Thursday, March 31, 2011

Masa oh masa...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Hari ini rasanya masa sangat mencemburui kita? Kenapa? kerana masa itu bagai terlalu cepat berlalu pergi. Rasanya baru semalam kita memulakan sesi persekolahan, dan hari ini kita sudah berada pada penghujung bulan Mac. Esok kita sudah melangkah ke bulan baru. Hal ini juga bermaksud kita semakin hampir dengan peperiksaan! menakutkan...kan?

Bagaimanapun, kita sebenarnya mendapat nikmat waktu dan hayat yang sama. Maksudnya, semua orang mempunyai 24 jam sehari. Tidak ada yang lebih dan tidak ada yang kurang. Maka, kenapa ada yang mengatakan tidak ada masa,dan ada pula yang berasa bosan kerana tidak tahu bagaimana hendak menghabiskan masa? Betulkan?

Sebenarnya, kitalah yang bertanggung jawab mengurus masa kita dengan sebaiknya. Hari ini manusia sudah semakin sibuk. Jadual harian kita semakin padat dengan aktiviti yang pelbagai. Perkara sebeginilah yang menyebabkan kita merasakan bahawa masa itu terlalu singkat. Orang yang tidak mempunyai aktiviti secara khusus akan merasakan kebosanan itu bagai teman setianya. Kenapa? kerana mereka ada banyak masa, tetapi tidak ada aktiviti untuk mengisinya.

Oleh itu, kita perlulah selalu ingat bahawa pengurusan masa itu sangat penting. Sesungguhnya, masa itu umpama mata pedang. Jika kita tidak menggunakannya dengan baik, kita akan musnah kerananya.

Usah kesali masa yang berlalu. Tidak ada yang abadi di dunia ini, apa yang perlu kita lakukan ialah berusaha sebaik mungkin agar tidak terlalu banyak penyesalan pada masa hadapan. Kita juga mestilah berfikir secara positif dan mengharapkan agar kita mampu melaksana tugas dan tanggung jawab kita sebaiknya. Jangan hanya bercakap saja, tetapi mestilah disertai dengan tindakan. Ingatlah bahawa 'kita ialah apa yang kita fikirkan', andai kita fikirkan kita boleh...kita pasti boleh melakukannya. Jika kita fikirkan kemenangan...kita menghampiri kejayaan, dan begitulah sebaliknya.

Sesungguhnya jika kita ada masa untuk berfikir, maka kita juga punya masa untuk bertindak. Tepuk dada tanyalah selera dan jiwa masing-masing. Ke mana hala tuju kita? Jangan sampai nanti kita kerugian dan hidup dengan penuh penyesalan. Semoga kita semua berjaya dalam perjuangan mengurus masa dan kehidupan kita. Nasib tidak akan berubah sehingga kita berusaha mengubahnya. InsyaAllah.

Thursday, March 24, 2011

Penantian yang tidak usai...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

23 Mac 2011 yang lalu, berakhirlah penantian insan-insan yang menunggu keputusan peperiksaan SPM. Para pelajar, ibu bapa, guru-guru dan banyak pihak yang berkepentingan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung mula bernafas lega. Setelah berada dalam situasi yang serba menggugat rasa sejak sekian lama.

Alhamdulillah, keputusan pada tahun ini amat memberansangkan jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya. 99.4% itu merupakan pencapaian terbaik sekolah semenjak saya bertugas di SMK.Majakir pada tahun 2002. Syabas dan tahniah semuanya.

Semasa keputusan diumumkan, pelbagai wajah yang kelihatan. Suka, duka, gembira, kecewa, hampa...segalanya ada. Pasti ada airmata yang menitis. Gembira atau duka? hanya diri sendiri yang mampu menjawabnya.

Pada tahun ini saya sangat gembira melihat keputusan anak-anak murid saya. Segala usaha yang dikerah semasa sesi persekolahan terasa amat bermakna. Semua ayam tambatan @ ayam karan saya memberikan hasil yang sangat membanggakan. Pasti anak-anak murid saya ingat ungkapan ayam tambatan (orang harapan) dan ayam karan (ayam ternak yang hanya tahu makan saja) kala saya mengajar mereka akan peribahasa dan erti kehidupan melalui cerita-cerita saya. Saya akan sangat merindui wajah dan karenah mereka selepas ini.

Ada wajah yang tidak sempat saya tatap kala keputusan diumumkan. Namun saya pasti mereka semua pasti gembira dengan keputusan masing-masing. Rasa kecewa apabila tidak mendapat yang terbaik pasti ada pada setiap pelajar yang telah berusaha sehabis daya. Namun, yakinlah bahawa pasti ada suatu yang lebih hebat untuk anda raikan selepas ini nanti. Perjalanan yang jauh baru mahu bermula. Jadikan rasa kecewa sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya. Kadang-kadang kita terjatuh hanya untuk bangkit lebih tinggi lagi. Percayalah...

Sebagaimana perjalanan seorang pelajar itu diteruskan, begitulah juga tugas seorang pendidik. Kami akan mengalami situasi yang sama saban tahun.Penantian kami tidak pernah habis sebenarnya. maksud saya, kami akan berusaha dengan segala kudrat dan semangat yang ada;menempuh segala rintangan dan cabaran yang mendatang;berdoa siang dan malam; menanti keputusan dengan penuh debaran...(dan kemudian, perlu pula menjawab segala soalan dan kemungkinan ketika analisis keputusan dibentangkan). Pada waktu pelajar-pelajar meninggalkan kami, perjalanan kami bermula lagi. Begitulah rutinnya seorang pendidik. Kami tidak pernah berhenti, berusaha,memberi,mengharap,menanti dan mencuba lagi...sehinggalah kami tinggalkan kerjaya yang kami cintai ini.

Maka pesan saya kepada sesiapa saja insan di luar sana, jangan sesekali kamu berasa angkuh dan bongkak dengan kepandaianmu. Kita diseru agar merendahkan diri dengan orang yang kita ambil ilmunya. Sesungguhnya ilmu itu satu anugerah yang tidak jatuh dari langit, tetapi perlu diusahakan. Ucaplah terima kasih kepada sesiapapun jua yang pernah mendidikmu walau mengenal satu huruf sekalipun.

Kepada rakan-rakan guru, teruslah berusaha mencurah bakti murni. Usah terlalu dihitung keringat, penat dan gaji pembakar semangat. Gembiralah kerana kita diberi amanah meneruskan kelangsungan bijak pandai. Hari ini kita memberi, mungkin esok lusa cucu cicit kita yang akan menerima. Tuhan mengangkat darjat orang berilmu itu satu tingkat lebih tinggi berbanding orang yang tidak berilmu.

Semoga kita semua tidak kenal erti putus asa dalam mencari erti hidup dan sesungguhnya akidah, akhlak dan ilmu itu akan menghasilkan kemajuan.InsyaAllah

Sunday, March 13, 2011

Harga Remaja

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Harga remaja? kenapa mesti ditanya soalan itu? Biarkanlah remaja menikmati hidup mereka semaunya. Kalaulah boleh kita katakan itu jawapannya. Namun, jawapannya tidak semudah itu. Sampai bila-bilapun harga remaja itu tidak ternilaikan. Amat mahal sesungguhnya!

Remaja meupakan zaman yang penuh cabaran dan gelora. Zaman peralihan antara alam kanak-kanak dan dewasa. Remaja mahukan hak seorang dewasa, tetapi tidak mahu memikul amanah dan tanggung jawab sebagai seorang dewasa. Remaja mahukan keriangan dan kebebasan kanak-kanak, tetapi tidak lagi mahu dianggap sebagai kanak-kanak yang tertakluk kepada ibu bapa dan orang dewasa. Keliru...kan?

Pesan saya sebagai seorang dewasa yang sudah lama meninggalkan alam remaja (tetapi masih sentiasa berdepan dengan karenah remaja sama ada anak sendiri mahupun anak-anak murid), hadapilah dan tempuhilah zaman remajamu dengan keberanian dan kebijaksanaan. Bukan berani yang membuta tuli, tetapi berani dengan keyakinan iman di hati. Benteng iman akan boleh mendepani apa saja. Remaja juga perlu bijaksana dalam menilai kehidupan. Remaja perlu merujuk kepada orang dewasa untuk mendapatkan tunjuk ajar dan bimbingan kerana pada peringkat ini anak-anak terlalu sempurna pemikirannya. Waspada dan telitilah dalam memilih teman dan rakan. Sesungguhnya rakan-rakan merupakan ahli keluarga yang kita pilih...maka pilihlah keluarga yang boleh menjamin kegembiraan bukan saja di dunia, tetapi sampai akhirat.InsyaAllah...

Kepada anak-anak remaja di luar sana...hargailah dirimu dan zaman remajamu. Jangan terpedaya dengan helah dan tipu daya dunia yang menjebakmu ke lara hidup yang akan kau kesali kemudian hari. Yakinlah Allah s.w.t menjanjikan kehidupan yang baik asal saja kita sanggup berusaha mencarinya. Semoga remajamu menjadi saat termanis dalam kehidupanmu. InsyaAllah.




* sajak Harga Remaja yang dilagukan...