Monday, January 31, 2011

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera...

Hari ini saya amat bersyukur kerana berpeluang mendidik anak-anak murid yang merupakan pemimpin akan datang. Saya sentiasa berdoa mudah-mudahan mereka akan terus beroleh kejayaan bukan saja dalam bidang akademik, tetapi dalam apa jua bidang yang mereka ceburi. Perjalanan yang jauh bermula dengan satu langkah...begitulah.


Mudah-mudahan kita sama-sama beroleh kebaikan dalam pengembaraan ilmu ini. InsyaAllah





Sunday, January 30, 2011

Motivasi diri...

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Kita memerlukan sesuatu yang boleh menjadi daya pendorong atau motivasi untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Kalau pelajar yang ingin berjaya tentu memerlukan motivasi diri untuk mencapai kejayaan.
Bagi seorang pekerja pula, tentu memerlukan motivasi untuk melakukan pekerjaan dengan baik...tambahan pula perlu melakukan kerja yang sama setiap hari. Tentu bosan akan muncul jua di dalam hati.

Di bawah ni ada beberapa tips yang boleh kita praktikkan untuk motivasi diri..

1. Rancangkan dahulu apa yang perlu dibuat dan tetapkan matlamat. (9A?,4P? ...matlamat sebaiknya berdasarkan TOV dan ETR , rujuklah headcount masing-masing)

2. Senyumlah selalu...(senyuman boleh menenangkan jiwa dan juga sebagai sedekah.)


3. Dapatkan rehat dan tidur yang berkualiti. (lebih tidurpun tak bagus tau...)


4. Jangan membahayakan diri sendiri atau menzalimi diri.


5. Binalah persahabatan yang erat dan saling menyayangi.


6. Sesekali hiburkanlah hati sendiri dengan melakukan apa yang diminati.
(Tapi ikutlah batasan syariat agama dan besederhanalah ya...)



7. Tonjolkan penampilan diri yang menarik dan kemas. Sesekali bergaya,apa salahnya.
( Apa pun akhlak dan aurat mesti jaga )


8. Kawal berat badan anda dan jangan terlebih makan..takut jadi obes pula.
(tapi jangan sampai tak makan la pulak..)


9. Amalkan gaya hidup sihat. Jangan menghisap rokok..bahaya untuk kesihatan.


10. Lakukan pemeriksaan kesihatan menyeluruh bagi mengetahui tahap kesihatan diri.


11. Tenangkan fikiran dan relaks sekejap. (rehatpun kena berpada-pada ya...)


12. Mandi setiap hari... (hehehe...jangan malas mandi tau !)


13. Jadilah diri sendiri (bukan orang lain) dan berbanggalah dengan kemampuan diri.


14. Jangan menunjuk-nunjuk atau alim-alim kucing.(tak perlu berlakon...jujur saja)


15. Lakukan kerja seikhlas hati.( kerana Allah s.w.t )


16. Yang paling penting, sentiasalah berdoa kepada Allah.
(Jangan sesekali putus asa dengan Kasih sayang dan Rahmat Allah...)

Kita sekadar berusaha dan berdoa..mudah-mudahan kejayaan menanti kita. InsyaAllah.

Thursday, January 20, 2011

Masih ingat...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera…
Alhamdullilah atas nikmat kehidupan yang masih kita kecapi hari ini. Saya juga amat bersyukur kerana Allah memberikan kegembiraan di hati saya kala bertemu anak-anak didik yang telah saya tinggalkan sejak sekian lama. Saya gembira mendengar perkhabaran bekas pelajar-pelajar sama ada di SMK.Arshad, SM.St.Joseph, Maktab Sabah, dan SMK.Majakir sendiri. Tidak terasa masa yang sudah berlalu. Bagai tidak terasa juga betapa saya juga semakin dihantar waktu ke penghujung jalan…

Mengenang anak-anak yang dididik dengan pelbagai gaya dan cara, saya pasti senyum sendiri. Saya masih ingat bagaimana seorang anak murid saya berlagu dangdut kala saya meminta dia membina ayat daripada kata seru ‘aduh’…riuh rendah kelas jadinya. Saya juga masih ingat bagaimana meriahnya anak-anak murid saya membicarakan hal bola sepak, Akademi Fantasia.…Saya juga masih terkenangkan tiap titis kesedihan anak-anak saya kala membincangkan hal-hal duka, kala kecewa. Saya juga masih ingat kuntum bunga yang diberi pada hari istimewa, pada kad ucapan dan selamat. Dan… saya juga masih teringat akan luka yang digores jauh di sudut hati manusia seorang guru ini. Hmmmmphh!!!terlalu banyak kisah suka dan duka …

Segala catatan rasa dan jalinan peristiwa dalam hidup saya sebagai seorang guru akan terus saya simpan dalam hati dan ingatan, selagi hayat dikandung badan. InsyaAllah. Sebagai seorang guru, saya hanya mengharapkan segala yang terbaik daripada anak-anak murid saya. Saya juga akan terus mendoakan kesejahteraan semua. Mungkin saya bukanlah guru yang terbaik…tetapi saya sentiasa berfikiran positif terhadap kerjaya saya. Saya gembira kerana telah diberi peluang memberikan ilmu dan didikan kepada anak-anak yang memerlukan. Mudah-mudahan saya akan dapat terus menikmati kegembiraan seperti yang saya rasakan sekarang …Alhamdulillah

Nyaman rasa bayu di lembah,
hingga terlupa ranjau dan onak;
tugas guru tak pernah sudah,
bagaikan kerja menolak ombak.

Mudah-mudahan juga saya terus diberikan kelapangan dan kudrat untuk terus berbakti…insyaAllah.

Thursday, January 13, 2011

Padi dan Lalang

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera...

Sudah 2 minggu kita memulakan rutin persekolahan. Ada yang menghadapinya dengan begitu baik. Ada yang masih berusaha menyesuaikan diri. Ada juga masih tercari-cari alasan untuk tidak meneruskan perjuangan. Hmmmmmmph!!! Saya sendiri masih belum bertemu rentak lagu yang boleh disinkronasikan dengan tarian anak-anak didik saya. Namun, semua itu lumrah kehidupan. Alah bisa tegal biasa. Saya yakin kita akan bertemu pada satu titik persamaan yang bakal menjanjikan seribu kisah alam persekolahan. Percayalah...

Awal tahun persekolahan merupakan detik penting dalam kehidupan seorang pelajar. Waktu ini kita mula menrencana dan melakar kisah untuk 2011. Saya selalu berpesan kepada anak-anak saya (termasuklah anak-anak murid) bahawa kita adalah 'apa' yang kita fikirkan. Kita juga akan menuai apa yang kita semai. Kalau kita menanam padi, maka padilah hasilnya. Tidak akan berubah menjadi mempelam, apatah lagi anggur dan oren. TAPI..jangan lupa, tanpa usaha yang berterusan dan kesungguhan, tidak mustahil kalau lalang yang tumbuh. Kalau kita bertanam lalang, manakan kita menuai padi...belum ada kan?

Oleh yang demikian, berusahalah untuk merancang masa kita dengan baik. Pastikan kita tahu keutamaan kita. Apakah pula perkara-perkara penting, dan manakah yang boleh dianggap sebagai kurang penting? Merancang tindakan dan kemudian melaksanakannya dengan tekun sebenarnya amat membantu kita untuk berjaya. Sebab itulah disiplin itu penting dalam menjana kejayaan. Namun perlu diingat, kita harus juga berpijak di bumi nyata. Janganlah nanti merenung bintang di langit, kita terlupa rumput yang dipijak di bumi. Maksudnya, kita perlulah berpada-pada dalam menginginkan sesuatu. Jangan nanti yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran. Membazir...

Maka sama-samalah kita menyusun hasrat dan tekad untuk berjaya dalam sesi persekolahan kali ini. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. "A will find a way"...InsyaAllah.

Saturday, January 1, 2011

Demi masa...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera...

Hari ini kita sudahpun berada pada tahun 2011. Penantian, Sambutan, ucap selamat dan kegirangan menunggu detik 2011 sudahpun berlalu dan menjadi sebahagian daripada masa lalu kita. Maka...selepas semua itu, apakah cerita kita yang seterusnya?

Tahun baru sangat sinonim dengan azam baru...kan? Pelbagai azam yang difikirkan dan ada juga yang dicanangkan, tapi...sering kali kita diamkan segala azam yang yang tidak kesampaian pada tahun sebelumnya. Kenapa? kerana sudah menjadi lumrah kita ini sebagai manusia untuk melihat hanya apa yang mahu kita lihat. Kerap kali kita melihat hanya dengan sebelah mata, atau melihat tapi tidak memandang sepenuhnya...Celik tapi buta!!!

Maka, kita tidak seharusnya menjadi begitu taksub dengan 'azam baru'. Memadailah kita berjanji pada diri kita agar menjadi insan yang lebih baik, cukuplah kalau kita berusaha agar hari ini lebih baik daripada semalam dan esok lebih baik daripada hari ini. Bagaimanapun..'talk is cheap'...lantaran itu kita tidak boleh hanya setakat berkata-kata tanpa disusuli dengan usaha. Kita adalah apa yang kita katakan dan kita usahakan. Maka...berusahalah sebaiknya untuk menjadi apa yang kita hajati.

Jika kita fikirkan boleh, kita pasti boleh melakukan...jika kita fikirkan ragu-ragu, usaha jadi tidak menentu. Jika kita fikirkan kepayahan, kita menghampiri kegagalan. Jika kita fikirkan kemenangan, kita menghampiri kejayaan...InsyaAllah

Pada sesi persekolahan kali ini, ingatlah bahawa 'demi masa...sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan mereka yang berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran'. Oleh itu anak-anak/ adik-adik pelajar yang dikasihi...tekunlah dengan ilmu dan amalan baikmu. Berusahalah sehabis dayamu, berdoalah serendah hatimu dan bertawakal lah. Mudah-mudahan dipermudahkan segala urusanmu di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.