Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera...
Terlalu lama rasanya tidak menjengah ruangan ini. Terakhir kalinya pada tahun lalu (lama tuuu :-) )
Kali ini saya cuba untuk menulis lagi. Mudah-mudahan saya diberikan kelapangan dan keinginan untuk kembali menulis.
Hari ini 9 Disember 2014. Musim cuti sekolah bagi tahun ini. Cuti persekolahan adalah waktu yang paling dinanti oleh semua warga sekolah. Bukan bererti musim persekolahan itu satu tempoh yang menyiksakan...jangan salah anggap ya ;-) Cuma inilah waktu untuk kita semua merehatkan diri dan minda serta membuat refleksi sebelum sesi 2015 tiba.
Suatu saya masih bersekolah, cuti persekolahan amat dinantikan. Sepanjang bersekolah menengah saya hanya berpeluang balik kampung setahun sekali. Cuti hujung tahun sangat-sangat saya nantikan. Mungkin ada yang bertanya 'kenapa'?. Semuanya kerana saya pemegang biasiswa Yayasan Sabah yang melanjutkan persekolahan menengah saya di semenanjung. Bermula 1982 sehingga 1988. Ya...sepanjang saya bersekolah dari tingkatan satu hingga tingkatan enam, saya hanya boleh balik kampung setiap cuti hujung tahun sahaja. Cuti penggal lainnya akan diisi dengan Program Perkampungan Pelajar Yayasan Sabah mengikut zon. Saya bersekolah di Negeri Sembilan (kemudiannya Melaka sekejap dan berakhir di Batu Pahat,Johor) maka saya berada di zon Selatan.
Semasa cuti penggal aktiviti wajib ialah kelas tambahan, lawatan, sukan dan kebudayaan dan beberapa siri ceramah (agama dan motivasi). Kuliah subuh pula wajib dihadiri setiap hari. :-) Kami juga diberikan beberapa peluang mengasah bakat dan kemahiran, antaranya memasak dan menulis. Saya juga pernah belajar bermain kompang sewaktu di Melaka. Pendek kata ada banyak kegiatan yang dilakukan demi mengisi masa lapang sepanjang bercuti. Kadang-kadang seperti tidak bercuti kerana kami masih perlu memakai uniform sekolah dan terikat dengan deringan loceng. Anehnya, kami masih boleh bergembira dan bergelak ketawa...itulah dunia remaja. 'Ada kawan semua pun boleh jalan', Hahahaha!! (terlebih sudah) :-P
Kami juga diberikan keluarga angkat pada waktu-waktu tertentu. Bukan sebagai galang ganti keluarga, tetapi sebagai langkah intergrasi dengan masyarakat tempatan. Namun pastinya kami dianggap sebagai anak sehingga diberikan layanan yang sungguh istimewa dalam masa seminggu menumpang kasih. Keluarga angkat saya orang Melaka, maka saya diajar menggiling cili dan makan cencalok. Syukur alhamdulillah kerana diberikan peluang menikmati semua itu pada usia yang masih hijau. Pengalaman hidup berdikari di negeri orang rasanya memang membentuk peribadi insan seperti saya. Kami anak-anak Yayasan Sabah berkongsi pelbagai perkara , rasa dan rahsia. Ikatan itu erat dan mengikat jiwa kami sehinggalah dewasa hari ini. Kawan-kawan inilah merupakan keluarga ganti sepanjang hidup di rantau orang.
Hmmmmm...bernostalgia sekejap. Semua itu adalah catatan sejarah dalam hidup saya. Hakikat itu membentuk diri saya hari ini dan mungkin akan mempengaruhi masa akan datang.
Tidak seperti hari ini, dulu di Sabah belum ada sekolah berasrama penuh (saya dihantar ke sekolah menengah sains di Kuala Pilah pada tahun 1982) . Bagaimanapun, adik ketiga saya berjaya memasuki Sekolah Berasrama Penuh Sabah di Kota Kinabalu pada tahun 1985, waktu itu saya sudah berada di tingkatan empat. Pada tahun 1997 pula adik kelima saya berjaya memasuki Universiti Malaysia Sabah. Nampak peningkatannya? Syukur alhamdulillah. Kemudahan pendidikan di Sabah semakin baik, tapi yang sedihnya pencapaian pelajar di Sabah masih belum begitu cemerlang. Kenapa? Banyak faktor yang mempengaruhi keadaan tersebut. Saya enggan membicarakan keadaan yang berada di luar lingkungan saya. Apa yang pasti...masih jauh perjalanan untuk mencapai bintang di langit. Apa-apapun kita mesti ada keinginan untuk memulakan langkah tersebut. Mimpilah sampai ke bintang :-)
Dulu...saya terpaksa tinggalkan keluarga saya demi mencari ilmu. Banyak dugaan dan cabaran yang diharungi sebelum saya berjaya menggenggam segulung ijazah yang dicitakan. Tapi saya berjaya juga akhirnya. Kini anak-anak didik saya kebanyakannya mempunyai pelbagai kemudahan dan kesenangan di depan mata. Malangnya kesenangan ini menyebabkan mereka leka. Lalai dengan pelbagai nikmat sehingga keinginan untuk meraih ilmu semakin kurang, Tidak saya nafikan masih ramai yang mempunyai kesedaran itu dan berjaya akhirnya. Namun lebih ramai yang hanya inginkan kesenangan tanpa berusaha. Kesannya? ketinggalan!!! Ramai anak muda kini yang beanggapan ibu bapa lah yang , bertanggung jawab memberikan segala kesenangan kepada anak dan kita (ibu bapa) yang dulunya susah sanggup bergolok bergadai demi memberikan peluang senang kepada anak...kan? Tidak salah memberi keselesaan kepada anak tetapi jangan sampai mereka hilang tanggung jawab pada diri sendiri.
Apa yang hendak saya bicarakan sebenarnya ialah anak-anak mesti ada kesedaran untuk berjaya bukan saja dalam pelajaran tetapi untuk masa depan. Anak-anak juga tidak wajar berasa terlalu takut pada cabaran hidup susah sebagai pelajar jika ingin kehidupan yang lebih senang di kemudian hari. Kita sebagai ibu bapa, sebagai guru pula perlulah memberi peluang kepada anak -anak ini untuk berdikari. Ingatlah bahawa anak-anak kita itu adalah insan lain yang bukan kita. Berilah mereka peluang melakar hidup mereka sendiri dengan bimbingan dan nasihat kita yang lebih tua. Biarlah mereka merasa sedikit susah demi esok yang belum pasti kita boleh menaungi mereka. Jangan menilai mereka semata-mata mereka tidak menepati standard kita. Bersabarlah, teruskan berusaha dan berdoa. Yakinlah bahawa kejayaan itu pasti ada.
'Nasib kita tidak akan berubah sehinggalah kita berusaha mengubahnya'...klise? tapi itulah hakikat. Berusahalah selagi berdaya agar kita tidak menyesalinya di kemudian hari. Jangan jemu mencari ilmu demi dunia dan akhirat jua. Insyaallah... ; -)
Wassalam.
No comments:
Post a Comment