Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
Hari ini rasanya masa sangat mencemburui kita? Kenapa? kerana masa itu bagai terlalu cepat berlalu pergi. Rasanya baru semalam kita memulakan sesi persekolahan, dan hari ini kita sudah berada pada penghujung bulan Mac. Esok kita sudah melangkah ke bulan baru. Hal ini juga bermaksud kita semakin hampir dengan peperiksaan! menakutkan...kan?
Bagaimanapun, kita sebenarnya mendapat nikmat waktu dan hayat yang sama. Maksudnya, semua orang mempunyai 24 jam sehari. Tidak ada yang lebih dan tidak ada yang kurang. Maka, kenapa ada yang mengatakan tidak ada masa,dan ada pula yang berasa bosan kerana tidak tahu bagaimana hendak menghabiskan masa? Betulkan?
Sebenarnya, kitalah yang bertanggung jawab mengurus masa kita dengan sebaiknya. Hari ini manusia sudah semakin sibuk. Jadual harian kita semakin padat dengan aktiviti yang pelbagai. Perkara sebeginilah yang menyebabkan kita merasakan bahawa masa itu terlalu singkat. Orang yang tidak mempunyai aktiviti secara khusus akan merasakan kebosanan itu bagai teman setianya. Kenapa? kerana mereka ada banyak masa, tetapi tidak ada aktiviti untuk mengisinya.
Oleh itu, kita perlulah selalu ingat bahawa pengurusan masa itu sangat penting. Sesungguhnya, masa itu umpama mata pedang. Jika kita tidak menggunakannya dengan baik, kita akan musnah kerananya.
Usah kesali masa yang berlalu. Tidak ada yang abadi di dunia ini, apa yang perlu kita lakukan ialah berusaha sebaik mungkin agar tidak terlalu banyak penyesalan pada masa hadapan. Kita juga mestilah berfikir secara positif dan mengharapkan agar kita mampu melaksana tugas dan tanggung jawab kita sebaiknya. Jangan hanya bercakap saja, tetapi mestilah disertai dengan tindakan. Ingatlah bahawa 'kita ialah apa yang kita fikirkan', andai kita fikirkan kita boleh...kita pasti boleh melakukannya. Jika kita fikirkan kemenangan...kita menghampiri kejayaan, dan begitulah sebaliknya.
Sesungguhnya jika kita ada masa untuk berfikir, maka kita juga punya masa untuk bertindak. Tepuk dada tanyalah selera dan jiwa masing-masing. Ke mana hala tuju kita? Jangan sampai nanti kita kerugian dan hidup dengan penuh penyesalan. Semoga kita semua berjaya dalam perjuangan mengurus masa dan kehidupan kita. Nasib tidak akan berubah sehingga kita berusaha mengubahnya. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment