'Ketabahan merupakan satu kedegilan yang mempunyai tujuan'
Hari ini saya menerima kejutan demi kejutan apabila ada anak-anak murid saya mula teragak-agak untuk terus melangkah dalam kembara yang jauh ini.
Bermula Januari sehinggalah hampir ke penghujung Mac, masa banyak dilorong kepada usaha membimbing anak-anak ini menyiapkan kerja kursus sejarah (940/4). Bukan sedikit tumpuan dan tenaga yang diberi. Semuanya demi memastikan anak-anak ini mendapat hasil terbaik yang boleh membantu mereka mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan STPM nanti. Kuliah, kelas tambahan, bimbingan dan konsultasi, perbincangan secara 1:1, membantu merangka kerja dan mencari maklumat, menyemak hasil dapatan, membantu mengklasifikasi dan menafsir data, menyemak sumber, membaca pruf...hmmmmmmmmmph! Pendek kata, di setiap peringkat penghasilan kerja kursus ini saya sentiasa ada.
Bukan bererti saya memanjakan anak-anak murid saya, tetapi inilah kerja saya. Keperluan mengajar dan membimbing anak-anak ini saya usahakan sehabis baik dan sedaya yang mampu. Saya tidak mahu andai suatu waktu nanti anak-anak ini merasakan "cikgu tak peduli pun". Kalaupun hasil yang dicapai nanti tidak sehebat mana, tapi kita telah berusaha sehabis daya. Itulah prinsip saya. Tipulah kalau saya katakan tugasan sebegini tidak memenatkan. Pasti ada kesannya pada diri saya, terkadang sakit kepala, terkadang tidur tak seberapa nak lena, (tapi makan...alhamdulillah masih berasa. :-) ) Apa-apa pun keadaannya, saya reda. Saya juga yakin bahawa keikhlasan dan kesungguhan itu merupakan satu penawar yang tidak ada tolok bandingnya. Insya-Allah.
Begitupun saya tetap manusia biasa yang tidak lari dari rasa terkilan dan kecewa. Pada saat saya bersungguh-sungguh memberikan segalanya, ada anak-anak ini yang bersikap sambalewa. Semuanya dianggap mudah. Sifat gemar bertangguh kerja, mencuri masa, dan bergantung harap pada orang lain akhirnya menjerat diri sendiri. Apabila tarikh akhir penghantaran kerja kursus semakin hampir, ada antara anak-anak ini mula mengelupur! Muka mula jarang kelihatan, kering hijau dek kurang oksigen, mata lebam berjaga malam. Cikgu mula dihindari kesan kesalahan sendiri. Ada yang gigih berusaha meski segalanya dibuat di hujung masa. Kadang-kadang saya kagum dengan keberanian 'gila' mereka. Tapi yang bikin saya naik gila ialah apabila ada antara mereka mula mahu menyerah kalah! Hilang dari radar sehari-dua, muncul tiba-tiba dengan tekad mahu berhenti sekolah atau kata lainnya berputus asa.
Bagai mahu diketuk-ketuk kepala anak-anak yang tidak seberapa nak bijak membuat keputusan ini. Dalam pada saya marah, jauh di sudut hati saya bersedih sebenarnya. Kenapalah mereka berfikiran sedangkal itu? Tidakkah ada ruang perbincangan bersama ibu bapa, bersama guru-guru, bersama kaunselor? Sanggup mereka berhenti dari pengajian semata-mata kerana tidak berupaya menyiapkan kerja kursus dalam masa yang ditetapkan. Untuk pelajar-pelajar STPM dalam sistem modular , pada penggal kedua ini terdapat beberapa kerja kursus yang mesti disiapkan. Di sekolah saya saja kerja kursus pada penggal kedua ini melibatkan subjek Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah, Kesusasteraan Komunikatif dan Pendidikan Seni Visual. Penggal ketiga nanti akan ada beberapa subjek lagi. Bayangkan kalau seorang pelajar mengambil 3 daripada empat subjek yang saya sebutkan. Pasti mereka perlu mengurus masa dengan bijak kalau ingin berjaya. Akhirnya saya menjadi kaunselor tanpa tauliah. Namun selain jiwa guru saya juga yakin pada gerak hati saya sebagai seorang ibu. Sentuhan nurani ini seringkali meresap ke hati. Namun masih ada tetap ada yang tidak terpujuk. Kala itu saya pasrah dan hanya mampu mendoakan yang terbaik buat anak-anak ini.
Kerja kursus ini sebenarnya tidaklah sesusah mana, syaratnya laksanakan dan siapkan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Guru pada kebiasaannya akan memberikan satu rangka kerja untuk dipatuhi. Andai pelajar akur dan tekun, pasti selamat. :-) Telah terbukti selama dua sesi terdahulu, ramai pelajar yang mendapat keputusan cemerlang hasil sumbangan markah kerja kursus. Bahkan kerja kursus ini sangat membantu pelajar dalam memastikan mereka lulus subjek yang diambil dalam peperiksaan STPM. Maka semuanya bermula dari dalam diri pelajar itu sendiri. Untuk berjaya kita bukan saja perlukan kebijaksanaan tetapi yang tidak kurang pentingnya ialah disiplin dan kesungguhan. Kalau anak-anak berjiwa kecil, takut pada cabaran dan kepayahan, serta tidak mahu berjuang, pastilah kecundang di gelanggang pengajian.
Tidak ada yang mudah dalam kehidupan kita ini, tapi kita diberikan akal untuk berfikir serta kudrat untuk berusaha. Jadilah seorang pelajar yang bermaruah dan memiliki jati diri yang sejati. Jangan mahu diperlekeh akibat sikap diri yang tidak boleh mandiri. Perjuangan ini milik kamu anak-anakku! Bangkitlah, berusahalah demi masa depanmu. Jadilah seorang pejuang yang berhati waja. Sikap malas itu jangan dipelihara kerana sesungguhnya nasib kita tidak akan berubah jika kita tidak berusaha. Guru-guru akan sentiasa ada sebagai pemudahcara. Kami akan sentiasa membantu selagi kami masih ada .
Mudah-mudahan selepas ini Allah permudahkan setiap satu urusan kita, di dunia dan di akhirat. Mudah-mudahan kita diberikan kesabaran dan kekuatan untuk terus berjuang di arena yang kita pilih. Mudah-mudahan juga saya menerima semua ini sebagai satu cabaran yang manis dan mendewasakan. Hidup ini mesti diteruskan selagi masih ada denyut nadi kita. Lillahi Taala.
Buat anak-anak muridku, kamulah madu dan racun yang melengkapkan rencah hidupku sebagai pendidik. Tidak ada kata kesal dalam kamus hidup cikgu...selagi ada daya, selagi itu kita terus mencuba dan berusaha.
All d best. :-)
Assalamualaikum...
No comments:
Post a Comment