Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera…
Alhamdullilah atas nikmat kehidupan yang masih kita kecapi hari ini. Saya juga amat bersyukur kerana Allah memberikan kegembiraan di hati saya kala bertemu anak-anak didik yang telah saya tinggalkan sejak sekian lama. Saya gembira mendengar perkhabaran bekas pelajar-pelajar sama ada di SMK.Arshad, SM.St.Joseph, Maktab Sabah, dan SMK.Majakir sendiri. Tidak terasa masa yang sudah berlalu. Bagai tidak terasa juga betapa saya juga semakin dihantar waktu ke penghujung jalan…
Mengenang anak-anak yang dididik dengan pelbagai gaya dan cara, saya pasti senyum sendiri. Saya masih ingat bagaimana seorang anak murid saya berlagu dangdut kala saya meminta dia membina ayat daripada kata seru ‘aduh’…riuh rendah kelas jadinya. Saya juga masih ingat bagaimana meriahnya anak-anak murid saya membicarakan hal bola sepak, Akademi Fantasia.…Saya juga masih terkenangkan tiap titis kesedihan anak-anak saya kala membincangkan hal-hal duka, kala kecewa. Saya juga masih ingat kuntum bunga yang diberi pada hari istimewa, pada kad ucapan dan selamat. Dan… saya juga masih teringat akan luka yang digores jauh di sudut hati manusia seorang guru ini. Hmmmmphh!!!terlalu banyak kisah suka dan duka …
Segala catatan rasa dan jalinan peristiwa dalam hidup saya sebagai seorang guru akan terus saya simpan dalam hati dan ingatan, selagi hayat dikandung badan. InsyaAllah. Sebagai seorang guru, saya hanya mengharapkan segala yang terbaik daripada anak-anak murid saya. Saya juga akan terus mendoakan kesejahteraan semua. Mungkin saya bukanlah guru yang terbaik…tetapi saya sentiasa berfikiran positif terhadap kerjaya saya. Saya gembira kerana telah diberi peluang memberikan ilmu dan didikan kepada anak-anak yang memerlukan. Mudah-mudahan saya akan dapat terus menikmati kegembiraan seperti yang saya rasakan sekarang …Alhamdulillah
Nyaman rasa bayu di lembah,
hingga terlupa ranjau dan onak;
tugas guru tak pernah sudah,
bagaikan kerja menolak ombak.
Mudah-mudahan juga saya terus diberikan kelapangan dan kudrat untuk terus berbakti…insyaAllah.
No comments:
Post a Comment