Thursday, February 14, 2013

Bangau Oh Bangau...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera...

Akhirnya, setelah sekian lama...kita bersua semula. Hampir setahun saya tidak menulis apa-apa di sini. Alasan? Tidak ada yang spesifik (namapun alasan), sekadar memilih untuk mengutamakan perkara yang lain buat sementara waktu. Well..I'm back!!!

Kali ini saya nak bercerita sedikit tentang cerita 'bangau oh bangau'.  Janganlah hairan pulak.  Rasanya kebanyakan kita tahu lagu 'bangau oh bangau' kan?

"Bangau oh bangau...kenapa engkau kurus?  Macam mana aku tak kurus, ikan tidak timbul.
Ikan oh ikan...kenapa kau tak timbul?  Macam mana aku nak timbul, rumput panjang sangat.
Rumput oh rumput...kenapa engkau panjang?  Macam mana aku tak panjang, kerbau tak makan aku.
Kerbau oh kerbau...kenapa tak makan rumput?  Macam mana aku nak makan, perut aku sakit.
Perut oh perut kenapa engkau sakit?  Macam mana aku tak sakit, makan nasi mentah.
Nasi oh nasi...kenapa engkau mentah?  Macam mana aku tak mentah, kayu api basah.
Kayu oh kayu...kenapa engkau basah?  Macam mana aku tak basah, hujan timpa aku.
Hujan oh hujan kenapa kau timpa kayu?  Macam mana aku tak timpa, katak panggil aku.
Katak oh katak...kenapa panggil hujan?  Macam mana aku tak panggil, ular nak makan aku.
Ular oh ular...kenapa nak makan katak?  Macam mana aku tak makan, memang makanan aku!!"
(boleh nyanyi sendiri ya )

Ceritanya berkenaan 'ALASAN'.  Bermula dengan bentuk fizikal, sikap, diet, kesihatan,persekitaran, kelangsungan hidup (survival) dan akhirnya satu pengakuan yang tulus ikhlas! Siapa lagi kalau bukan sang ular, meskipun lidahnya bercabang namun dengan berani mengakui hakikat sebenar tanpa memberikan apa-apa alasan.

Masyarakat kita  cenderung beralasan atas apa sahaja perkara yang dipersoalkan oleh sesiapa sahaja.Betulkan? Mungkinkah kita terlalu takut dengan tanggapan orang lain? Atau tidak yakin pada diri sendiri? Hmmmmm...tepuk dada dan tanyalah selera masing-masing.Anda boleh berikan 1001 jawapan...kan?

Namun, adakah sikap generasi hari tidak lagi seperti sikap  masyarakat yang mencipta lagu 'bangau oh bangau' tadi?  Sepanjang 20 tahun saya berkhidmat dalam bidang pendidikan saya berpeluang mendekati pelajar yang mempunyai pelbagai warna sikap dan tingkah lakunya. Saya dapati anak-anak didik saya masih tidak silu untuk beralasan jika keadaan memerlukan mereka berbuat begitu.

Analoginya kini begini...kalaulah ditanya pada bangau kenapa ia kurus, bangau akan menjawab "Diet". Tanya pada ikan kenapa ia tak timbul, "Kat bawah ni lagi selesa". Tanya pada rumput, kenapa engkau panjang? "Sengaja..spisies aku ni mahal untuk hiasan taman terutamanya kat tepi kolam". Tanya pada kerbau kenapa tak makan rumput? jawabnya "makanan sihat tu tak sedap". Tanya pada perut kenapa rasa sakit?, jawabnya  "terlebih makan..". Tanya nasi kenapa mentah? Jawabnya " jarang dah orang makan nasi, fast food kan ada". Kayu yang basah pula? "Kesan La-Nina, kadang-kadang El-nino". Hujan oh hujan...kenapa engkau turun? jawabnya "musim dah tak menentu...global warming lah katakan". Katak pulak, kenapa panggil hujan? jawapannya? "air condition dah rosak...panas". Apabila kita nak tanya ular.."Yang awak sibuk apa pasal!!!asyik bertanya saja..penat dah nak jawab!".

Maka, selagi kita bernama manusia, kita tidak akan pernah berhenti bertanya, menjawab dan beralasan! Pada bila-bila masa sekalipun! Cuma, alasan kita saja yang berbeza-beza mengikut keadaan di mana kita berada. Adakah kita bersalah? Sudah tentu tidak jika kena pada keperluannya. Cuma akan menjadi salah jika kita asyik menyoal dan beralasan sesedap rasa. Hmmmmm? Adakah dimengerti hakikat ini?

Saya pun agak sering bertanya, agak rajin juga bersoal jawab, sesekali turut beralasan. NAMUN...pesan saya, sesekali kita ini perlu mendengar untuk memahami dan bukan untuk menjawab. Kita juga tidak perlu melayan segala soalan yang di luar bidang kuasa dan kemampuan kita. Belajarlah untuk redha dan menerima. Perkara yang lebih penting, selepas kita berusaha sehabis daya, berdoa dengan sesungguhnya, maka kita perlulah bertawakal dan bukan mempertikai. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui, Maha Bijaksana dan Maha Mengasihani.








No comments: