Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
Saya pasti kata-kata ini biasa atau pernah didengarkan:
"After every storm there is a rainbow"
= Akan ada pelangi yang indah setelah selesainya ribut atau hujan.
Maka, walau apa pun ujian yang diberikan kuatkan semangat dan azamkan tekad. Yakinlah dengan janji Tuhan.
Biarlah kita miskin sekalipun, biarlah kita buruk pun, biar kita cacat, asal hidup mendapat Berkat.
Cubalah kita renung dan fikrkan, setiap kekurangan yang diberikan pasti ada kelebihan yang mengimbangi. Begitu juga sebaliknya. Setiap kelebihan itu pasti ada kekurangan kerana kita memang diciptakan sebagai makhluk yang lemah dan tidak sempurna. Jangan pernah rasa rendah diri dengan kekurangan diri, kerana percayalah, setiap yang Allah kurniakan pastinya mempunyai kelebihan tertentu.
Ingatlah bahawa Tuhan menciptakan manusia dengan segala kelebihan dan kekurangan. Hikmahnya, agar manusia itu hidup bersama dan tidak mementingkan diri sendiri. Bagaimana? dengan cara saling lengkap melengkapi. Seperti yang kaya membantu yang miskin, yang sihat membantu yang sakit dan begitulah sebaliknya.
Ingatlah langit tidak selalu cerah dan kita tidak selalu dan selamanya berada di atas. Janganlah kita mencaci kekurangan seseorang itu kerana mungkin suatu hari kita memerlukan sesuatu (yang kita tidak ada) daripada orang yang kita pernah hina dulu.
Sesungguhnya, kekurangan di dalam hidup kita bukanlah pengakhir dan penghujung dunia. Sebaliknya besyukurlah, kerana suatu saat nanti pasti akan datang seseorang melengkapi kekurangan kita dengan kelebihannya. Jangan pernah berputus harap dan teruskan berdoa.
Dan ingatlah,Setiap kekurangan yang kita miliki, merupakan kelebihan yang tidak ada pada orang lain. Bukan semua orang dapat memiliki kekurangan yang kita ada. Bukankah kekurangan dan ujiaan itu satu bentuk dan tanda sayangnya Allah kepada kita?
Jadikanlah kekurangan yang kita miliki itu sebagai sumber kekuatan, simbol kehebatan dan bukanlah sesuatu yang menghancurkan. Bersyukurlah dengan setiap kurniaanya. Kebaikan mahupun keburukan. Kedengarannya mungkin sukar kan? Namun cubalah untuk ikhlas menerima setiap kekurangan mahupun kelebihan kita. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui, Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani.
Untuk kesekian kalinya, marilah kita memanjatkan rasa syukur dengan setiap kurniaanNya, sama ada kelebihan, mahupun kekurangan... dan terimalah semuanya dengan penuh kesabaran.
No comments:
Post a Comment