Monday, November 1, 2010

Harapan...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera...

Kita sering berkata tentang harapan. Apa sebenarnya harapan? Harapan bukanlah suatu perasaan yang menjangka semua perkara berlaku seperti yang kita kehendaki, tanpa mengira apa yang akan berlaku. Kehidupan yang tidak boleh dijangka mengajar kita bahawa sesuatu itu mungkin atau tidak mungkin berlaku mengikut apa yang kita rancangkan.
Tetapi, harapan adalah sikap mempercayai dan meyakini bahawa kita boleh hidup bahagia dan gembira di dunia ini. Harapan adalah kunci yang membuka pintu fikiran agar kita dapat memikirkan perkara-perkara positif dan kejayaan-kejayaan yang boleh dicapai.
Tanpa harapan, kita bagaikan hanyut di dalam dunia luas yang tidak bertepi. Maka kita akan mempercayai betapa dunia ini, bahkan kehidupan ini tidak menjanjikan apa-apa kebaikan dan kebahagiaan buat kita.
Putus harapan adalah suatu keadaan yang boleh menjadikan kita lemah. Ia melesukan, malahan membinasakan fikiran dan jiwa kita.
Apabila mempunyai harapan, kita akan memikirkan bahawa kita pasti dan boleh melakukan apa yang kita cita-citakan. Fikiran kita mula mencari jalan untuk mencapai apa yang kita impikan itu. Kita juga mula menyedari bahawa impian kita adalah suatu perkara yang sebenarnya boleh kita capai. Harapan adalah pemangkin yang mendorong kita untuk bertindak.
Api semangat bakal disemarak bukan hanya dengan harapan, tetapi juga optimisme. Sifat optimis akan membakar semangat kita untuk terus mencuba, sehingga kita menemui cara untuk mencapai apa yang kita impikan.
Sesungguhnya semangat kitalah yang memberikan kita tenaga dan membuatkan kita berusaha dengan lebih gigih. Semangat menyuntik adrenalin dan membuat kita berasa teruja dan lebih cergas. Pastinya ia juga mendorong kita untuk bertindak dan melakukan sesuatu.
Manusia sentiasa perlu mempunyai harapan…kita juga perlu optimis, agar kita memberikan makna kepada hidup kita. Hidup hanya sekali…isilah dengan bakti berkat, demi sebuah impian, demi sebuah kehidupan. InsyaAllah.

1 comment:

Cikgu Aina said...

Gurulah pemberi yang paling setia. Dia tidak pernah berputus asa, dia tidak pernah meminta apa-apa...meski hatinya lara. Dialah pemberi paling setia...sehingga ke hujung nyawa selagi berdaya. Dialah pemberi paling setia...terus memberi meski jarang menerima, walau hanya sepatah kata...