Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
Pada pertemuan kali ini, saya ingin berkongsi tentang cerita `berusaha’. Kenapa? Kerana pada saya itulah kunci menuju kejayaan. Kita boleh saja berkata kita mahu berjaya, kita mahu cemerlang dan macam-macam lagi. Tanpa usaha maka semua itu tinggal sebagai kata-kata di bibir sahaja.
Dulu, saya ada seorang pelajar yang mengajar saya tentang usaha. Pada waktu itu saya baru saja bergelar guru. Minda saya dipenuhi dengan pelbagai teori … waktu itu pemikiran saya sangat ideal. Saya berdepan dengan masalah pelajar saya yang selalu tidak hadir ke sekolah. Dalam seminggu saya hanya bertemu pelajar ini sekali sekala sahaja. Kemudian, saya mendapat tahu adik-adiknya juga mempunyai masalah kehadiran yang lebih kurang sama. Saya dapati pelajar ini tergolong dalam kelompok pelajar yang kurang bernasib baik hidupnya. Anak petani, rumahnya jauh dari sekolah, adik beradiknya ramai dan dia anak sulung.
Suatu ketika, pelajar ini tidak datang ke sekolah seminggu. Saya mula tidak sedap hati. “Apa dah jadi?”.Saya mula menghantar ‘utusan’. Malangnya, tiada respons. Saya mula berfikir dan berkira-kira, apakah tindakan saya yang seterusnya. Tiba-tiba, pada minggu berikutnya murid bertuah saya muncul. Tidak berani bertentang mata dengan saya. Saya tanpa rasa apa-apa menghujaninya dengan pelbagai soalan. Tiada jawapan. Cuma, saya lihat kesedihan di wajahnya. Dia hanya tunduk dan tidak berkata apa-apa. Kemudian, seorang kawannya berbisik kepada saya… Saya terasa diri saya begitu kecil waktu itu.
Rupa-rupanya pelajar ini memikul tanggungjawab menyara ibu dan adik-adiknya. Dia mengambil upah mengerjakan sawah. Waktu itu usianya 19 tahun, tetapi dialah harapan keluarga. Dia terpaksa membahagikan segala-galanya, masa, duit, makan, pakai, tambang dengan adik-adiknya apabila ingin ke sekolah. Begitupun, dia tetap mahu ke sekolah. Dia akur apabila saya berikan surat amaran, janjinya mahu memperbaiki kehadirannya ke sekolah. Waktu itu STPM lebih kurang tiga bulan sahaja lagi.
Pelajar ini datang berjumpa saya untuk menghantar kerja-kerjanya, meskipun tertangguh. Hasratnya berbungga untuk lulus peperiksaan dan ingin melanjutkan pelajaran demi masa depannya (waktu itu saya selalu bercerita tentang teori ‘the dark circle of life’). Saya yakinkan dia yang dia boleh melakukannya meskipun jauh di sudut hati saya…ada rasa ragu. Begitulah…, saya juga manusia biasa.
Masa terus berjalan, setiap detik yang berlalu pastinya tidak akan kembali. Kita sebagai manusia jika tidak bijak mengatur masa, maka kita termasuk ke dalam golongan orang-orang yang rugi. Pelajar saya tadi telah berdepan dengan cabaran getir dalam likuan hidupnya. Cuma dia tidak pernah berputus asa dan dia terus berusaha. Dia tidak pernah sekalipun saya dengar merungut akan untung nasib diri dan keluarganya. Tidak pernah sekalipun dia mengadu akan kepayahan yang perlu ditempuhnya. Tidak pernah juga dia meminta-minta agar dia dia diberi bantuan. Pelajar ini Cuma meminta agar dia diberikan pengertian, peluang dan kesempatan untuk terus belajar, untuk dia terus berjuang, untuk dia terus berusaha…
Alhamdulillah, pelajar ini telahpun memperoleh apa yang dihajatinya. Keluar dari lingkungan kepayahan hidup. Apa yang menariknya, pelajar in kemudiannya menjadi seorang guru. Saya yakin dia pastinya akan membantu ramai anak-anak bangsa untuk turut keluar dari lingkaran ‘hitam’ kehidupan.
Pada saya, pelajar ini membuka mata saya untuk turut tidak berputus asa dan terus berusaha. Selagi kita sanggup berusaha dan bekerja kuat, selagi itulah peluang kejayaan terbuka. Seseorang itu mungkin pernah jatuh dan kalah, tetapi dia belum gagal selagi dia bangun semula dan meneruskan perjuangannya. Kita mungkin kalah, tetapi kita tidak perlu mengalah. Berusahalah sehingga Berjaya.
Satu perkara lagi, di sebalik segala teori dan pendekatan dalam usaha ‘memanusiakan’ modal insan, pada saya pendekatan hati budi dan kemanusiaan tidak boleh diperkecilkan. Kepada pelajar-pelajar bertuah saya…kita sama-sama belajar di sebuah pentas kehidupan. Mudah-mudahan saja kita mendapat kebaikan di dunia dan akhirat. InsyaAllah.
2 comments:
Hi Aina,
Abgjas juga punya cerita ex-student yg makan nasi beralaskan sebiji telur dadar dibahagi lima (5 adik-beradik).
Beliau seorang yg sgt tekun n by far used to be one of my best students in maths.
Kini beliau seorang pemegang ijazah kejuruteraan dan sudah boleh makan sebanyak mana telur yg beliau mahu.
pelajar2 bgini amat sedikit bilangannya n bertuah kita yg diberi peluang membimbing mereka..
Salam Abg.Jas.
Mungkin pelajar-pelajar hari ini diuji dengan kesenangan sehingga mereka hilang hala tuju. Kadang-kadang saya terfikir...senang, susah...susah?lagi susah...Mudah-mudahan kita diberi kelapangan hati untuk terus berbakti mendidik anak bangsa. InsyaAllah.
Post a Comment