Kenangan
Hari Raya #RayaTreasures
Saya anak perempuan kedua yang dibesarkan
dalam keluarga besar Hj.Pg.Jaafar Bin Hj.Pg. Rauf . Adik beradik saya tujuh orang kesemuanya. Bapa saya terkenal di kampong sebagai seorang guru besar yang
tegas, garang tetapi penyayang. Pada
tahun 1982 saya dihantar ke sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan
(Sek.Men.Sains Tuanku Jaafar,Kuala Pilah) memandangkan di Sabah belum ada
sekolah berasrama penuh waktu itu. Sejak itu saya tidak pernah berhari raya
dengan keluarga saya sehinggalah saya melanjutkan pelajaran ke Universiti
Malaya pada akhir tahun 80-an. Demi masa
depan saya mesti reda dan tabah. Itulah
pesan bapa. Setiap kali hari raya emak
pasti menangis, namun bapa tetap ceria dengan gurau senda meskipun kami sekadar
bertelefon. Kiriman kuih dan duit raya
tidak pernah dilupakan walaupun ada ketikanya
kuih yang dikirim itu sampai kepada saya dalam keadaan yang tidak lagi
berbentuk. Semuanya saya terima dengan
dengan rasa syukur kerana pastinya kiriman itu penuh dengan ingatan dan kasih sayang
dari keluarga di Sabah. Sedih di hati hanya Allah yang tahu. Saya akur bahawa
saya tidak dapat pulang sesuka hati. Selain terikat dengan peraturan penaja biasiswa,
waktu itu juga belum ada lagi penerbangan tambang murah . Maka akhirnya saya
terbiasa berhari raya bersama keluarga angkat dan rakan-rakan sahaja.
Kali
pertama kembali berhari raya bersama keluarga, saya begitu teruja . Kalau boleh saya ingin semuanya
serba sempurna. Baju hari raya, hiasan rumah, kuih muih semuanya mesti
ada. Waktu itu bapa ditugaskan di Tawau.
Kami berhari raya jauh dari kampung halaman di Papar. Namun kegembiraan jelas terpancar dari rumah
kecil kami di kawasan sekolah yang lengang sewaktu cuti hari raya. Tidak tergambar nikmat berhari raya bersama
keluarga. Alhamdulillah. Sejak itu
setiap hari raya rumah kami pasti meriah. Bapa tidak pernah lupa menegaskan
kepentingan memupuk kasih sayang dan hormat-menghormati dalam kalangan ahli keluarga. Selalunya, kami
akan bersama-sama mebuat persiapan raya.
Tugas yang pelbagai itu dibahagi sama rata. Almaklum anak-anak cikgu. Selepas
sembahyang raya, kami akan berbaris untuk bersalaman dengan ibu bapa dan ahli
keluarga yang lebih tua. Kadang-kadang kami terasa macam perbarisan di sekolah pula.
Setelah selesai bersalaman, kami akan
mengambil gambar keluarga. Rutin ini amat kami gemari. Suara bapa lah yang paling kuat sekali
terutama apabila mengusik emak. Kami anak-anak sekadar menjadi tukang sorak.
Hari raya kami penuh dengan gelak ketawa dan gurau senda tanpa lupa makna
sebenar Hari Raya.
Setelah
berumah tangga, giliran berhari raya mula terasa. Saya selalunya berhari raya di rumah mertua
memandangkan saya tinggal berhampiran dengan keluarga saya di Papar. Bapa sering memujuk kala cucu-cucunya bagai
enggan meninggalkan keluarga untuk balik berhari raya di rumah keluarga besannya.
Bapa pandai mengambil hati anak-anak
kecil agar tidak terasa dipaksa berhari raya di tempat lain. Setiap kali balik dari kampung mertua anak-anak saya akan bermalam di rumah
bapa. Mereka akan bermain bunga api,
memasang pelita, bercerita dan pergi menikmati roti canai di Kedai ‘Anisha’.
Itulah juga salah satu rutin bapa
bersama cucu-cucunya. Bapa tegas dengan cucunya tetapi dia juga mewah dengan
kasih sayang .
Pada
tahun 2013, kesihatan bapa mula merosot. Bapa telah membuat pembedahan
pintasan jantung beberapa tahun
sebelumnya. Meskipun kurang sihat, bapa tetap berusaha ceria. Ketika bersalaman, salam bapa kejap,
pelukannya amat erat, kami amat tersentuh dan terharu sehingga masing-masing
menitiskan airmata. Tapi, semua itu adalah lumrah ketika kami maaf-maafan. Namun ketika kami selesai bersalaman,(
kebetulan pada tahun itu kami semua berhari raya di rumah bapa) bapa jelas
sugul. Ketika kami berkumpul untuk mengambil foto keluarga, bapa agak muram. Bapa hanya ketawa apabila cucu-cucunya mula
mengusik hati dengan pelbagai ragam dan rupa.
Dalam diam-diam, emak sempat bertanya kenapa bapa kelihatan sedih. Jawapan bapa tetap tersemat di ingatan saya
sampai bila-bila, “ entahlah, ini mungkin kali terakhir kita
dapat berhari raya bersama-sama ”. Renungan bapa jelas sayu, mata emak berair, saya segera beralih pandang tidak sanggup
menghadam hakikat itu. Kala cucu-cucu
bertanya, kami Cuma mengatakan yang “atuk penat dan kurang sihat”.
Ternyata
selepas itu kesihatan bapa terus merosot. Kunjungan ke hospital sudah menjadi
biasa kepada bapa. Begitu juga apabila bapa terpaksa di tahan di hospital. Kami
bergilir-gilir menjaga bapa. Emak dan adik-adik adalah antara yang hampir tidak
pernah jauh dari sisi bapa. Saya pula
hanya sesekali dapat menjaga bapa atas kekangan tertentu. Namun bapa tetap
memahami, bahkan sering menenangkan hati
saya dengan kata-kata hikmahnya. Akhirnya, pada 08 Feb 2013, bapa pergi menemui
Yang Maha Esa. Meski luluh hati kami, tapi kami reda. Perpisahan itu pasti,
tetapi “ Daripada Allah kita datang, maka kepada-Nya lah jua kita dikembalikan”.
Hari
raya selepas itu sudah kurang serinya. Persediaan hari raya kami buat seadanya.
Terlalu payah sebenarnya terutama kepada emak yang tidak banyak berkata-kata,
namun kami mengerti isi hatinya. Kami
masih meraikannya seperti sebelumya, namun ternyata ia berbeza. Emak paling terkesan
sehingga tidak mahu rutin mengambil gambar keluarga diteruskan. Cucu-cucu juga bagai faham erti kehilangan.
Sering kali mereka mengungkap kata “dulu,atuk akan ...” atau “kalau atuk masih
ada...”. Kami cuba memujuk hati dan juga
anak-anak kami agar reda dengan ketentuan Illahi. Kami menambah rutin hari raya
dengan menziarahi kubur arwah bapa. Hari raya tetap bermakna namun biasan
cahayanya mula kami lihat dari sudut yang berbeza.
Terima
kasih bapa atas segala-galanya. Hari raya yang menjelang tiba semakin
menguatkan ingat kami kepada bapa. Hari
raya kami masih ceria sebagai tanda kesyukuran dan kemenangan setelah Ramadan, tapi ia sudah tidak sama tanpa bapa. Pesan
bapa agar anak-anaknya sentiasa tabah dan reda tetap terpahat di sanubari. Hari raya bukan sekadar bersuka-ria tetapi
membina makna dan sedar akan hakikat diri sebagai insan, juga mensyukuri nikmat
dan rahmat. Nikmat hari raya semakin dihargai setelah kita pernah merasa
kehilangan. Ianya perit tapi itulah hakikat hidup. Hargailah mereka yang masih
ada di sisi kita sebelum tiada.
Hari raya akan terus hadir di hati-hati kami
dengan sabar dan syukur. Kenangan
bersama arwah bapa tetap ada di hati kami sampai bila-bila. Rindu di hati ini
akan tetap terus mengalir selagi ada denyut nadi. Selamat Hari Raya bapa,
semoga roh bapa sentiasa dilimpahi rahmat Illahi. Aamiin.
Salam Aidilfitri.
Aidilfitri 2013 :Gambar keluarga terakhir bersama arwah bapa.
Aidilfitri 2013 : Gambar arwah bapa & mama bersama cucu
No comments:
Post a Comment