Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,
Sehari dua ini bagai begitu banyak cabaran yang perlu dihadapi. Saya berdoa mudah-mudahan saya diberikan kelapangan hati untuk menerima setiap satu yang berlaku dalam kehidupan. Pasti ada hikmanya...InsyaAllah.
Saat berdepan dengan pelajar-pelajar, saya akur kadang-kadang mereka ini sukar dijangka, 'unpredictable'...tetapi, perkara inilah yang menarik dalam bidang kerjaya sebagai pendidik. Tidak ada istilah bosan saat berdepan dengan anak-anak murid.
Baru-baru ini pelajar saya bertanya tentang pilihan. Yang menariknya anak saya yang seorang ini sebenarnya sudah ada ketetapan hati, cuma sekadar bertanya demi menyedapkan hatinya sendiri. (Sekilas ikan di air, sudah ku tahu jantan betina...hmmm.)
Maka saya bercerita tentang kisah seorang teman lama. Seorang teman yang bertemu 'cinta'nya pada usia yang masih muda. Tetapi menariknya cinta monyet teman saya ini ialah berkenaan keutamaan (priority). Waktu itu katanya keutamaannya adalah SPM, maka soal hati hanyalah satu perkara sampingan. Kemudian selepas SPM, keutamaannya adalah STPM pula. Cinta hatinya terpaksa menerima keadaan itu...demi cinta.
Kemudian, kehidupan beralih ke kampus. Cinta hati teman saya begitu gusar, takut kalau-kalau teman saya berubah hati... Maklum saja di universiti dan mereka pula menuntut di universiti yang berlainan. Teman saya sekali lagi masih tetap dengan keutamaannya, kali ini 'gading bertuah'. Itulah syaratnya.
Selepas mendapat ijazah, mereka mula membina kerjaya. Teman saya mula bertemu dengan cinta hatinya semula. Sangkaan saya mereka akan mengakhiri kisah cinta mereka dengan kegembiraan. Rupanya saya tersilap teka...
Saat cinta hatinya melamar dia, teman saya berkata...'mungkin awak bukan jodoh saya...'. Saya sangkakan jejaka itu pasti kecewa dan merana kerana mereka telah berteman sejak sekian lama. Namun...sekali lagi saya salah menjangka. Memang betul mereka kecewa, tetapi mereka tidak merana.
Saat berjumpa mereka berdua, tidak terbayang wajah duka...malah mereka gembira dengan pilihan mereka. Lantas saya bertanya rahsianya. Jawapan mereka hampir serupa...KEUTAMAAN
Dalam hidup kita perlu kepada keutamaan. Cinta bukan keutamaan mereka kala masih belajar, mereka bercinta, tapi cinta bukan segala-galanya. Setelah itu mereka menyedari bahawa mereka saling cinta tetapi hanya sebagai sahabat. Teman seiring jalan...tapi bukan teman dalam satu kehidupan yang bernama rumah tangga. Sedih, tapi tidak merana. Betapa saya kagum dengan keikhlasan mereka.
Maka saya menasihati anak murid saya tadi agar menyusun semula keutamaannya dalam hidup. 'Dont make someone priority, when you are only an option.' Itulah nasihat saya. Hidup kita adalah keutamaan kita. Cinta kita pula hanyalah pilihan...
Saya berpendapat kita berhak memilih kehidupan yang baik untuk kita. Kita juga berhak memilih cinta kita. Bagaimanapun sebagai seorang pelajar, keutamaan mesti betul...jangan lalai kerana cinta hingga kita menggadai masa depan sendiri. Dengan kehidupan yang baik, kita juga boleh mendapat cinta yang baik. InsyaAllah.
Kadang-kadang tidak semua yang manis itu perlu terus ditelan. Kadang-kadang yang pahit itulah penawar kepada segala persoalan. Mudah-mudahan cerita saya kali ini boleh membantu anak-anak saya dalam membuat pilihan. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah jua, yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri. Waulahu'alam.
2 comments:
Hi Aina,
Skrg ni begitu ramai pelajar2 sekolah yg berjinak2 dgn cinta n begitu berani (dibaca tak malu) pula mengisytiharkan pasangan mereka secara terbuka di laman2 sosial spt fb.
Ketahuilah, peratus kejayaan cinta zaman sekolah amatlah rendah (perlu statistik). Namun peratus cinta menjejaskan pelajaran pljr2 terbabit begitu tinggi!!
Ahhh...monyet mana peduli semua itu..
AbgJas,
terkadang anak-anak zaman sekarang tidak melihat jauh ke hadapan. Sering tersasar akibat mengikut hati dan perasaan. Terkadang kita yang malu melihat keterbukaan mereka, (sedangkan malu itu sebahagian daripada iman). Sering juga saya tertanya...'ibu bapa mereka di mana ya?'. Mudah-mudahan saja yang mengalami cinta monyet itu tidak kekal menjadi 'monyet'selamanya...wahahaha
Post a Comment