿ Menulis esei







         Menjalankan kajian


4
30Mac – 11April
Penyerahan tugasan
Tarikh Akhir: 31 MAC  2015
Ÿ Mengarahkan calon membuat semakan terakhir esei
Ÿ Menerima kerja kursus daripada calon
Ÿ Membuat semakan terakhir kerja kursus
Ÿ Menghantar kerja kursus kepada pemeriksa








31/3/15

Pembentangan
Tarikh: 01 – 11 April 2015
Ÿ Mengadakan sesi pembentangan kerja kursus
Ÿ Membuat penilaian hasil kerja kursus
Ÿ Menghantar markah kepada MPM
Ÿ Membuat pembentangan kerja kursus







01/4/15
11/4/15


5
15 Apr – 13 Mei
Penghantaran markah esei ilmiah kepada MPM
Menghantar markah calon kepada MPM melalui perisian
e-submission.
Tidak berkenaan







15/4/13
13/5/15


6
15 April – 16 Mei
Penyelarasan markah kerja kursus (penulisan ilmiah) oleh Ketua Penyelaras
Kebangsaan (KPK)
Ÿ Menyediakan calon untuk membentang esei ilmiah (calon
    yang dipilih sahaja oleh KPK
Ÿ Menyediakan sampel esei ilmiah calon yang dipilih oleh
    KPK  untuk tujuan penyelarasan markah
Membentang esei dan menjawab secara lisan beberapa soalan yang dikemukakan oleh penyelaras dalam masa 10 – 15 minit pada tarikh dan masa yang ditetapkan







15/4/15
Hingga
16/5/15

7
17 Mei – 17 Okt 2016
Penyimpanan evidens
Menyimpan evidens
Tidak berkenaan






Simpan eviden

Tema Kerja Kursus Tahun 2015

Tema 1: Sejarah kehakiman dan perundangan
Tema 2: Sejarah Ketenteraan
Tema 3: Sejarah Pendidikan
Tema 4: Sejarah Sains dan teknologi