Thursday, April 14, 2011

Syurga...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera…
Seorang pelajar sempat bertanya kenapa saya kelihatan muram kala melangkah kaki masuk ke kelas mereka? Sebelum menjawab, terlebih dahulu saya memohon maaf. (Tanpa sedar, rupanya kita diperhatikan.) Tidak terniat di hati memapar keresahan di wajah, namun saya juga manusia biasa. Sesekali saya tidak mampu berlakon seolah-olah dunia ini semuanya indah belaka.
Soalan tadi saya jawab dengan senyuman. “Pada minggu hadapan cikgu akan bercuti…” belumpun ayat itu sempat dihabiskan, pelbagai reaksi sudah dapat dilihat. Biasalah, bak kata pepatah terkilat ikan di air, sudah tahu jantan betina. Begitulah…
Ada yang menjangka yang saya akan bercuti untuk tujuan makan angin!! Sengaja saya biarkan fikiran mereka menerawang. Apabila saya beritahu tujuan sebenar, kelas menjadi sunyi sepi. Saya tetap tersenyum dalam pada cuba memujuk hati sendiri agar tidak menunjuk sebak di hadapan para pelajar. Dalam keadaan yang sebegitu, saya mengingatkan pelajar akan hakikat hidup yang sebenarnya. Maka saya ajak mereka untuk berdoa mudah-mudahan satu hari nanti kita semua mampu berbakti kepada orang tua kita setakat mana yang terdaya. Tanpa kedua-dua ibu bapa, pasti kita tidak berpeluang mengecap nikmat hidup di dunia. Tanpa belas ihsan orang tua juga, kita tidak akan mengenal dunia kita hari ini. Maka wajiblah kita menghargai dan berbakti kepada orang tua kita selagi kita masih berupaya.Sesungguhnya syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu.
Saya bersyukur kerana masih memiliki kedua-dua orang tua sehingga kini . Mereka merupakan sumber inspirasi dan nadi perjuangan saya suatu waktu dahulu. Kini mereka masih lagi dan bakal terus menjadi keutamaan saya meski syurga telah beralih ke bawah tapak kaki suami. Dua orang insan inilah yang turut mencorak hidup saya kini. Syukur Alhamdulillah.
Atas kesedaran seorang anaklah, saya mengajak anak-anak murid untuk sama-sama menjunjung kasih orang tua, menghargai, berbakti dan berdoa selagi kita berupaya.InsyaAllah. Mudah-mudahan kebaikan kita kepada orang tua, akan memberi kebaikan kepada kehidupan kita yang seterusnya. Turut saya pesankan agar anak-anak tidak membelakangkan ibu bapa dalam kehidupan, apatah lagi bersikap biadap dan derhaka.Na’uzubillah… Sesungguhnya keredaan ibu bapa akan pasti memberkati hidup kita, di sini dan di sana.InsyaAllah.
Mudah-mudahan anak-anak murid saya akan mendapat keberkatan hidup di dunia dan membolehkan mereka berbakti kepada orang tua mereka. Di kesempatan ini juga saya memohon dan berdoa mudah-mudahan kedua ibu dan bapa saya diberikan kesembuhan dan kesejahteraan hidup. InsyaAllah.

No comments: