Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
Tidak lama lagi para pelajar dari kelas peperiksaan akan mula menempuh peperiksaan 'excel' yang dijangka bermula pada 08 OGOS 2011. Maka ada pelajar yang bertanya, bagaimana caranya belajar untuk cemerlang dalam peperiksaan. Maka saya berkongsi sedikit cerita di sini untuk renungan bersama...
Setiap pelajar inginkan apa yang dipelajari itu akan mendatangkan kesan. Belajar secara berkesan sebenarnya bukanlah dikira jumlah jam belajar atau berapa banyak perkara yang dapat dihafal. Belajar secara berkesan perlulah mengandungi 3 komponen ini:-
01.Mengulangkaji: Kebiasaannya apabila menyebut perkataan ulangkaji ramai pelajar menganggapkan tindakan yang perlu dilakukan hanyalah terhad pada pembacaan sahaja.
Tindakan mengulangkaji sebenarnya dapat dilakukan dengan beberapa cara termasuk menyemak semula apa yang telah dipelajari, memahami konsep, menghafal formula atau istilah yang penting, menganalisis isi-isi penting atau mengenal pasti kelemahan dan kekeliruan yang dihadapi serta mencatat semula isi-isi tersebut dalam bentuk nota ringkas, peta minda, peta konsep atau pengurusan grafik.
Mengulangkaji secara terancang atau berfokus sebenarnya sangat membantu pelajar, terutamanya menjelang peperiksaan.
02. Membuat rujukan: membuat rujukan bahan tambahan, bertanya dengan guru atau berbincang dengan rakan adalah amat penting dalam proses mengulangkaji. Rujukan boleh dilakukan melalui bahan cetak seperti buku rujukan, akhbar dan majalah.
Pendidikan Utusan adalah merupakan satu contoh yang baik sebagai bahan untuk pelajar-pelajar membuat rujukan. Rujukan juga boleh dibuat melalui laman web seperti Portal Pendidikan Utusan (www.tutor.com.my) yang secara khusus memberi maklumat tentang mata pelajaran utama peperiksaan awam.
Rujukan juga boleh dibuat melalui laman web yang mengandungi maklumat yang boleh dicari melalui agen pencari maklumat (contoh: www.google.com)
Para pelajar perlulah rajin dan proaktif dalam usaha mencari dan mendapatkan sumber rujukan. Janganlah hanya mengharapkan bahan yang disediakan oleh guru sahaja.
03. Membuat latihan: Latihan boleh dilakukan dalam bentuk latih tubi, kuiz, soal jawab atau menganalisis soalan-soalan tahun lalu serta merangka jawapannya. Latihan boleh dibuat secara kendiri, ataupun dengan bimbingan guru mahupun rakan sebaya. Jangan sesekali lupa bahawa usaha itu tangga kejayaan.
Ketiga-tiga komponen di atas perlulah diintegrasikan agar proses belajar dapat dialami secara lebih berkesan tanpa berasa bosan, tertekan atau mengantuk. Apapun cadangan yang saya kemukakan di sini, semua usaha akan tertakluk keberkesanannya kepada kesediaan dan kesanggupan pelajar itu sendiri. Sekiranya seseorang pelajar itu dengan sepenuh hati menginginkan kejayaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya, Allah s.w.t pasti akan membuka ruang dan peluang kerana sesungguhnya usaha akan membawa kepada perubahan dan perubahan positif akan menghasilkan kejayaan. InsyaAllah
No comments:
Post a Comment