Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera
Pagi tadi saya bertanya kepada anak-anak murid , siapa yang menginginkan gred A dalam subjek BM ? Maka hampir semua pelajar saya mengangkat tangan. Ada yang memberi tindak balas dengan kadar segera dan penuh semangat. Ada pula yang hanya ikut-ikutan. Sebilangan kecil pula mengangkat tangan bagai malu-malu kucing. Namun, semua pelajar saya mengangkat tangan (nasib baik tidak sambil meliang-liukkan tangan ala-ala watak dalam filem 'Hantu Kak Limah Balik Rumah...)
Kemudiannya pelajar saya bertanya sambil tersipu-sipu (mungkin malu berdasarkan prestasi mereka setakat ini)"Kenapa cikgu tanya?". "Saja..."balasan yang ringkas tetapi ternyata tidak memuaskan hati mereka. Wajah penuh tanda tanya itu perlu saya tenangkan sebelum boleh mengajar. Namun saya gembira kerana mereka memberikan perhatian kepada saya demi menunggu jawapan.
Saya berikan jawapan itu dengan satu analogi mudah. "Kalau ingin pergi ke Kota Kinabalu, kita perlulah menaiki bas ke Kota Kinabalu dan bukannya bas ke Sipitang." Anak-anak yang seramai 28 orang itu semuanya mengangguk membenarkan kenyataan . "Maka andai kita inginkan gred A, usaha kita mestilah gred A juga. Tidak boleh kita menginginkan gred A tetapi usahanya gred E..." Wajah anak-anak di depanku mula cerah tetapi masih ada segelintir yang sekelat tadi. "Mustahil? tidak ada yang mustahil selagi kita belum mencuba. Mengaku kalah sebelum berjuang bagaikan mati sebelum hidup..." Saya kemudiannya memberikan contoh pelajar-pelajar tahun lepas yang berjaya mendapat gred yang baik meski pun mereka bermula dengan keputusan yang tidak begitu memuaskan.
Wajah-wajah ceria mula menghadapi pelajaran dengan lebih bersemangat. Seperti juga saya yang sebenarnya menyerap semangat anak-anak murid untuk terus berjuang mencapai kecemerlangan. Maka kelas saya bermula dengan satu azam dan semangat, biar sedetik cuma...namun cukup bererti . Mudah-mudahan kami berjaya lagi sekali ini.InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment