Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera
23 Mac 2011 yang lalu, berakhirlah penantian insan-insan yang menunggu keputusan peperiksaan SPM. Para pelajar, ibu bapa, guru-guru dan banyak pihak yang berkepentingan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung mula bernafas lega. Setelah berada dalam situasi yang serba menggugat rasa sejak sekian lama.
Alhamdulillah, keputusan pada tahun ini amat memberansangkan jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya. 99.4% itu merupakan pencapaian terbaik sekolah semenjak saya bertugas di SMK.Majakir pada tahun 2002. Syabas dan tahniah semuanya.
Semasa keputusan diumumkan, pelbagai wajah yang kelihatan. Suka, duka, gembira, kecewa, hampa...segalanya ada. Pasti ada airmata yang menitis. Gembira atau duka? hanya diri sendiri yang mampu menjawabnya.
Pada tahun ini saya sangat gembira melihat keputusan anak-anak murid saya. Segala usaha yang dikerah semasa sesi persekolahan terasa amat bermakna. Semua ayam tambatan @ ayam karan saya memberikan hasil yang sangat membanggakan. Pasti anak-anak murid saya ingat ungkapan ayam tambatan (orang harapan) dan ayam karan (ayam ternak yang hanya tahu makan saja) kala saya mengajar mereka akan peribahasa dan erti kehidupan melalui cerita-cerita saya. Saya akan sangat merindui wajah dan karenah mereka selepas ini.
Ada wajah yang tidak sempat saya tatap kala keputusan diumumkan. Namun saya pasti mereka semua pasti gembira dengan keputusan masing-masing. Rasa kecewa apabila tidak mendapat yang terbaik pasti ada pada setiap pelajar yang telah berusaha sehabis daya. Namun, yakinlah bahawa pasti ada suatu yang lebih hebat untuk anda raikan selepas ini nanti. Perjalanan yang jauh baru mahu bermula. Jadikan rasa kecewa sebagai pembakar semangat untuk lebih berjaya. Kadang-kadang kita terjatuh hanya untuk bangkit lebih tinggi lagi. Percayalah...
Sebagaimana perjalanan seorang pelajar itu diteruskan, begitulah juga tugas seorang pendidik. Kami akan mengalami situasi yang sama saban tahun.Penantian kami tidak pernah habis sebenarnya. maksud saya, kami akan berusaha dengan segala kudrat dan semangat yang ada;menempuh segala rintangan dan cabaran yang mendatang;berdoa siang dan malam; menanti keputusan dengan penuh debaran...(dan kemudian, perlu pula menjawab segala soalan dan kemungkinan ketika analisis keputusan dibentangkan). Pada waktu pelajar-pelajar meninggalkan kami, perjalanan kami bermula lagi. Begitulah rutinnya seorang pendidik. Kami tidak pernah berhenti, berusaha,memberi,mengharap,menanti dan mencuba lagi...sehinggalah kami tinggalkan kerjaya yang kami cintai ini.
Maka pesan saya kepada sesiapa saja insan di luar sana, jangan sesekali kamu berasa angkuh dan bongkak dengan kepandaianmu. Kita diseru agar merendahkan diri dengan orang yang kita ambil ilmunya. Sesungguhnya ilmu itu satu anugerah yang tidak jatuh dari langit, tetapi perlu diusahakan. Ucaplah terima kasih kepada sesiapapun jua yang pernah mendidikmu walau mengenal satu huruf sekalipun.
Kepada rakan-rakan guru, teruslah berusaha mencurah bakti murni. Usah terlalu dihitung keringat, penat dan gaji pembakar semangat. Gembiralah kerana kita diberi amanah meneruskan kelangsungan bijak pandai. Hari ini kita memberi, mungkin esok lusa cucu cicit kita yang akan menerima. Tuhan mengangkat darjat orang berilmu itu satu tingkat lebih tinggi berbanding orang yang tidak berilmu.
Semoga kita semua tidak kenal erti putus asa dalam mencari erti hidup dan sesungguhnya akidah, akhlak dan ilmu itu akan menghasilkan kemajuan.InsyaAllah
No comments:
Post a Comment