Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
'Cita-cita'. Satu perkataan yang terlalu sering kita dengar. Kadang-kadang perkataan itu boleh membuat kita teruja, dan ada kalanya membuat kita gundah-gulana. Ada antara kita yang sudah mencapai cita-cita, ada yang masih berusaha menggapainya, ada yang kecewa dan pastinya juga ada yang masih tidak pasti akan cita-cita sendiri! Biasalah kan?
Terkenang seorang kawan yang saya kenali kala menjejak kaki ke bumi semenanjung suatu ketika dulu. Kami merupakan pelajar tajaan Yayasan Sabah (terima kasih yang tidak terhingga kepada YS...) yang dihantar ke serata sekolah di semenanjung Malaysia lantaran kurangnya fasiliti pendidikan di Sabah kala itu.Dari seluruh pelosok Sabah dan pelbagai latar belakang yang berbeza kami dipilih, tapi matlamat kami tetap sama iaitu belajar dan berjaya.
Sedari awal kawan saya memberitahu umum bahawa dia bercita-cita menjadi seorang doktor. Maka dia berusaha mencapainya. Namun saya sedikit pelik kerana selepas tingkatan tiga, dia memasuki sekolah teknik. Kala saya menanyakan hal itu dia bagai baru tersedar. Menariknya, semangat yang satu itu tidak luntur sebaliknya dia memberitahu yang dia akan memasuki aliran sains semasa tingkatan enam nanti demi meneruskan hasrat menjadi seorang doktor.
Kami bertemu lagi semasa tingkatan enam. Dia memang mengambil aliran sains, sedang saya mengubah angin ke aliran kemanusiaan. Kemudiannya saya mendapat tahu dia melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang dalam bidang botani. Saya sangkakan dia mengubah cita-citanya, seperti saya yang melupakan cita-cita asal kerana perkara-perkara tidak tertolak oleh saya.
Rupa-rupanya, jangkaan saya tidak tepat. Kawan saya memberitahu bahawa dia akan tetap menjadi seorang doktor meski bukan lagi doktor perubatan. Berita itu disampaikan ketika dia menghantar jemputan ke majlis akad nikahnya. Selepas itu saya mendapat khabar yang dia melanjutkan pengajian kedoktorannya di bumi Inggeris bersama-sama suami dan keluarganya.
Hari ini kawan saya tadi merupakan salah seorang pensyarah di Universiti Malaysia Sabah dan dia mempunyai 'title' doktor di awal namanya. Alhamdulillah.
Saya sangat kagum dengan keutuhan azam dan semangat kawan saya dalam mencapai cita-citanya. Dia juga amat bertuah kerana berjaya dalam bidang yang diceburinya. Cerita ini membuktikan peribahasa lama 'di mana ada kemahuan di situ ada jalan' dan 'genggam bara api biar sampai jadi arang'. Tidak ada yang mustahilkan?
Dulu saya berduka kala mengenang cita-cita yang tidak kesampaian, sehinggalah seorang pelajar saya berkata..."cikgu mungkin tidak berpeluang menjadi peguam. Tetapi cikgu ditakdirkan menjadi guru untuk membantu anak-anak murid cikgu menjadi peguam. Terima kasih cikgu." Kala itu saya mengerti bahawa banyak perkara yang ditakdirkan untuk kita sebenarnya mempunyai hikmah yang tersirat. Sejak itu, saya bersyukur dengan setiap apa yang telah disuratkan untuk saya.
Maka, ingin saya menyeru kepada anak-anak di luar sana agar tetapkan pendirianmu dalam melakar hala tuju hidupmu. Cita-cita kita bermula dengan mimpi. Mimpi kemudiannya menjadi harapan yang kita panggil cita-cita. Usah terus lena, kelak cita-citamu tidak menjadi nyata. Bangunlah, berusahalah dan istiqamahlah dalam mengejar cita-citamu. Kelak akan memberi kebaikan dan kejayaan padamu.InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment