Friday, December 31, 2010

Tidak akan berulang...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Tinggal beberapa detik saja lagi tirai 2010 akan berlabuh. Pastinya segala yang berlalu itu tidak akan berulang. Memang begitulah fitrah kehidupan. Kita tidak pernah diberikan keupayaan untuk menghentikan waktu, memutarnya semula atau menpercepat masa. Semua itu bukan milik kita.

Maka, yang tinggal pada kita hanyalah kenangan sama ada suka atau duka. Masih ada pada kita hanyalah harapan dan keinginan. Tidak dilupakan turut ada pada kita adalah rintihan dan penyesalan...kan?

2010 bakal meninggalkan kita dengan 1001 kisah yang pastinya memberi makna pada kehidupan kita sebagai seorang insan. Ketawa atau airmata? kitalah yang merasa. Kita merancang, berusaha, berdoa dan bertawakal...namun Allah s.w.t juga yang menentukan segalanya.

Kepada anak-anak/ adik-adik pelajar, berusahalah untuk mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku dengan sebaik mungkin. Hidup ini banyak rahsianya sama ada yang tersurat, mahupun yang tersirat. Kita perlu melihat bukan hanya dengan mata, tetapi juga dengan hati nurani. Semoga kita mendapat kehidupan yang lebih baik.InsyaAllah.

Ungkapan John Maxwell ini amat menarik perhatian saya..."A winner is big enough to admit his mistakes, smart enough to profit from them, and strong enough to correct them".

Dalam kehidupan kita, kesilapan dan kasalahan boleh berlaku.Kita ini manusia biasa...kan? Namun, untuk berjaya kita mesti belajar daripadanya. Kita bersyukur kerana diberikan nikmat hidup, dan bersyukur kerana kita diberi peluang memperbaik diri. Berusahalah agar kehidupan kita hari ini lebih baik dari semalam dan teruslah berusaha mudah-mudahan esok bakal lebih baik dari hari ini. InsyaAllah.

Bagaimanapun, janganlah terlalu menghamba diri pada sebuah kesempurnaan. Kita juga perlu bernafas untuk hidup...nikmatilah kehidupan kerana kita tidak tahu sampai bilakah hayat kita? Pesan saya, isilah detik waktu dengan bermakna, rancanglah kehidupan sebaiknya agar nanti kita tidak sarat dengan penyesalan.

Selamat Tahun Baru 2011.

Monday, December 6, 2010

Suratan atau kebetulan...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Disember sudah menjelma...sekejap saja kan? Bagaimana cuti anda setakat ini? Ada yang seronok, ada yang bingung, ada yang bosan...dan ada yang masih berjuang dengan peperiksaan...Apa saja yang sedang kita hadapi sekarang, sekejap lagi akan berlalu dan menjadi kenangan. Segalanya bakal jadi sesuatu yang diperkata atau diingat-ingat sahaja. Begitulah resam hidup. Segalanya sementara belaka...

Oleh yang demikian, kita perlulah merancang setiap satunya dengan baik agar tidak ada kekesalan di kemudian hari. Bagaimanapun, ada yang berlaku tanpa dirancang. Usah dikesalkan. Hadapi saja dengan penuh keyakinan dan hati yang lapang. Kadang-kadang hidup kita memang begitu. Kita merancang, tapi Tuhan yang menentukan segala-galanya. Perkara itu tidak boleh dinafi. Maka ada yang kata rancanglah sebaik-baiknya (sayalah yang selalu berpesan sebegitu...), ada pula yang berkata ikut sajalah untung nasib diri. Jika terlalu merancang, keseronokan hidup akan hilang...hmmmmmmmm, pendapat orang ada pelbagai...kan?

Saya bagaimanapun percaya bahawa kita mesti merencana sesuatu. Cuma tidaklah terlalu rigid. Kita perlu bersedia menghadapi segala kemungkinan, sama ada suka, duka, atau apa-apa saja yang mungkin berlaku. Tidak salahkan? Kita sentiasa perlukan jaket keselamatan...meski kita pandai berenang. Kenapa? kerana kadang-kadang kita tidak tahu berapa lama kita kena bertahan...maka, segalanya berkemungkinan. Kita perlu bersedia.

Pada saya, hidup ini sememangnya suratan, hanya kita yang sering menafsirnya sebagai satu kebetulan. Andai kita membuat perkiraan yang betul, saya yakin kita akan lebih positif dalam hidup. Kita akan melihat kehidupan kita bukan saja dengan mata, tapi juga dengan jiwa dan minda yang terbuka. Sesungguhnya hidup yang sementara ini perlu kita berikan makna agar tidak kita kesali nanti. Sama ada suka atau duka...itulah suratan kita, namun perlu terlebih dahulu kita berusaha dan berdoa, agar nanti kita tidak bertanya sama ada ini suratan atau kebetulan dalam hidup kita.Saya sentiasa berdoa dan mendoakan mudah-mudahan kita diberikan kejayaan dan keberkatan hidup, di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Wednesday, November 10, 2010

Pemberi paling setia...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Masa begitu terasa sangat cepat berlalu. Sedar atau tidak, kita sudah berada di penghujung sesi persekolahan. Tinggal lebih kurang dua minggu lagi sesi persekolahan 2010 akan berakhir. Maka...tinggal dua minggu lagi para pelajar akan menempuh peperiksaan PENTING...SPM / STPM. Pelbagai rasa yang bergelora. Bukan sahaja anak-anak murid, tetapi juga para guru. Malahan ada ketikanya guru-guru yang kelihatan lebih risau berbanding anak-anak murid...hmmmmmmmph!!!

Pada minggu-minggu akhir ini juga kita semua dihambat waktu. Kerja-kerja akhir tahun yang perlu disiapkan terkadang sedikit mengusik ketenteraman jiwa dan minda. Namun, itu semua lumrah hidup kita. Lautan mana yang tidak bergelora? ...kan? Andai seorang pelayar menyalahkan angin, tanpa angin dia tidak boleh melayar bahtera. Andai pelayar menyalahkan gelora, tanpa lautan...bukan pelayar lah dia. Kesimpulannya? kita tempuhlah segala yang mendatang dalam hidup. Kita tidak perlu menyalahkan sesiapa, bersabarlah sahaja...hadapilah dengan keberanian dan keyakinan. Yakinlah bahawa Tuhan tidak akan menguji kita dengan sesuatu yang tidak mampu kita hadapi. Yakinlah...

Pada minggu-minggu akhir ini juga saya sering berasa sayu. Kenapa? kerana tidak lama lagi anak-anak murid saya akan memulakan perjuangan yang baru. Mereka akan mula melebarkan sayap dan berterbangan mengikut arah angin. Maksud saya, mereka akan meninggalkan alam persekolahan. Setiap kali mereka datang bersalam, meminta maaf dan memohon restu...hati saya pasti tersentuh. Terharu kerana sebagai guru, sudah menjadi tanggung jawab saya untuk mencurah ilmu dan bakti. Menjadi tugas saya bukan setakat mengajar mereka, tetapi juga mendidik mereka sedaya upaya saya. Tidak ada yang saya kesalkan. Tidak ada satupun ilmu yang tidak saya halalkan buat mereka.Malahan saya sentiasa mendoakan kejayaan dan kesejahteraan mereka, di sini dan di sana...InsyaAllah.

'Dialah pemberi paling setia...
tiap akar ilmu miliknya
pelita dan lampu segala
untuk manusia sebelum jadi dewasa'

'Dialah ibu dialah bapa...juga sahabat
alur kesetiaan mengalirkan nasihat
pemimpin yang ditauliahkan segala umat
seribu tahun katanya menjadi hikmat...'

Kepada anak-anak muridku, semoga anda semua beroleh kebaikan dengan ilmu yang kamu peroleh di sekolah. Semoga anda semua mendapat kelapangan hati dan ketenangan dalam menduduki peperiksaan. Mudah-mudahan anda semua berjaya, di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Monday, November 1, 2010

Harapan...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera...

Kita sering berkata tentang harapan. Apa sebenarnya harapan? Harapan bukanlah suatu perasaan yang menjangka semua perkara berlaku seperti yang kita kehendaki, tanpa mengira apa yang akan berlaku. Kehidupan yang tidak boleh dijangka mengajar kita bahawa sesuatu itu mungkin atau tidak mungkin berlaku mengikut apa yang kita rancangkan.
Tetapi, harapan adalah sikap mempercayai dan meyakini bahawa kita boleh hidup bahagia dan gembira di dunia ini. Harapan adalah kunci yang membuka pintu fikiran agar kita dapat memikirkan perkara-perkara positif dan kejayaan-kejayaan yang boleh dicapai.
Tanpa harapan, kita bagaikan hanyut di dalam dunia luas yang tidak bertepi. Maka kita akan mempercayai betapa dunia ini, bahkan kehidupan ini tidak menjanjikan apa-apa kebaikan dan kebahagiaan buat kita.
Putus harapan adalah suatu keadaan yang boleh menjadikan kita lemah. Ia melesukan, malahan membinasakan fikiran dan jiwa kita.
Apabila mempunyai harapan, kita akan memikirkan bahawa kita pasti dan boleh melakukan apa yang kita cita-citakan. Fikiran kita mula mencari jalan untuk mencapai apa yang kita impikan itu. Kita juga mula menyedari bahawa impian kita adalah suatu perkara yang sebenarnya boleh kita capai. Harapan adalah pemangkin yang mendorong kita untuk bertindak.
Api semangat bakal disemarak bukan hanya dengan harapan, tetapi juga optimisme. Sifat optimis akan membakar semangat kita untuk terus mencuba, sehingga kita menemui cara untuk mencapai apa yang kita impikan.
Sesungguhnya semangat kitalah yang memberikan kita tenaga dan membuatkan kita berusaha dengan lebih gigih. Semangat menyuntik adrenalin dan membuat kita berasa teruja dan lebih cergas. Pastinya ia juga mendorong kita untuk bertindak dan melakukan sesuatu.
Manusia sentiasa perlu mempunyai harapan…kita juga perlu optimis, agar kita memberikan makna kepada hidup kita. Hidup hanya sekali…isilah dengan bakti berkat, demi sebuah impian, demi sebuah kehidupan. InsyaAllah.

Thursday, October 21, 2010

Prioriti...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Sehari dua ini bagai begitu banyak cabaran yang perlu dihadapi. Saya berdoa mudah-mudahan saya diberikan kelapangan hati untuk menerima setiap satu yang berlaku dalam kehidupan. Pasti ada hikmanya...InsyaAllah.

Saat berdepan dengan pelajar-pelajar, saya akur kadang-kadang mereka ini sukar dijangka, 'unpredictable'...tetapi, perkara inilah yang menarik dalam bidang kerjaya sebagai pendidik. Tidak ada istilah bosan saat berdepan dengan anak-anak murid.

Baru-baru ini pelajar saya bertanya tentang pilihan. Yang menariknya anak saya yang seorang ini sebenarnya sudah ada ketetapan hati, cuma sekadar bertanya demi menyedapkan hatinya sendiri. (Sekilas ikan di air, sudah ku tahu jantan betina...hmmm.)

Maka saya bercerita tentang kisah seorang teman lama. Seorang teman yang bertemu 'cinta'nya pada usia yang masih muda. Tetapi menariknya cinta monyet teman saya ini ialah berkenaan keutamaan (priority). Waktu itu katanya keutamaannya adalah SPM, maka soal hati hanyalah satu perkara sampingan. Kemudian selepas SPM, keutamaannya adalah STPM pula. Cinta hatinya terpaksa menerima keadaan itu...demi cinta.

Kemudian, kehidupan beralih ke kampus. Cinta hati teman saya begitu gusar, takut kalau-kalau teman saya berubah hati... Maklum saja di universiti dan mereka pula menuntut di universiti yang berlainan. Teman saya sekali lagi masih tetap dengan keutamaannya, kali ini 'gading bertuah'. Itulah syaratnya.

Selepas mendapat ijazah, mereka mula membina kerjaya. Teman saya mula bertemu dengan cinta hatinya semula. Sangkaan saya mereka akan mengakhiri kisah cinta mereka dengan kegembiraan. Rupanya saya tersilap teka...

Saat cinta hatinya melamar dia, teman saya berkata...'mungkin awak bukan jodoh saya...'. Saya sangkakan jejaka itu pasti kecewa dan merana kerana mereka telah berteman sejak sekian lama. Namun...sekali lagi saya salah menjangka. Memang betul mereka kecewa, tetapi mereka tidak merana.

Saat berjumpa mereka berdua, tidak terbayang wajah duka...malah mereka gembira dengan pilihan mereka. Lantas saya bertanya rahsianya. Jawapan mereka hampir serupa...KEUTAMAAN

Dalam hidup kita perlu kepada keutamaan. Cinta bukan keutamaan mereka kala masih belajar, mereka bercinta, tapi cinta bukan segala-galanya. Setelah itu mereka menyedari bahawa mereka saling cinta tetapi hanya sebagai sahabat. Teman seiring jalan...tapi bukan teman dalam satu kehidupan yang bernama rumah tangga. Sedih, tapi tidak merana. Betapa saya kagum dengan keikhlasan mereka.

Maka saya menasihati anak murid saya tadi agar menyusun semula keutamaannya dalam hidup. 'Dont make someone priority, when you are only an option.' Itulah nasihat saya. Hidup kita adalah keutamaan kita. Cinta kita pula hanyalah pilihan...

Saya berpendapat kita berhak memilih kehidupan yang baik untuk kita. Kita juga berhak memilih cinta kita. Bagaimanapun sebagai seorang pelajar, keutamaan mesti betul...jangan lalai kerana cinta hingga kita menggadai masa depan sendiri. Dengan kehidupan yang baik, kita juga boleh mendapat cinta yang baik. InsyaAllah.

Kadang-kadang tidak semua yang manis itu perlu terus ditelan. Kadang-kadang yang pahit itulah penawar kepada segala persoalan. Mudah-mudahan cerita saya kali ini boleh membantu anak-anak saya dalam membuat pilihan. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah jua, yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri. Waulahu'alam.

Thursday, October 14, 2010

Seindah senyuman

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,
Ada kalanya, kita berasa berat untuk tersenyum. Kenapa? Atas pelbagai sebab dan alasan…kan? Ahli sains mendapati hanya dengan memaksa bibir kita mengorak senyuman sudah cukup membuatkan kita berasa lebih bersemangat. Kesannya, kita juga akan berasa lebih ceria. Orang-orang di sekeliling kita juga akan berasa gembira…
Saya sering juga menanya diri sendiri, “sudahkah saya tersenyum hari ini?”. “Sudahkah saya ketawa bersama anak-anak saya hari ini?”…hal ini turut melibatkan anak-anak murid saya.
Biasanya anak-anak (termasuklah anak-anak murid saya) akan ketawa apabila saya secara tidak sengaja melakukan perkara-perkara yang lucu. Misalnya saya menulis dengan pen marker yang tidak berdakwat di kelas, atau…saya sengaja berkongsi cerita lucu dengan anak-anak.
Mendidik anak adalah satu tugas yang berat, apatah lagi anak-anak orang di sekolah. Semua guru menyedari hal ini dan tidak perlu diperingatkan tentangnya.
Tidak semua perkara akan membuat kita tersenyum, apatah lagi ketawa. Saya tidak ketawa apabila anak murid saya tidak membuat kerjarumah atau tugasan. Saya juga tidak ketawa apabila anak murid saya memberitahu yang dia tidak mampu membeli buku rujukan. Bahkan adalah tidak melucukan apabila anak murid saya gagal dalam peperiksaan.
Tetapi, bersusah hati juga tidak membantu mengatasi perkara tersebut, malahan ianya tidak akan membuat saya gembira. Sebaliknya bersusah hati hanya akan menambah kedut di muka saya…hmmmmp.
SENYUMAN boleh mengurangkan tekanan dan menceriakan diri kita. Senyum dan tawa juga mampu meringankan beban dan melegakan fikiran. Tidak susah untuk tersenyum sebenarnya, kita boleh berjenaka kan? Namun AWAS…tidak semua jenaka melucukan. Ada jenaka yang boleh menyinggung perasaan atau mempersenda malah menjatuhkan maruah orang lain…Maka, kita perlu berhati-hati.
Apa yang penting, kita perlu mengambil ringan sesuatu keadaan apabila PERLU. Ketawa dan senyumlah sekerap mungkin supaya kita sentiasa bersemangat dan bertenaga untuk menghadapi sebarang kesulitan yang mungkin menjelma pada bila-bila masa.
Senyum merupakan sedekah yang tidak melibatkan kos… Mudah-mudahan kita mampu mendepani segala dugaan hidup kita dengan senyuman… “Pssst…Sudahkan anda tersenyum untuk hari ini???” Senyuman yang indah, dari hati…akan sampai ke hati. InsyaAllah

Friday, October 8, 2010

Analogi Gol & Gincu

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Mudah-mudahan hari ini lebih baik dari semalam. Mudah-mudahan juga hari esok akan lebih baik dari hari ini...InsyaAllah.

Pada 07 Oktober yang lalu, dalam Majlis Permuafakatan Pelajar Pra-U, Ibu bapa dan Sekolah , saya telah berpeluang untuk berkongsi cerita...Analogi Gol & Gincu.

Cerita ini sebenarnya berkait tentang matlamat hidup. Sengaja saya namakan Analogi Gol & Gincu kerana dua perkara itu amat dekat dengan para pelajar saya. Ceritanya mudah saja...
Dalam permainan bola sepak, kalah menang ditentukan dengan jaringan gol. Untuk menjaring gol, kita perlukan gawang. Apakah akan berlaku sekiranya kita tidak mempunyai gawang? Patinya kita tidak boleh menjaringkan gol. Betul? Tidak boleh menjaringkan gol akan menyebabkan kita tidak dapat meraih kemenangan...kan?
Gincu? perempuan sering dikaitkan dengan kecantikan. Saya pasti tidak ada seorangpun pelajar khususnya pelajar perempuan yang tidak kenal akan gincu @ lipstick. Bayangkan...kita mempunyai gincu , yang cantik...('branded' lagi)tapi malangnya kita tidak mempunyai bibir. Maka...di manakah akan kita oleskan warna gincu yang cantik tadi? di pipi? di hidung? di mata? di telinga? Memang boleh dioles di tempat-tempat yang saya sebutkan tadi, tetapi...cantikkah? maniskah kita kalau bergincu di dagu? bayangkan...(hmmmm...)

Analogi yang ringkas itu membayangkan bagaimana keadaannya jika kita tidak mempunyai matlamat dalam setiap sesuatu yang kita kerjakan. Apa matlamat kita dalam belajar? Apa pula matlamat kita dalam peperiksaan? Kalau kita inginkan lulus...lulus yang bagaimana? Semuanya mestilah jelas. Dalam STPM, matlamat kita lulus, oleh yang demikian kita mesti menyasarkan mendapat prinsipal dalam satu subjek. Subjek apa? kita mesti tahu. Adakah memadai hanya dengan satu prinsipal saja jika ingin melanjutkan pelajaran ke IPTA? sudah tentu tidak kan? Maka subjek apa yang akan memberikan kita prinsipal dalam peperiksaan STPM itu? kita mesti tahu...dan kita mesti mengusahakannya. Semua matlamat itu merupakan 'gawang' atau 'bibir' kita tadi...Dengan adanya matlamat, kita boleh menyalurkan usaha dan tenaga kita ke arah yang betul dan sepatutnya. Tanpa matlamat, kita akan melakukan banyak pembaziran...masa, tenaga dan mungkin juga masa depan...Be very careful.

Kadang-kadang perkara kecil yang kita lakukan memberi kesan yang amat besar dan bermakna dalam hidup. Saya suka bercerita yang pada saya boleh menyentuh rasa. Kala hati tersentuh, kita akan berfikir. Sebaik kita berfikir, kita akan mula bertindak. Bertindak itu merupakan satu usaha...Usaha itulah yang kita perlukan untuk menjadi lebih baik.InsyaAllah.

Monday, October 4, 2010

Kala Resah...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Pada saat-saat hati berdebar, kala rasa gundah gulana, makan tak lalu tidur tak lena...(TENSION???) di sini kita berkongsi sedikit panduan bagaimana hendak menghadapi peperiksaan. Semoga ada manfaatnya...Langkah mula?...

1. Semak jadual

Menyemak jadual peperiksaan penting bagi menentukan masa cukup untuk belajar, khususnya pada saat-saat akhir ini. Latihan mesti diteruskan mengikut kertas peperiksaan yang akhir diduduki terlebih dulu. Ini kerana apabila tiba hari peperiksaan, calon akan belajar subjek yang akan diuji pada hari pertama peperiksaan.

Jika melakukan demikian, bermakna anda telah membuat persiapan yang menyeluruh dan tidak ada subjek tertinggal atau tidak dipelajari.

2. Kunci peperiksaan

Apakah kunci kepada peperiksaan? Peperiksaan menuntut calon membuat banyak latihan dan ulang kaji bagi mengingati pelajaran lalu, selain mengelak diri daripada lupa fakta ketika menjawab soalan.

Oleh itu, anda jangan jemu untuk terus membuat ulang kaji, terutama menggunakan kertas peperiksaan tahun terdahulu atau soalan seiras. Langkah itu akan membiasakan anda dengan soalan standard, di samping membolehkan ingatan anda kekal dan berpanjangan.

3. Tentukan keutamaan

Belajar pada saat-saat akhir juga perlu mengutamakan mata pelajaran atau kemahiran yang masih belum atau kurang dikuasai. dalam hal ini, jangan sekali-kali belajar subjek yang anda sukai saja, sebaliknya merangkumi semua.

Ini kerana setiap peperiksaan akan membabitkan semua subjek dipelajari di sekolah, bukannya berdasarkan minat seseorang calon.

4. Banyak mengingat dan membuat kaitan

Mengingat adalah satu perkara penting yang mesti dilakukan calon dalam menghadapi peperiksaan. Pelbagai cara boleh anda gunakan untuk mengingat, antaranya belajar berulang kali mengenai sesuatu kemahiran.

Apa-apa pun cara digunakan, terpulang kepada anda, asalkan ia dapat membantu mengingat dan membuat kaitan apabila diperlukan.

5. Merancang persiapan peperiksaan

Ada tiga perkara yang mesti diamalkan calon bagi menentukan kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

a. Pertama, sebelum peperiksaan khususnya dalam tempoh beberapa minggu ini, kuat dan tingkatkan usaha serta semangat dengan belajar secara berterusan.

Selain di sekolah dan rumah, anda seharusnya mengambil peluang memanfaatkan masa yang ada, tidak kira di mana saja berada dengan membaca nota ringkas yang disediakan sebelum ini. Ini akan membantu anda mengingati semula apa yang telah dipelajari.

Dalam pada itu, kesihatan diri jangan diabaikan. Walaupun bersemangat untuk menduduki peperiksaan, janganlah keterlaluan hingga lupa makan dan minum. Ini kerana keadaan itu boleh menyebabkan anda jatuh sakit. Tidur hendaklah mencukupi supaya anda sentiasa selesa dan dapat memberi tumpuan terhadap pelajaran sama ada ketika di sekolah mahupun sewaktu belajar sendiri di rumah. Kesihatan tubuh badan yang baik amat perlu, apatah lagi akan menduduki peperiksaan.

Buat seketika, lupakan dulu perkara-perkara lain yang anda minat, sebaliknya manfaatkan masa yang ada dengan mengulang kaji pelajaran. Hal ini kerana semua perkara itu boleh dilakukan kemudian berbanding peperiksaan yang kata orang sekali seumur hidup. Jangan lepaskan peluang keemasan itu.

Begitu juga dengan pengambilan makanan, seharusnya ia seimbang. Dalam masa beberapa hari ini juga, anda seharusnya makan makanan yang berzat dan boleh membantu mengembang dan mencergaskan minda anda.

Setelah segala persiapan diri sudah dilakukan, anda perlu pastikan keperluan peperiksaan yang lain tidak dilupakan, antaranya peralatan menulis khususnya pensel 2B, pemadam dan penajam pensel, jika tidak sediakan beberapa batang pensel. Pastikan peralatan ini disediakan lebih awal dan tidak lupa dibawa pada hari peperiksaan.

Sebaiknya tidurlah lebih awal pada malam hari peperiksaan. Langkah itu perlu supaya anda berasa segar dan dapat menghadapi kertas peperiksaan dengan tenang tanpa sebarang masalah.

b. Kedua, pada hari peperiksaan. Bangun dan pergi ke sekolah atau dewan peperiksaan lebih awal, bagaimanapun pastikan anda bersarapan terlebih dulu. Jika anda bangun lewat, bukan saja tidak sempat bersarapan, malah akan tergesa-gesa ke sekolah.

Ingat, perbuatan tergesa-gesa menjanjikan pelbagai masalah, antaranya membuatkan anda panik lalu tidak dapat menumpukan terhadap peperiksaan.

Sebelum itu, jangan lupa bersalaman dengan ibu bapa dan minta mereka mendoakan kita dapat menjawab soalan dengan jayanya.

Ketika berada dalam dewan peperiksaan, anda hendaklah dalam keadaan tenang dan anggaplah peperiksaan itu sebagai perkara biasa. Untuk menenangkan diri jika menggelabah, anda tariklah nafas panjang-panjang. Langkah itu membantu jantung anda mendapat bekalan oksigen yang mencukupi, sekali gus menghilangkan rasa gugup dan bimbang.

Apabila menjawab soalan, sekali lagi anda perlu tenang. Setelah diberi kebenaran oleh pengawas peperiksaan, jawablah soalan yang anda fikir mudah dulu. Jangan guna masa terlalu banyak untuk menjawab soalan sukar itu, sebaliknya terus selesaikan soalan lebih mudah. Soalan susah yang ditinggalkan sementara itu jangan diabaikan, tetapi dibuat kemudian.

Jika menjawab soalan objektif, ketelitian amat perlu. Menentukan pilihan jawapan yang tepat amat penting. Pastikan jawapan yang kita pilih dalam kertas soalan sama dengan huruf pada kertas jawapan. Seandainya tersalah tanda, padamkan betul-betul sehingga hilang tanda hitam pensel.

Walaupun sudah yakin jawapan yang diberi, baik bagi soalan objektif mahupun subjektif, semakan sebelum kertas jawapan diserah kepada pengawas peperiksaan adalah perlu dalam memastikan semuanya betul dan sudah dijawab. Oleh itu, peruntukkan sedikit masa untuk tujuan semakan terakhir.

Pembahagian masa yang betul amat perlu ketika menjawab soalan. Gunakan masa yang diperuntukkan dengan berkesan. Jangan sekali-kali alpa atau khayal sewaktu menjawab kerana langkah itu akan merugikan anda.

c. Ketiga, selepas peperiksaan. Setelah menduduki sesuatu kertas peperiksaan, anda tidak digalakkan berbincang dulu dengan rakan atau sesiapa mengenainya. Ini perlu bagi mengelakkan perasaan kecewa jika didapati jawapan anda terpesong atau salah.

Jika ini berlaku, anda mungkin hilang semangat atau fikiran terganggu ketika menjawab kertas soalan berikutnya. Sebaiknya, bincang kertas soalan itu setelah peperiksaan berakhir.

Langkah terbaik, beri tumpuan penuh untuk menjawab soalan, bukannya menyemak jawapan.

6. Elakkan terbabit dengan situasi yang boleh mengganggu perasaan

Menjelang peperiksaan, pelbagai dugaan mungkin dihadapi. Oleh itu, anda seharusnya sentiasa bersedia menghadapi apa saja dugaan yang boleh mengganggu perasaan. Selepas menunaikan solat lima waktu, berdoalah supaya Allah SWT tenangkan perasaan dan dapat fokuskan tumpuan terhadap peperiksaan.

7. Berdoa dan bertawakal

Sering kali kita was-was ataupun tidak yakin dengan apa yang dilakukan. Dalam hal peperiksaan, anda tidak seharusnya kurang yakin dengan kemampuan diri jika sudah membuat persiapan rapi sejak awal lagi. Sepatutnya kita berdoa dan tawakal kepada Allah SWT kerana usaha itu adalah senjata terakhir bukan saja untuk membina keyakinan diri, malah mencapai kejayaan.

Sumber : http //cg. narzuki.com/

Usahakanlah yang terbaik untuk masa depan...better be sure than sorry right? Good luck and All the best. InsyaAllah.

Thursday, September 30, 2010

Lena Diulit Intan...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Agak lama tidak menulis sesuatu di ruangan ini, alasan biasa? halangan masa, banyak kerja dan...mmmmm 1001 alasan boleh dicipta. Namanya juga alasan kan? Dulu saya pernah meminta pelajar saya yang tidak menyiapkan kerja rumah menyenaraikan 100 alasan sahaja untuk kerja yang tidak disiapkan. Pelajar itu hanya mampu menyenaraikan sekitar 20 alasan sahaja. Dia hanya menggeleng-gelengkan kepala, mengangkat bahu dan berkata 'entah, tak tahu...' (semua ini penyakit berjangkit yang mesti dihindar...BAHAYA!!!) Pengajaran daripada peristiwa tersebut, adakalanya kita tidak boleh mencari alasan yang cukup dan betul-betul kukuh atas setiap perbuatan kita. Betul kan? Maka, kita janganlah terlalu beralasan...jangan mengambil ruang yang terlalu banyak untuk bermalas-malas, kerana kesannya kita juga yang menanggung.

Sedar atau tidak tinggal beberapa minggu sahaja peperiksaan awam sekolah menengah bermula. PMR pada 5 Oktober, manakala SPM dan STPM pada 23 November. Sudahkah anda betul-betul bersedia? Atau anda masih mencari dan tercari-cari alasan untuk memaafkan sikap buruk tidak mahu belajar yang ada pada diri?

Di Malaysia,peperiksaan seperti PMR apatah lagi SPM dan STPM tidak boleh dipandang remeh. Apatah lagi dilihat sebelah mata.Perjalanan hidup seseorang pelajar itu ada tangganya, ada laluannya. SPM atau STPM merupakan tangga teratas sebelum anda boleh menjejak kaki ke tangga universiti, dan seterusnya melangkah ke alam pekerjaan seperti yang anda impi-impikan. Kalau anda ingin menjadi seorang yang berjaya, maka anda perlu bersedia berdepan dengan peperiksaan dan seterusnya berusaha untuk mendapatkan kecemerlangan.

Segala rasa resah, gundah atau 'tension' adalah lumrah dalam kehidupan manusia. Andai anda tidak merasa kerisauan itu...anda wajar berasa RISAU. Namun janganlah sampai anda terjerat dengan rasa resah itu sehingga semuanya kelam kabut. Anda perlu yakin diri. Tanpa keyakinan itu, anda boleh menderita di dewan peperiksaan. Oleh yang demikian, kita perlu bersedia bukan hanya dari segi fizikalnya sahaja, tetapi juga mental dan spiritual. Selepas kita berusaha, kita berdoalah mudah-mudahan segalanya berjalan lancar. Mohon restu ibu bapa dan guru-guru. Semua itu perlu dalam memberi kita keyakinan dan ketenangan.

Pada kesempatan ini, suka saya menyeru kepada anak-anak murid dan adik-adik pelajar agar bersiaplah sebaiknya. Jangan sampai kita ketinggalan. jangan nanti pada saat orang lain sampai ke bulan, kita masih lena diulit intan. Janganlan takut akan kegagalan sedangkan kita belum pun mencuba.Berusahalah...Jika kita fikirkan boleh, kita pasti boleh melakukan. Manfaatkan peluang yang ada kerana kita tidak tahu sama ada akan ada peluang kedua buat kita.

Ingat lagi Gemuruh-Faizal Tahir? 'gemuruh jiwa, semangat membara...dari puncak ingin ke angkasa...' Jadikan kenyataan.
Ingat lagu The Climb-Miley Cyrus? 'there's always going to be another mountain, I'm always going to want to make it move...'

Mudah-mudahan semua urusan kita dipermudahkan, di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

Monday, September 6, 2010

Salam Aidilfitri

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Sempena ketibaan Syawal, marilah kita bersama-sama berdoa mudah-mudahan kita diberikan kejayaan di dunia dan akhirat. Ramadan yang pernuh berkat hampir berlalu, mudah-mudahan kita mendapat kegembiraan kita nanti dan berharap agar kita diketemukan semula dalam Ramadan yang seterusnya.InsyaAllah.

Pada hari yang baik dan bulan yang baik ini, sudah menjadi resam sesama kita untuk saling bermaafan. Maka dengan penuh ikhlas dan rasa rendah diri, saya memohon ampun dan maaf, zahir dan batin...kalau-kalau selama ini ada yang terasa di hati, berbuku di rasa dan bermain di minda. Dalam usaha mendidik anak bangsa, kadang-kadang saya memang agak berterus terang. Begitu juga dalam tutur kata. Oleh yang demikian, pada kesempatan ini sekali lagi saya memohon kemaafan dari semua. Sesungguhnya yang baik itu datangnya dari Allah s.w.t dan yang buruk itu datangnya dari kelemahan saya sendiri.

Selamat Hari Raya, Maaf zahir dan batin.


More Selamat Hari Raya Aidilfitri Comments

Saturday, August 14, 2010

Tiada yang Percuma

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Terkadang kita merasakan bahawa masa itu terlalu cepat berlalu. Bagai baru semalam kita mula bersekolah, kini kita sudah mula dilanda demam peperiksaan. Hari ini pun kita sudah beberapa hari berpuasa...padahal bagai baru semalam kita menunggu anak bulan. Begitulah...

Sempena bulan Ramadan ini, cikgu hendak memetik sedikit kata-kata Ustaz Suharto Bin Sukarni (USIA) semasa memberi ceramah Di Ambang Ramadan pada 09 Ogos 2010 yang lalu, bahawa dalam hidup kita tidak ada apapun yang boleh diperoleh secara percuma. Semuanya perlu kita bayar, tidak dengan wang ringgit tetapi dengan usaha. Hendak membuka pintu syurga sekalipun perlu pada usaha. Usahakan menambah amalan baik. Pintu neraka juga ditutup dengan usaha, meninggalkan segala amalan yang dilarang. Benar belaka kenyataan bahawa dalam menempuh kehidupan, kita perlu kepada usaha. Dalam Islam juga kita disarankan agar terlebih dahulu berusaha sebelum berdoa dan bertawakal.

Kesedaran tentang usaha pasti ada dalam diri setiap kita. Para pelajar sudah tentu sedang berusaha untuk menempuh 'peperangan' ataupun peperiksaan. Janganlah terlalu gusar. Yakinlah setelah kita berusaha, pasti Allah akan memudahkan segala kerja kita...InsyaAllah. Kegagalan selalunya akan datang kepada orang yang tidak berusaha.Itupun setelah diingatkan, bukan sekali tetapi berkali-kali. Maksudnya, orang yang tidak berusaha tidak berhak menerima kemenangan.

Bulan Ramadan merupakan bulan yang mulia. Permulaannya rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya selamat dari api neraka. Bulan Ramadan juga diberkati kerana kita berusaha menahan diri, kita mengekang hawa nafsu. Amat rugilah kita yang tidak mahu mengambil manfaat dari bulan yang mulia ini. Jangan takut dengan cabaran puasa. Sejarah Islam membuktikan bagaimana tentera Islam berperang dalam bulan Ramadan (semasa Perang Badar) dan mereka beroleh kemenangan. Kemenangan adalah hak orang-orang yang benar.

Apa yang boleh saya simpulkan di sini ialah kita perlu berusaha. Untuk berjaya, kita perlu berusaha. Untuk mendapat kemenangan, kita perlu berusaha. Andainya kita tidak mahu berusaha, maka kejayaan itu tidak akan menjadi milik kita.

Anak-anak pelajar yang dikasihi, sementara ada kelapangan, berusahalah. Jangan sesekali kita berputus asa, jangan sesekali kita mengalah sebelum kita mencuba. Masih ada peluang untuk berjaya, maka belajarlah. Mudah-mudahan dengan usaha, anda beroleh kejayaan. Seperti juga kita berhari raya setelah kita berjaya berpuasa di bulan Ramadan.

Selamat berpuasa, Selamat berusaha...semoga kita beroleh kemenangan dan kegembiraan.InsyaAllah.

Friday, July 30, 2010

Impian yang dimimpikan...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

'The future is always beginning now'... saya suka dengan ungkapan ini. Sukar dinafi kebenarannya. Masa depan sememangnya belum berlaku, tetapi...ianya pasti berlaku.InsyaAllah.

Maka, tidak salah kalau kita mula melakar masa depan kita hari ini. Meski masa depan itu berada di depan...kita juga yang akan merealisasikannya. Kita juga yang akan menjalaninya. Seandainya kita tidak merencananya hari ini, takut kalau-kalau nanti hidup kita penuh dengan kekesalan dan kekecewaan. Tiada siapa yang mahu merancang kegagalan, namun ramai yang menderita kesan dari kegagalan merancang dengan baik.

Memang benar, kadang-kadang kita merancang tetapi tuhan yang menentukan. Pada saya, setelah kita berusaha...sehabis daya, maka tidak akan ada kekesalan. Usaha dulu, doa dan kemudiannya tawakal. Setelah berusaha dan berdoa, kita yakinlah bahawa apa sahaja yang tersurat buat kita pasti ada hikmahnya.

Anak-anak murid hari ini kadang-kadang sukar melihat apa-apa yang tidak ada di depan mata. Masa depan adalah sesuatu yang tidak dapat dijangka hanya dengan mata. Lihatlah dengan mata hati dan akal budi. Masa depan adalah apa yang kita impikan. Maka bermimpilah...mimpilah yang indah-indah. Tetapi...Bangunlah!Berusahalah...buka mata seluas-luasnya...lihatlah,dengarlah...sejujur-jujurnya. Orang yang tidur tidak akan dapat menggenggam kejayaan. Orang yang tidur tidak akan menikmati masa depan yang diimpikan...

Oleh yang demikian, marilah kita kembali membuat renungan kendiri. Di mana kita? ke mana kita? Perjalanan yang jauh bermula dengan satu langkah. Pada setiap langkahmu anak-anakku, doa ibu, bapa, para guru akan sentiasa mengiring mu...InsyaAllah.

'When it comes to the future, there are three kinds of people: those who let it happen, those who make it happen, and those who wonder what happened...'

Semoga kita berjaya merealisasi mimpi-mimpi wangi. Di sini, di sana...pasti.InsyaAllah.

Sunday, July 18, 2010

Jangan Pernah Didengarkan...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera..

Kita selalu mendengar orang berkata "anda tidak mungkin boleh melakukannya", "cita-cita itu terlalu tinggi untuk kamu", "kamu tidak akan lulus", "kata-katamu itu terlalu yakin bunyinya...pasti tidak tercapai olehmu..." ..dan macam-macam lagi suara-suara yang bernada negatif.

Hakikatnya? semua itu belum terjadi. Kita mungkin boleh melakukannya, kita mungkin juga tidak mampu melaksanakannya...tetapi yang penting kita mestilah berusaha mencapai apa yang kita cita-citakan. Berusaha bersungguh-sungguh, itu yang penting. Janganlah kita memperkecilkan kebolehan diri. Jangan kita dengar suara-suara kecil dari rasa takut dalam diri kita. Jangan pernah mahu menundukkan kepala kepada tanggapan kononnya orang lain itu lebih pandai, lebih hebat, lebih beruntung berbanding diri kita. Jangan pernah mahu meletakkan standard kita jauh di bawah. JANGAN...

Tuhan sudah berjanji bahawa nasib kita akan berubah jika kita terlebih dahulu berusaha mengubahnya. Yang penting usaha yang berterusan. Andai kita menempuh jalanan hidup kita dengan keyakinan, dengan keinginan, dengan rasa cinta yang kuat untuk berjaya...dengan izin Allah s.w.t, kita pasti berjaya.

Kita memsti membina kekuatan dan keyakinan kita bahawa dengan segala kudrat dan usaha kita, dengan segala keyakinan kita pada Tuhan, maka kriteria gagal dan berjaya tidak akan ditentukan oleh orang lain. Kitalah sendiri yang menentukan jatuh bangunnya kita dalam satu perjalanan hidup di pentas dunia ini.

saya kongsi ungkapan kata yang menarik ini untuk direnung bersama...
'Kita hidup di dunia untuk bekerja;
dan dari bekerja, kita belajar;
dan dari belajar, kita tahu;
dan dari tahu, kita berasa takjub;
dan dari rasa takjub, kita mendapat kearifan;
dan dari kearifan, kita menemukan kesederhanaan;
dan dari kesederhanaan, kita memberi perhatian;
dan dari perhatian, kita melihat apa yang harus kita kerjakan.'

Semoga kita dapat mendengar suara hati yang berbisik bahawa kita juga sebaik-baik ciptaan Allah s.w.t, dan kita juga boleh berjaya...pasti berjaya. InsyaAllah.

Tuesday, July 6, 2010

Rasa CINTA

Assallamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, pada hari ini kita masih diberikan kesempatan untuk terus menikmati hidup. Kita sepatutnya bersyukur kerana dalam pada kita berjuang untuk kesejahteraan hidup, ada orang yang sedang berjuang untuk hidup…Maka, janganlah kita sia-siakan segala apa yang kita ada pada masa ini kerana kita tidak pasti sama ada semua ini akan kekal lama.
Hari ini saya nak bercerita tentang CINTA. Ya…cinta.
Setiap kali menyebut kata cinta, hati kita pasti berbunga rasa. Masakan tidak, cinta itu berkaitan soal perasaan. Menurut Kamus Dewan edisi IV, cinta itu merujuk kepada perasaan atau berperasaan sangat sayang, berperasaan sangat berahi,ingin akan sesuatu…(ms280-281). Kesimpulannya? Cinta memang berkait dengan perasaan terhadap sesuatu ataupun seseorang.
Kenapa saya memilih isu ‘CINTA’? Jawapannya mudah sahaja, kerana cinta itu suatu yang bersifat universal, sarwajagat. Cinta ada di mana-mana dan kerana cinta ramai yang kecewa. Cinta juga sering disalahguna, cinta juga sering diberikan tafsiran yang pelbagai rupa.
“Bekorban apa saja, harta ataupun nyawa, itulah kasih mesra, sejati dan mulia”. Lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P.Ramlee sering dilagukan. Demi cinta kononnya wajar bekorban apa saja. Malangnya, saya rasa ungkapan itu amat bahaya kalau dijadikan pegangan hidup para remaja.
Remaja sememangnya sangat sinonim dengan cinta. Remaja merupakan zaman yang sangat mengasyikkan apabila terperangkap dalam cinta. Remaja yang terperangkap dalam cinta sanggup mendepani apa dan siapa sahaja. Tiada siapa yang boleh menyanggah dua remaja yang sedang bercinta. Di barat kita temui Romeo dan Juliet, kita juga mendengar kisah Laila dan Majnun dan banyak lagi ikon remaja yang bercinta. You name it, they’ll have it…
Tapi…AWAS, cinta tidak pernah sempurna. Cinta tidak selalu bahagia. Kita bukannya hidup di alam khayalan selamanya. Cinta sahaja tidak cukup untuk hidup. Sebab itulah kita kena hidup dalam erti kata yang sebenar untuk mengenal cinta yang sebenar.
Saya tidak menentang cinta, bahkan saya juga pernah bercinta, mencintai, dicintai…lumrah. TETAPI, saya tidak bersetuju dengan ungkapan jatuh cinta, tidak sama sekali. Cinta perlu dipupuk. Cinta tidak jatuh sebaliknya perlu memilih tempat untuk tumbuh…cinta perlu berharga. Cinta perlu ada maruah. Cinta perlu ada IMAN. Manusia diberi anugerah perasaan, nafsu, keinginan, juga akal dan iman.
Cinta yang didorong oleh keinginan dan nafsu biasanya tidak kekal lama. Cinta sebegini tidak mempunyai maruah dan harga diri. That’s why they call it puppy love, dan orang melayu kata cinta monyet. Pesan saya pada remaja yang bercinta, bersabarlah. Jangan terlalu terpengaruh dengan keinginan untuk bercinta. Perjalanan hidup masih terlalu jauh untuk diberi noktah cinta. Berfikirlah dengan akal dan mata hati. Dengarlah suara ibu bapa, guru-guru dan bijak pandai. Letakkan cintamu itu di tempat yang wajar.
Junjung cinta itu tinggi-tinggi agar dirimu dihormati dan dihargai. “Cinta menciptakan rindu, juga membuat kita sendu”. Yakinlah janji Allah s.w.t bahawa orang yang baik akan mendapat jodoh yang baik. Maka saya percaya jika kita menjalani hidup sebaik-baiknya maka kita akan mendapat sebaik-baik jodoh juga.
Kita wajar mempunyai rasa cinta tetapi berilah batas kewajaran pada rasa cinta itu. Jangan sampai kita mati kerana cinta. Jangan sampai kita hilang harga diri kerana cinta. Cintai dulu dirimu, ibu bapamu, ilmu dan masa depanmu. Cintai dulu Tuhanmu sebelum kau menyerahkan cinta itu kepada seorang yang kita yakini menjaga amanah dengan sepenuh hati dan seikhlasnya.
Cinta BUKAN segalanya…maka JANGAN jadi HAMBA cinta . Hidup tidak boleh ditampung hanya dengan cinta. Hiduplah dengan sebaik-baiknya, maka cinta ada bukan hanya di mata, di hati, di jiwa tetapi di seluruh kehidupan kita.InsyaAllah.

Saturday, June 12, 2010

Usaha me'manusia'kan manusia...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Pada pertemuan kali ini, saya ingin berkongsi tentang cerita `berusaha’. Kenapa? Kerana pada saya itulah kunci menuju kejayaan. Kita boleh saja berkata kita mahu berjaya, kita mahu cemerlang dan macam-macam lagi. Tanpa usaha maka semua itu tinggal sebagai kata-kata di bibir sahaja.

Dulu, saya ada seorang pelajar yang mengajar saya tentang usaha. Pada waktu itu saya baru saja bergelar guru. Minda saya dipenuhi dengan pelbagai teori … waktu itu pemikiran saya sangat ideal. Saya berdepan dengan masalah pelajar saya yang selalu tidak hadir ke sekolah. Dalam seminggu saya hanya bertemu pelajar ini sekali sekala sahaja. Kemudian, saya mendapat tahu adik-adiknya juga mempunyai masalah kehadiran yang lebih kurang sama. Saya dapati pelajar ini tergolong dalam kelompok pelajar yang kurang bernasib baik hidupnya. Anak petani, rumahnya jauh dari sekolah, adik beradiknya ramai dan dia anak sulung.

Suatu ketika, pelajar ini tidak datang ke sekolah seminggu. Saya mula tidak sedap hati. “Apa dah jadi?”.Saya mula menghantar ‘utusan’. Malangnya, tiada respons. Saya mula berfikir dan berkira-kira, apakah tindakan saya yang seterusnya. Tiba-tiba, pada minggu berikutnya murid bertuah saya muncul. Tidak berani bertentang mata dengan saya. Saya tanpa rasa apa-apa menghujaninya dengan pelbagai soalan. Tiada jawapan. Cuma, saya lihat kesedihan di wajahnya. Dia hanya tunduk dan tidak berkata apa-apa. Kemudian, seorang kawannya berbisik kepada saya… Saya terasa diri saya begitu kecil waktu itu.

Rupa-rupanya pelajar ini memikul tanggungjawab menyara ibu dan adik-adiknya. Dia mengambil upah mengerjakan sawah. Waktu itu usianya 19 tahun, tetapi dialah harapan keluarga. Dia terpaksa membahagikan segala-galanya, masa, duit, makan, pakai, tambang dengan adik-adiknya apabila ingin ke sekolah. Begitupun, dia tetap mahu ke sekolah. Dia akur apabila saya berikan surat amaran, janjinya mahu memperbaiki kehadirannya ke sekolah. Waktu itu STPM lebih kurang tiga bulan sahaja lagi.
Pelajar ini datang berjumpa saya untuk menghantar kerja-kerjanya, meskipun tertangguh. Hasratnya berbungga untuk lulus peperiksaan dan ingin melanjutkan pelajaran demi masa depannya (waktu itu saya selalu bercerita tentang teori ‘the dark circle of life’). Saya yakinkan dia yang dia boleh melakukannya meskipun jauh di sudut hati saya…ada rasa ragu. Begitulah…, saya juga manusia biasa.

Masa terus berjalan, setiap detik yang berlalu pastinya tidak akan kembali. Kita sebagai manusia jika tidak bijak mengatur masa, maka kita termasuk ke dalam golongan orang-orang yang rugi. Pelajar saya tadi telah berdepan dengan cabaran getir dalam likuan hidupnya. Cuma dia tidak pernah berputus asa dan dia terus berusaha. Dia tidak pernah sekalipun saya dengar merungut akan untung nasib diri dan keluarganya. Tidak pernah sekalipun dia mengadu akan kepayahan yang perlu ditempuhnya. Tidak pernah juga dia meminta-minta agar dia dia diberi bantuan. Pelajar ini Cuma meminta agar dia diberikan pengertian, peluang dan kesempatan untuk terus belajar, untuk dia terus berjuang, untuk dia terus berusaha…

Alhamdulillah, pelajar ini telahpun memperoleh apa yang dihajatinya. Keluar dari lingkungan kepayahan hidup. Apa yang menariknya, pelajar in kemudiannya menjadi seorang guru. Saya yakin dia pastinya akan membantu ramai anak-anak bangsa untuk turut keluar dari lingkaran ‘hitam’ kehidupan.

Pada saya, pelajar ini membuka mata saya untuk turut tidak berputus asa dan terus berusaha. Selagi kita sanggup berusaha dan bekerja kuat, selagi itulah peluang kejayaan terbuka. Seseorang itu mungkin pernah jatuh dan kalah, tetapi dia belum gagal selagi dia bangun semula dan meneruskan perjuangannya. Kita mungkin kalah, tetapi kita tidak perlu mengalah. Berusahalah sehingga Berjaya.

Satu perkara lagi, di sebalik segala teori dan pendekatan dalam usaha ‘memanusiakan’ modal insan, pada saya pendekatan hati budi dan kemanusiaan tidak boleh diperkecilkan. Kepada pelajar-pelajar bertuah saya…kita sama-sama belajar di sebuah pentas kehidupan. Mudah-mudahan saja kita mendapat kebaikan di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

Thursday, June 3, 2010

Coba...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Waktu ni semua sedang bercuti selepas berhempas pulas mengharungi cabaran peperiksaan. Selepas peperiksaan saya berdepan dengan rutin seorang guru...menyemak kertas jawapan. Satu kerja yang kadang-kadang menuntut banyak kesabaran dan ketabahan. Mesti ada yang bertanya kenapa? Jawapan saya mudah saja...kerana saya perlu berfikir di mana silapnya? Apa lagi yang perlu? bagaimana lagi nak diajar? dan, dari mana lagi nak saya cari markah untuk pelajar? Kalau berfikir dah penat, apatah lagi bertindak...

Seorang guru sentiasa mengharapkan yang terbaik daripada para pelajarnya. Tetapi hakikatnya, tidak ada seorangpun pelajar yang sempurna. Bah kan sempurna itu tidak pernah menjadi sifat manusia. Betulkan? Dalam pada saya berfikir, saya juga bersyukur sebenarnya. Peningkatan pada saya tidak boleh terlalu diukur dengan angka atau markah. Mungkin ada pelajar saya yang masih tidak cemerlang, masih berada pada tahap biasa, masih gagal...tapi jika itulah pencapaian terbaik mereka, saya masih boleh bergembira.

Kadang-kadang kesempurnaan boleh menyebabkan kita kecewa. Betul kita ingin mencapai bintang di langit, tapi kita jangan lupa kaki yang masih berpijak di bumi. Kita boleh bermimpi, tetapi untuk menjadikan mimpi itu realiti...kita perlu bangun. Saya berusaha agar pelajar-pelajar saya menyedari hakikat itu. 100 markah itu banyak, payah hendak diperoleh...kan? Bingung nak mendapatkannya...maka, lihatlah dengan cara yang lebih mudah. Dalam Sejarah 1 STPM contohnya, 25 markah setiap soalan. Daripada 25 markah, apa lagi pecahannya? 5 markah pendahuluan dan kesimpulan dan 20 markah isi. Macam mana nak dapatkan 20 markah isi? setiap isi memperuntukkan 3 markah, maka kita perlu lebih kurang 6-7 isi. Lebih mudah kan? Begitulah

Kalau 30 markah untuk kefahaman BM SPM itu payah, maka pecahkan kepada soalan-soalan kecil. Prosa moden misalnya. 3 soalan akan membawa 9 markah. Satu jawapan yang betul akan memberi 3 markah. Tidakkan 3 markah itu susah kalau kita betul-betul berusaha.
Tetapi, ada pelajar yang tidak hiraukan itu semua. Perkara inilah yang amat merisaukan dan memberi rasa kecewa kepada saya sebagai seorang guru. Bukan kerana pelajar yang tidak pandai, tetapi kerana sikap yang tidak mahu mencuba. Tidak mahu bersusah payah. Malang sungguh...

Saya selalu berpesan kepada pelajar saya, akal merupakan anugerah Allah s.w.t yang tidak ternilai. Bagaimanapun, nikmat yang tidak disyukuri boleh luput...itu hakikat. Kalaulah berfikirpun kita tidak mahu...akhirnya kita jadi jahil @...(tak sampai hati nak sebut). Apabila kita jahil maka kita terpaksa menggunakan kudrat tulang empat kerat. Sampai bila? Akhirnya kita akan melihat bekas anak murid yang bekerja membanting tulang kerana dulu semasa di bangku sekolah tidak mahu berfikir...

Bagaimanapun saya tidak menolak takdir, kalau itulah ketentuan nasib. Tapi...Tuhan juga sudah berjanji bahawa nasib kita tidak akan berubah sehinggalah kita berusaha mengubahnya. Tuhan juga sudah berpesan, 'mintalah, dan akan ditunaikan'... Jadi? apa lagi? Mungkin kita ini terlalu manusia untuk merendah diri dan mengakui bahawa kita perlu berusaha lebih keras, berdoa dan meminta agar laluan kita dipermudahkan Allah...entahlah, kadang-kadang saya tidak habis berfikir untuk mencari jawapannya.

Apa-apapun, setelah berusaha sehabis daya, maka kita perlu reda dengan apa yang kita terima. Pasti ada hikmah di sebalik setiap sesuatu yang berlaku pada diri kita. Saya sebagai seorang guru pastinya berusaha sehabis daya dan cara saya untuk membantu membimbing pelajar saya. Saya yakin kalau pelajar itu mahu berjaya, maka dia perlu terlebih dahulu mencuba dan berusaha. Selagi keinginan itu tidak ada, kesedaran itu tidak juga tidak ada maka...apa yang disemai, maka itulah yang dituai.

Kepada para pelajar, berusahalah. Cubalah... pasti ada kegembiraan buat orang-orang yang tekun dan sabar, InsyaAllah.

Thursday, May 13, 2010

Selamat Hari Guru

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Sementara ada kelapangan, izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua yang bergelar guru



Berburu di padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.

Wednesday, May 12, 2010

Guru oh guru...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Kali ini saya ingin berkongsi sedikt cerita tentang 'guru'. Semasa saya mula-mula menceburi bidang pendidikan pada awal 90-an, saya berasa begitu seronok. Mengajar sehingga 12.30 tengahari, kelas tambahan sekali-sekala sehingga jam 1.30 petang. Aktiviti kokurikulum lebih kurang sekali seminggu. Kegiatan sukan hanya pada awal tahun. Kursus???macam sangat jarang. Maklumat pelajar satakat awal tahun, aktiviti penyelidikan? hampir tak ada selain apa yang dibuat bersama pelajar tingkatan enam. Begitulah...Saya ada masa untuk pergi berjalan-jalan pada waktu petang, makan di luar, sekali sekala tengok wayang. Boleh pergi 'facial' lagi. Cuti? sudah tentu saya akan bercuti sepenuhnya...memang seronok.

Tetapi itu kisah lama. Sekarang, saya mula dihambat masa. Tidak ada lagi istilah setengah hari dalam diari hidup saya sebagai seorang guru. Hari ini kelas akan berakhir pada jam 1.30, bersambung kelas tutorial sehingga jam 3.00 petang. Kepada yang ada kelas luar jadual masa P&P akan berakhir jam 3.40. Kokurikulum setiap minggu (dua kali) sehingga jam 3.30 petang. Maklumat pelajar???non stop, macam-macam fail, macam-macam laporan. Program? sepanjang tahun. Penyelidikan? sekurang-kurangnya satu kajian tindakan. Kursus? mesti sekurang-kurangnya 7 hari dalam setahun. Hari Sabtu? dapat dua kali free sebulan pun macam sudah kadang-kadang. Cuti? separuh daripadanya diperuntukkan untuk kerja....hemmmm!!! begitulah...

Dalam pada semua itu, kerja-kerja utama tidak pernah berkurang. Itu merupakan satu perkara yang pasti. Saya secara peribadi berpendapat kerjaya sebagai seorang guru memang memenatkan. Itu kalau saya bandingkan dulu dan sekarang. Tetapi keseronokan menjadi guru tetap tidak boleh dibanding pada bila-bila masa sekalipun. Saya masih boleh membayangkan pelajar-pelajar saya yang mempunyai pelbagai ragam. Tahun 1992 saya teringat seorang pelajar saya yang berlari mengejar saya dengan penuh cemas. Saya hampir pengsan dengan kerisauan. Rupa-rupanya pelajar itu sekadar mahu mengucapkan "I love you" pada saya. Hari ini saya juga mendengar ungkapan yang sama tetapi sebagai seorang ibu. Apa yang saya rasa? kasih sayang pelajar tetap ada, sama ada kita dapat merasanya atau tidak...itulah persoalannya. Tetapi cabaran guru memang banyak. Kenapa? kerana kita berdepan dengan manusia. Produk yang hendak dibentuk bukan barangan sebaliknya satu makhluk yang punya akal, hati, perasaan dan boleh bertindak balas...malah boleh bercakap. Jadi???bukan calang-calang orang boleh berdepan dengan cabaran itu. Ditambah faktor jurang generasi, modenesasi, globalisasi...kesimpulannya? guru-guru pun sudah jadi macam bumi, diancam pemanasan global.

Apa-apapun, sekali menjadi guru...selamanya menjadi guru. Rasanya kita tidak boleh terlalu berfokus pada beban kerja, nanti kita jadi lebih cepat tua, mendahului masa. Berfokuslah pada keriangan memberi ilmu pengetahuan. Betapa gembiranya kita apabila pelajar kita boleh membaca, mengira, mengurus diri, merancang masa depan, berjaya dalam peperiksaan. Saya tidak boleh memadam rasa di hati saya setiap kali melihat senyum pelajar, setiap kali melihat kegembiraan di mata pelajar saya. Pasti juga ada saat-saat duka, payah,marah, kesal...dan sebagainya. Saya juga manusia biasa, itu juga hakikat.

Tidak cukup ruangan kalau mahu bercerita tentang guru, tetapi pada saya guru merupakan insan yang sangat berjasa pada hidup kita. Jangan sesekali kita merendahkan guru kita, sebaliknya kita disaran merendahkan diri kepada orang yang kita ambil ilmunya. Kepada para guru, teruslah berjuang, jangan putus asa, yakinlah ada kebaikan yang menanti di sebalik setiap kebaikan yang diberi. Mudah-mudahan kita diberikan kekuatan dan kelapangan dalam mendidik anak-anak bangsa. InsyaAllah.

Selamat Hari Guru.

Tuesday, May 11, 2010

Jangan Berputus harap...

THE CLIMB (Miley cyrus)

I can almost see it
That dream I'm dreaming but
There's a voice inside my head sayin,
You'll never reach it,
Every step I'm taking,
Every move I make feels
Lost with no direction
My faith is shaking but I
Got to keep trying
Got to keep my head held high

There's always going to be another mountain
I'm always going to want to make it move
Always going to be an uphill battle,
Sometimes you going to have to lose,
Ain't about how fast I get there,
Ain't about what's waiting on the other side
It's the climb

The struggles I'm facing,
The chances I'm taking
Sometimes they knock me down but
No I'm not breaking
The pain I'm knowing
But these are the moments that
I'm going to remember most yeah
Just got to keep going
And I,
I got to be strong
Just keep pushing on,

There's always going to be another mountain
I'm always going to want to make it move
Always going to be an uphill battle,
Sometimes you going to have to lose,
Ain't about how fast I get there,
Ain't about what's waiting on the other side
It's the climb

There's always going to be another mountain
I'm always going to want to make it move
Always going to be an uphill battle,
Sometimes you going to have to lose,
Ain't about how fast I get there,
Ain't about what's waiting on the other side
It's the climb

Keep on moving
Keep climbing
Keep the faith baby
It's all about
It's all about
The climb
Keep the faith
Keep your faith

**
Familiar dengan lagu ini bukan? nyanyikannya dan hayati liriknya...mudah-mudahan kita mendapat iktibar demi kebaikan bersama.

p/s : I like this song...

Friday, April 9, 2010

Berusahalah...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Begitu cepat masa berlalu, sedar tak sedar kita sudah berada dalam bulan April.Pejam celik...sudah agak jauh melangkah. Kepada yang masih tidur...bangunlah. Jangan nanti kita berada dalam gugusan mereka yang rugi...kan?

Kali ini saya ingin berkongsi cerita dengan anda. Saya selalu berhadapan dengan pelajar yang sangat rendah keyakinan dirinya. Nak kenal mereka? senang saja, kalau berada di luar kelas...suara mereka "very loud and clear...".Kita tak perlu meminta mereka mengulang apa yang dikata. Sebaliknya apabila mereka berada dalam kelas...aduhai, kadang-kadang saya menyangka kalau-kalau saya ada masalah pendengaran. Begitulah. Sering saya bertanya 'kenapa?'...jawapannya? pelbagai...

Pelajar selalunya mengatakan mereka malu, takut salah, nanti kena gelak...takut kena marah...dan macam-macam lagi. Betul juga, mereka berhadapan dengan guru yang juga manusia biasa, bukan malaikat. Mereka juga terpaksa berdepan dengan ramai pelajar yang juga ada pelbagai karenah...mana berani, kan?

Selalu saya berpesan kepada anak murid saya, rasa takut itu lumrah...ragu-ragu juga biasa. Tapi jangan sesekali putus asa. Jangan berburuk sangka dengan guru...jangan malu dengan kawan-kawan, kerana kita semua manusia biasa. Tak pandai?tak tahu? sebab itulah kita pergi ke sekolah kan? kalau dah pandai, pasti anda sudah berada di tempat yang lain, universiti barangkali, bekerja mungkin...tapi, hakikatnya kita semua berada di sekolah.

Tidak ada seorang gurupun yang tidak mahu melihat anak muridnya berjaya. Saya pasti tidak ada guru yang merencanakan kegagalan muridnya...(kalaupun ada...dia pasti ada alasannya sendiri dan dia bertanggungjawab sepenuhnya...di sini dan di sana...)Semua guru seboleh mungkin mahu memastikan murid-muridnya berjaya. Cuma taktik dan strateginya berbeza. Anda harus ingat, kami guru-guru bukan berurusan dengan benda yang tidak bernyawa,sebaliknya insan yang punya akal, fikiran dan hati budinya sendiri. Atas sebab itu jugalah kami guru-guru perlu bersedia dengan segala keadaan luar jangka yang dihasilkan dari kebijaksanaan para murid.

Apa yang cuba saya kongsikan ialah...kita seharusnya melaksanakan apa yang sepatutnya kita kerjakan. Sebagai pelajar, belajar. Sebagai guru, mengajar...elemen-elemen lain di sekeliling kita itu sekadar rempah ratus yang menyedapkan cerita. Jangan kita hilang tumpuan...Keyakinan diri sememangnya tidak boleh dibeli...keyakinan diri perlu dipupuk, disemai,dibaja agar hasilnya boleh kita tuai kelak. Kepada rakan-rakan guru,bantulah anak-anak kita mengenal jalan mereka yang sebenar. Kepada anak-anak(murid-murid), jangan angkuh dan jangan bangga dengan kejahilan yang tidak memberi kita apa-apa selain kesusahan. Bantulah diri kamu untuk menjadi insan yang lebih baik. Sesungguhnya nasib akan berubah jika kita berusaha mengubahnya...berubahlah atas kesedaran dan keinsafan,insyaAllah kelak kita akan berjaya.

Saturday, March 20, 2010

kegembiraan

Assallamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Baru-baru ini saya menerima titipan salam dari bekas pelajar yang secara ringkasnya mahu mengucapkan terima kasih kerana telah mendidiknya sehingga berjaya dalam peperiksaan dan seterusnya dalam hidup. Saya juga telah menerima dakapan-dakapan bekas pelajar yang begitu teruja dengan keputusan peperiksaan masing-masing. Tidak lupa yang menitis air mata kala menunjukkan keputusan, bah kan ada juga bekas pelajar yang meluah kesedihan mengenang masa lalu yang disia-siakan.

Ungkapan 'terima kasih' terngiang-ngiang di telinga, maklumlah saya sudah mengajar sejak 1992 lagi. Entah mengapa saya tersentuh dengan pengakuan seorang bekas pelajar saya yang secara tulusnya memberitahu betapa dia malu mahu mengungkap terima kasih kepada saya secara bersemuka. Kenapa? kerana dia beranggapan bahawa selama saya mengajarnya, dia merasakan dirinya pelajar yang bermasalah. Nama pelajar ini sememangnya sentiasa bermain di bibir saya ketika berada dalam kelas. Sebenarnya bukan kerana dia bermasalah seperti yang disangkanya. Sebenarnya saya lebih melihat potensi dirinya yang dikaburi dengan telatahnya yang sering tidak fokus dalam kelas.

Kepada semua pelajar dan juga bekas pelajar yang dikasihi...sebenarnya saya sebagai seorang guru juga dengan rendah diri dan rendah hati mahu mengucapkan terima kasih kepada anda semua. Siapapun anda, terima kasih kerana memberi cabaran dan juga kegembiraan kepada kepada saya. Benar keputusan pepeiksaan itu memberi kegembiraan, tapi sebenarnya mengenali anda (mungkin hari ini sebahagiannya sudah tidak dapat diingat...) berpeluang mendidik anda merupakan satu kegembiraan buat saya. Mungkin anda tidak percaya tetapi itulah hakikatnya. Siapa seorang guru tanpa anak muridnya.

Pada saya anak murid itu umpama berlian, perlu dicari di perut bumi, di suatu tempat yang hitam, gelap dan sempit (tapi kita semua berasal daripada tanah kan?).Kemudiannya perlu dicuci, dicanai,dipotong, digilap (sengsara tu...) dan hasilnya barulah boleh dipamer dengan nilai yang tak perlu dipertikai. Begitulah.

Akhirnya, terima kasih kerana sudi memberi peluang kepada saya mengajar anda. Terima kasih juga kerana anda mengajar saya untuk lebih mengenal diri, mengenal dan menghargai hidup. Ilmu yang baik merupakan ilmu yang berguna untuk kebaikan hidup. InsyAllah.

Sunday, March 14, 2010

Redalah...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera

Akhirnya penantian berhubung keputusan peperiksaan terutamanya SPM sudahpun berakhir. Sehari dua sebelum diumum, pastinya kita gundah-gulana. Pelajar gundah memikirkan keputusan yang bakal diperoleh, guru-guru juga gundah akan hal yang sama. Kenapa? kerana kita punya harapan. Siapa yang tidak mengharap maka dia tidak berasa apa-apa...kan?

Saat pelajar mendapat keputusan, pelbagai reaksi yang kelihataan. Perasaan saya sebagai seorang guru juga pelbagai. Reaksi pelajar...Ada yang sudah menjangka, ada yang di luar jangkaan, dan...ada yang kesasar. Apapun keputusannya, syabas dan tahniah. Pada waktu ini kita perlulah reda dengan keputusan yang kita terima. Baik atau sebaliknya, pasti ada hikmahnya.

Keputusan yang baik dan cemerlang pastinya melorong laluan belajar yang lebih mudah , namun di luar sana cabarannya pasti juga lebih hebat. Maka persediaan untuk berjuang juga perlu hebat. Kepada yang mendapat keputusan yang sederhana pula, masih ada ruang untuk terus berjuang...mungkin kembali ke sekolah sebagai pelajar tingkatan enam, atau boleh juga ke kolej swasta jika ada kelebihan dari segi wang ringgit. Kepada kumpulan yang tidak menyerlah pula, hal ini bukanlah akhiran untuk sebuah perjuangan. Anda telah diberikan suatu pengajaran berharga...'apa yang kita tanam, itulah yang kita tuai...'.

Saya selalu berpesan kepada anak-anak didik saya, 'kalau tangan kita yang mencencang, maka bahu kitalah yang akan memikul'. Peribahasa itu sangat bertepatan dengan situasi menerima keputusan peperiksaan ini. Jangan nanti kita 'sudah terhantuk baru terngadah...'Bukan apa, kadang-kadang kita suka menuding jari tanpa terlebih dulu mencermin diri...kan?

Mudah-mudahan kita diberikan kelapangan hati menerima keputusan kita, mudah-mudahan juga kita mendapat kebaikan daripada keputusan tersebut. Sama-samalah kita memperbaik diri, berusaha lebih gigih lagi dan jangan sesekali kenal erti putus asa dalam mencari kejayaan di dunia dan di akhirat. Semoga kita termasuk dalam golongan insan yang berjaya..Insyaallah.

Monday, March 8, 2010

Percayalah

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Sehari dua ini hati begitu tersentuh dengan kejadian dera yang menimpa anak-anak kecil yang tidak berdosa. Sebagai seorang ibu, tidak dapat saya bayangkan bagaimana remuk redam hati ibu yang kehilangan.

Kalau diteliti...kita berasa pelik sendiri, siapakah yang sanggup menganiaya budak yang tidak berdaya???tapi itulah hakikatnya. Dalam sedih dan terharu, saya berasa jelak...semua pembunuh itu dikaitkan dengan dadah dan arak. Mahu tidak mahu kita berdepan dengan generalisasi yang klise, manusia akan hilang kemanusiaannya di bawah pengaruh dadah dan alkohol! Siapa yang boleh menafikan kenyataan itu? Oleh yang demikian, arak dan dadah itu dikategorikan sebagai NAJIS...Kenapa? memudaratkan,membawa kemusnahan...dan segala-gala yang buruk. (Untuk aspek perubatan...itu cerita yang lain.)

Persoalannya? kenapa ada pihak khususnya remaja yang begitu bangga kerana mereka menghisap rokok, meminum arak, menggunakan dadah...adakah itu lambang kemajuan? adakah itu lambang generasi 'up to date' ? Minta maaf banyak-banyak, pada saya itu semua salah. Segalanya tak betul, sebaliknya lambang KEJAHILAN dan KEBODOHAN. Kenapa? jawapannya mudah sahaja, kerana sesiapa yang berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol akan hilang pertimbangan akalnya. Penagih dadah ibarat BANGKAI bernyawa, penagih arak ibarat BINATANG yang berpandu nafsu sahaja...

Makanya, saya tidak pernah jemu menasihati anak-anak remaja agar jangan sesekali mendekati segala-gala yang busuk dan buruk tadi. Sayangi diri. Bayangkan betapa kehidupan ini bukanlah milik mutlak kita untuk disia-siakan. Kita tidak pernah meminta untuk dilahirkan...bahkan kita juga tidak pernah menginginkan kematian yang sia-sia. Tapi, Allah s.w.t telah memberikan kita satu kehidupan, sampai bila? hanya DIA jua yang Maha Mengetahui. Oleh itu, buatlah yang terbaik untuk kehidupan di sini dan di sana nanti. Jangan sesekali menjadikan setiap kesusahan, kesukaran dan cabaran hidup sebagai satu beban. Itu semua untuk mendidik kita sebenarnya...bukan sabagai alasan untuk merosakkan diri dan masa depan. Sesungguhnya kita tidak akan diuji dengan cabaran yang tidak mampu kita hadapi, percayalah...

Kita datang ini...satu roh, satu jasad. Bila pulang nanti...bawalah bakti padat berkat.

Kepada anak-anak di luar di sana...sayangi dirimu dan jangan tunjukkan kejahilanmu dengan rokok, arak dan dadah. Nasib tidak akan berubah sehinggalah kita berusaha mengubahnya. Yakinlah bahawa kita ini sebaik-baik ciptaan Tuhan, janganlah disia-siakan nikmat yang Tuhan beri. Mudah-mudahan kita menjadi manusia yang berguna untuk diri, keluarga, agama, bangsa dan negara...Insyaallah.

Wednesday, March 3, 2010

Pilihan...

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Agak lama tidak berkongsi cerita, maklumlah keadaan tidak begitu mengizinkan. Kesibukan mula menghambat, maka saya perlu mengatur senarai perkara-perkara penting yang mesti didahulukan. Menulis di sini malangnya tidak termasuk dalam senarai. :)

Bagaimanapun, saya melorong sedikit waktu untuk bercerita. Dalam hidup kita kena bijak membuat pilihan. Tidak semestinya dalam perkara-perkara 'major' saja. Hal-hal yang kecilpun kadang-kadang jika tidak dipilih-pilih dan diatur dengan baik, akan memberi kesan yang besar dalam kehidupan kita. Contohnya menonton TV. Perkara yang 'simple' saja, kan?tapi jika perkara kecil itu kita jadikan kemestian, tidak boleh tidak, tidak boleh 'miss' dan sebagainya...kesannya? kita boleh terganggu, masa belajar, masa makan, masa tidur...dan sebagainya. Maka, kita perlu belajar tentang kos melepas. Bukan melepas angin...tapi melepaskan keinginan terhadap sesuatu andai ianya tidak perlu. Di sinilah seninya membuat pilihan. Sebab itulah Tuhan bagi kita cuma 2 mata, 2 telinga, 2 tangan, 2 kaki, satu mulut....(dan macam2lah nikmat yang diberi hingga kadang-kadang lupa disyukuri...) Cuba minta lebih...apa jadi? Istimewa tu...

Pernah pelajar saya yang datang semasa mengambil keputusan peperiksaan awam dengan bangga memberitahu betapa dia masih lulus kertas saya meskipun dia tidak datang ke sekolah. Pelajar itu mahu menunjukkan bahawa dia sebenarnya pandai. (Saya akui kadang-kadang saya dilabel pelajar sebagai jahat kerana saya selalu terlalu berterus terang). Saya mengucapkan tahniah kepada pelajar itu dan mengakui bahawa dia sememangnya pandai. Cuma, pilihan pelajar itu pada saya tidak cukup bijak. Saya bertanya kepada pelajar tadi sama ada dia pernah membayangkan keputusan yang mungkin diraihnya jika dia pergi ke sekolah setiap hari? Kalau asyik ponteng boleh lulus, sudah tentu kalau sekolah setiap hari pelajar ini boleh cemerlang. Malangnya saya tidak pernah mendapat jawapan daripada pelajar itu...

Berbalik pada pilihan dalam hidup, selalunya kita cenderung kesal atas sesuatu yang telahpun berlalu. Tanya diri kenapa? jawapannya mudah saja kerana semasa membuat pilihan kita tidak cukup pertimbangan. Kawan saya kata 'terjun melintang' (di mana dia jumpa istilah itu...saya tidak pasti)Maka, dalam apa sahaja yang kita lakukan pastikan itulah pilihan terbaik...dan yakinlah pada keputusan pilihan itu.

Sebab itulah selalu disebut orang, tidak ada orang merancang untuk gagal tetapi perancangan yang tidak baik pasti menyumbang kepada kegagalan, kan?

Hidup kita ini atas pilihan kita sendiri, maka pilihlah dengan bijak dengan harapan kita akan mendapat kebaikan daripada pilihan kita itu. Insyaalah.

Tuesday, February 2, 2010

Kalau Tak Sanggup..

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera,

Tidak banyak yang boeh dikongsi hari ini sekadar satu ungkapan daripada seorang yng bernama Phytagoras. Katanya "Sekiranya anda tidak sanggup menanggung kepenatan belajar, maka anda terpaksalah sanggup menanggung kesan kebodohan."

Rasanya sudah terang lagi bersuluh...siapa yang kata belajar itu tidak memenatkan tetapi belajar pastinya akan membantu kita agar tidak kepenatan seumur hidup...kan? Samalah juga kalau kita malu bertanya semasa menuntut ilmu. Semasa kita bertanya, kita akan kelihatan bodoh buat beberapa ketika. Tidak lama, paling-paling lima minit sahaja. Andai kita tidak mahu bertanya pula...kita akan bodoh seumur hidup!

Maka sewajarnyalah kita membuat pilihan yang bijak dalam hidup sebagai seorang pelajar. Saya selalu berpesan kepada anak-anak murid saya, kalau tangan kita yang mencincang maka bahu kitalah yang akan memikul. Usahakan sehabis baik dan kita akan dapat hasilnya... Insyaallah.

Tuesday, January 26, 2010

Penangan Cinta

Assalamualaikum w.b.t

Dulu...saya ada seorang pelajar yang pada saya cukup istimewa. Kenapa? kerana dia cukup payah disuruh menulis karangan. Waktu itu dia tingkatan tiga. Muda benar. Setiap kali mahu membuat latihan, ada saja masalahnya. Tak ada pen, buku tertinggal, sakit perut,pendek kata, seribu satu macamlah alasannya. Kesannya, setiap kali masuk ke kelas saya akan membawa banyak peralatan sebagai bahan bantuan mengajar. Macam 'Inspector Gadget' pula. Apa-apa yang dia tak bawa pasti saya sediakan. Akhirnya, dia mula mengarang. Setengah pengsan (rasanya...)saya menyemak karangannya. Macam-macam ada! Akhirnya karangan dia banyak ditanda dengan warna merah. Dia tetap selamba. Saya tegur, dia angguk, saya betulkan...dia angguk juga.Suruh buat semula, dia geleng pulak. Begitulah kisah saya dengan dia. Dia memang istimewa kerana karenahnya selalu menjadi cabaran kepada saya. Tapi, saya tetap mengajar dia sehabis daya meskipun kadang-kadang dia terlalu kurang usahanya.

Mahu dijadikan cerita, suatu hari ada pelajar datang berjumpa saya memaklumkan pelajar saya ponteng sekolah. Sememangnya rekod kedatangan pelajar ini tidaklah secemerlang mana. Namun, selagi dia masih mahu ke sekolah ,pada saya dia masih mahu belajar. Saya melihat pelajar saya mula bermenung, tak banyak bercakap. Hasil kerjanya masih begitu juga (tetapi pada saya sudah semakin baik). Saya mula risau, diusik pun dia tidak memberi respons seperti selalu. Semasa saya mengajar, dia mula memberi perhatian berbanding sebelumnya. Dalam diaam-diam pastinya saya bersyukur.

Seperti selalunya, saya mula mencari tahu. Kebetulan saya mengganti kelas tersebut pada suatu waktu. Saya mula bertanya sambil bercerita-cerita. Kebetulan waktu itu kami di perpustakaan. Dia membisu saja. Saya pula tidaklah mahu memaksa. Biarlah...nanti kalau dia bersedia,pasti dia mahu bercerita.Dia semakin kerap tak datang. Waktu petang pun dia ponteng.Kelas tambahan tak mahu datang. Saya bertanya kepada adiknya, jiran sekampungnya, tapi semua memberi jawapan yang klise "entah", "tak tahu cikgu..."

Suatu hari saya dipanggil oleh guru kelas pelajar saya tadi. Katanya anak emas saya lari lagi...tapi kali ini begnya ditinggalkan. Helah biasa pelajar. Saya mula membelek isi perut beg pelajar saya. Satu demi satu bukunya saya periksa. Mata saya melihat buku BM yang agak lusuh. Ada juga buku baru. Maklumlah bekalan buku saya tidak pernah habis. Saya menyelak lembaran buku BM pelajar saya. Saya senyum sendiri melihat tulisannya. Tiba-tiba sekeping kertas yang berlipat kemas terjatuh dari buku latihan tersebut. Mulanya mahu saya abaikan, tapi hati saya meronta untuk melihatnya.

Lipatan itu saya buka...

`Ke hadapan yang dingati selalu...'
Wah...berderau darah saya selepas membaca surat itu. Airmata saya menitis.
Surat itu pantas diambil oleh guru kelasnya. Guru disiplin terkedu melihat saya. Dia juga turut membaca surat luahan hati pelajar tadi. Sungguh tidak saya sangka...

Dalam pada saya membuat refleksi kendiri...Bilik kecil itu bergema dengan derai tawa kawan-kawan . Saya melihat telatah mereka sambil tersenyum. Airmata sudahpun diseka. Saya biarkan mereka terus ketawa. "Inilah budak sekarang, kecil-kecil lagi sudah ada hati mahu bercinta"dengus guru disiplin. "Tapi aku tak faham kenapa kau menangis Aina?"tiba-tiba dia bertanya. "Aina kecewa kerana surat itu tidak ditujukan untuknya..."gumam guru kelas. Saya tersengih sendiri mendengar ungkapan itu.

"Aku terharu lah..." "Kenapa?"hampir serentak mereka bertanya. "Selama aku mengajar dia BM, aku tak pernah nampak dia buat karangan yang baik. Pasti ada kesalahan yang perlu aku betulkan. Tapi, surat dia kali ini...tak ada salahnya. Itu yang aku kagum tu. Aku tak kira lah kalau dia menyalin atau meniru untuk menulis surat itu. Tetapi sekurang-kurangnya dia tahu keperluan menulis dengan betul.Pada aku itu sudah bagus." "Hai...tak faham aku cikgu perempuan ni, itu pun nak menangis"ucap guru disiplin dengan nada memerli. "Pembetulan, aku tak nangislah. Sekadar menitiskan airmata terharu saja"

Begitulah penangan jatuh cinta kepada pelajar. Bahasa bukan setakat kita berbicara, tetapi kebolehan meluah rasa melalui penulisan. Sehebat manapun kita berkata kalau tidak mampu menterjemahkannya ke dalam tulisan pasti tidak ke mana. Pelajar saya yg seorang ini, akibat cinta akhirnya telah berusaha menulis surat cinta yg sempurna. Kenapa?kerana dia tahu keperluan menyampai rasa hatinya dengan betul. Dia tahu, kalau dia menghantar surat seperti karangan biasa yg ditulisnya...pasti hasilnya kecewa. Kan?

Kepada para pelajar, apa yang pasti ialah perubahan hanya boleh berlaku jika ada keinginan dan keperluan untuk berubah dari dalam diri sendiri. Mudah-mudahan kisah pelajar istimewa saya memberi pengajaran. Cinta boleh mengubah kita. Syaratnya berubahlah kepada sesuatu yang lebih baik. Insyaa.llah

Thursday, January 21, 2010

Iktibar Sang Kura-kura...

Assallamualaikum, / Salam sejahtera

Pernah dengar cerita kura-kura berlumba dengan Arnab Kan? Ada banyak iktibar dari cerita tersebut yg boleh dicontohi pelajar.
Eeeikk…jangan silap bukan suruh jadi kura-kura atau tidur macam si Arnab…itu lain urusan.
Soalan pertama? Kenapa Kura-kura boleh menang? Jawapannya mudah saja. Kerana Kura-kura sedari awal sudah berniat untuk menang. Kemudiannya dia istiqamah dalam usahanya untuk menang itu.
Para pelajar juga boleh menang jika mengambil pengajaran daripada usaha gigih kura-kura itu.
Caranya?
1. Betulkan Niat.
“Setiap amal bermula dengan niat. Setiap orang akan mendapat apa yang diniatkan”[Riwayat Bukhari dan Muslim]
Buangkan niat-niat yg tidak baik. Ingatlah bahawa hanya anda yg mampu menggerakkan usaha anda untuk mencapai kecemerlangan.
Betulkan niat untuk belajar bersungguh-sungguh.

2. Kawan Baru.
Berkawanlah, tetapi usahakan untuk berkawan dengan orang yg baik-baik sahaja: rajin belajar, baik akhlaknya,ringan tulang, rajin beribadat, dan tidak menyusahkan orang. Cubalah sebaik mungkin untuk bekerjasama,bertolak ansur,tolong-menolong dengan kawan-kawan.

3. Jaga Nama Baik Sekolah.
Pupuk rasa sayang dan bangga terhadap tempat anda belajar. Pertahankan nama baik rumah kedua anda. Sekolah member perlindungan kepada anda sekurang-kurangnya 7 jam sehari.

4. Sayangi Guru.
Tanamkan rasa ikhlas dan berlapang hati terhadap guru.Berilah penghormatan selayaknya dan jangan berburuk sangka. Sukailah semua guru terutama yg mengajar anda.Ucapkan terima kasih dan mohon halalkan ilmu yg diajarnya. Mohon doa kejayaan daripada guru anda.

5. Sukailah Semua Subjek.
Agak sukar mungkin,tapi semua subjek sama penting. Lengkapkan diri anda dengan buku teks, buku rujukan, buku nota, buku latihan dan soalan peperiksaan lepas. Kalau mampu ambillah tuisyen, kelas tambahan di sekolah jangan pula di abaikan. ‘Study group’pun bagus dibentuk untuk memudahkan anda belajar.

6. Sertai semua aktiviti sekolah.
Kenapa? Sekolah menyediakan pendidikan yg holistic (menyeluruh) buat anda. Setiap aktiviti yg dirancang pasti ada manfaatnya.

7. Cergas dalam Kokurikulum
Aktiviti ko-kum sebenarnya mengajar anda hidup bermasyarakat, memiliki kemahiran tertentu dan mengembangkan skop pemikiran anda. Pasti peluang ini tidak boleh dibiarkan begitu saja…

8. Mengurus Beg Sekolah.
Beg sekolah umpama bekalan senjata bagi seorang askar yg menuju ke medan pertempuran. Pastikan beg anda diisi dengan segala kelengkapan tapi…untuk keperluan belajar saja. Barang-barang yag tidak berkenaan…`sorry’, Tinggalkan saja.

9. Membina Imej Diri.
Ya, penampilan diri pelajar yg mahukan kecemerlangan mesti dijaga.
i.Imej Fizikal-kebersihan

ii.Imej Pakaian dan Aksesori-jangan pula salah sangka, PAKAIAN SERAGAM!Ko-kum,sukan…ikut keperluan dan peraturan sekolah.

iii.Imej Akhlak – Budi bahasa amalan mulia, bahasa jiwa bangsa…jelas,kan?

10. Siap Siaga Dalam Kelas.
Bersiaplah 10 minit sebelum kelas bermula.Sediakan semua keperluan pembelajaran sementara menunggu guru masuk.Amalkan sikap bersungguh-sungguh,cergas,aktif semasa belajar.Tanya apa-apa yg kurang faham. Buat kerja dengan cepat,tepat dan cemerlang. Jangan buat kecoh dan tidak perlu keluar terlalu kerap.

11. Ulang kaji.
Gunakan masa terluang di sekolah untuk mengulangkaji pelajaran. Dengan cara ini anda ada lebih banyak masa untuk belajar topic baru pada sebelah malam di rumah.

12. Jaga Pemakanan.
Otak memerlukan bekalan oksigen yg segar untuk cergas.Caranya? Sarapan, makan waktu rehat, tapi…jangan terlalu kenyang. Nanti mengantuk.
Elakkan makanan ringan yg tidak berzat;yg mengandugi bahan kimia dan yg dihasilkan dari bahan yg tidak bersih atau haram.Banyakkan minum air kosong/mineral.

13. Jangan Terlibat Dengan Keganasan.
Jauhi…
i.Keganasan Tahap Awal :dimulai dengan aktiviti menconteng dan menyalahgunakan kemudahan awam,dan diikuti dengan ponteng…

ii. Tahap Pertengahan : Tabiat merokok,mula bergaul dengan rakan berlainan jenis, bergurau melampau, melawan guru, berdendam dan pelbagai akhlak buruk yg lainnya.

iii. Tahap Kronik : Terlibat dengan gengsterisme,buli,membawa senjata,menghisap dadah,mengedar bahan lucah dan terlibat dengan seks bebas. (Na`uzubillah).

Persiapan awal tahun yg baik akan memberi ruang yg luas untuk anda menggarap ilmu dengan selesa,mudah dan cepat. Anda memiliki tapak yg kukuh. Dengan tapak yg kukuh, ilmu mudah melekat di minda. Insyaallah.

Jadi ? Apa tunggu lagi? Perjalanan yang jauh bermula dengan satu langkah…Seperti Sang Kura-kura, Yakin boleh dan gigih mencapai apa yg dihajatkan.

Selamat Berjaya.

Tuesday, January 5, 2010

Adab Murid Kepada Guru

Salam sejahtera... hari ini nak kongsi tentang ADAB MURID KEPADA GURU seperti mana yang dipesan oleh Imam Al-Ghazali..

1. Apabila berjumpa guru, hendaklah memberi salam

2. Tdak banyak bercakap ketika berada bersama-sama gurunya

3. Jangan bercakap tentang perkara yang tidak ditanya oleh gurunya

4. Meminta izin daripada guru sebelum bertanya

5. Jangan menyangkal perkataan gurunya

6.Jangan menunjukkan isyarat bahawa dia lebih betul atau lebih tahu daripada gurunya

7.Jangan berbisik-bisik dengan orang lain dalam majlis ilmu (@ semasa P&P) atau di hadapan guru

8. Jangan berpaling ke kiri dan ke kanan apabila berhadapan dengan guru (perlu fokus), juga tidak boleh duduk dalam keadaan tidak hormat kepada guru

9. Jangan menyoal guru ketika guru sedang rancak membuat penerangan atau ketika guru sedang bercakap atau juga ketika cikgu sedang lelah /penat

Ya...macam-macam reaksi apabila membaca pesanan ini. Mungkin juga ada yang beranggapan pesanan ini tidak lagi relevan dengan keadaan semasa. Apa-apapun, saya berpendapat pesanan ilmuan dan ulama tidak boleh di pandang ringan. Barangkali bukan pesanan ini yang tidak relevan, tetapi sikap kita sendiri yang angkuh dalam menuntut ilmu itulah yang tidak relevan dalam situasi menuntut ilmu.

Semoga kita sama-sama berjaya dalam usaha memperbaik kualiti diri. Jangan lupa kemajuan bangsa dicapai jika mempunyai ketinggian akidah, akhlak, dan ilmu. Insyaallah.

p/s: pesanan ini saya peroleh semasa menghadiri majlis ilmu di BTN,Kundasang (18/10/08)